June 26, 2010

Musim Meneroka.

Rata-rata pelajar yang mengikuti pengajian di negara-negara 4 musim sedang bercuti sekarang ini, sempena musim panas. Cuti yang tidak sekejap tempohnya.

Seperti yang pernah saya tulis dahulu tentang kisah orang lama dan cuti mereka, cuti sememangnya ialah satu nikmat dan ujian, pada satu masa. Nikmatnya ia hingga kita mampu melakukan perkara-perkara yang tak termampu dilakukan semasa tempoh pengajian berjalan, dan mengujinya ia hingga kita mungkin akan membiarkan masa-masa cuti tersebut berterbangan ditiup angin kelalaian.



Maka menjadi semacam satu kebiasaan, saat tiba musim-musim sebegini, akan tersiar dan kedengaran pelbagai nasihat dan panduan, bagi nikmat cuti ini dihargai selayaknya, dan ujian cuti ini ditempuhi segagahnya.

Bagi saya, peluang tempoh sebegini, digandingkan dengan idealisme seorang mahasiswa, adalah kondisi dan suasana yang paling optimum untuk mencuba pelbagai perkara baru. Perkara-perkara yang berlegar di sekitar titik kekuatan potensi diri kita, yang belum pernah atau tidak berkesempatan sebelum ini untuk dicuba dan diteroka.

Pada tempoh dan umur sebegini, jika kita mengehadkan potensi dan bakat serta kemahiran kita pada titik-titik tertentu, kita akan menyempitkan segala peluang dan kemungkinan yang ada di masa hadapan.

Jadi apa salahnya mencuba dan meneroka. Siapa tahu rupanya, kita punya potensi tersembunyi yang menanti untuk diserlahkan, demi manfaat diri kita dan orang lain. Cabar diri kita. Berfikir di luar kotak, atau jika tidak keterlaluan, berfikir tanpa kotak.

Kita akan mendapati rupanya masih banyak pintu yang belum dibuka, dan masih banyak kunci yang belum diguna.

Selamat mengasah potensi diri demi agama. Selamat beramal.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails