June 29, 2010

What Drives You?



Sengaja tajuknya di-inggeris-kan. Entah apa yang lebih sesuai dalam bahasa melayu.





Cerita 1
Siang-siang panas pusing-pusing Madinah Nasr. Selesaikan tugas, kemudian curi masa tinjau-tinjau kedai. Kononnya mahu cari pakaian 'yang elok' (baca : berjenama) sikit untuk dipakai di musim panas. Bukanlah fesyen  musim panas terkini, tapi yang sedap dan enak dipakai di kala suhu memuncak tinggi. Yang dibawa dari Malaysia banyaknya kurang sesuai.

Ada sehelai baju menggoda mata. Kainnya terbaik, jahitannya tercantik, jenamanya menarik.
Harganya, mencekik.
Ikutkan hati beli sahaja. Sebegini unggul pedulilah harganya mahal pun.

Cerita 2
Air sejuk dari paip besi yang ditadah dalam baldi sebesar tempayan di kampung-kampung menyimbah kepala. Segar bugar dapat mandi pagi. Badan bersih dan wangi berseri. Berkole-kole air disimbah. Kota Kaherah kaya air kata orang, tak perlu risau terputus. Memang nikmat.

Habis mandi seperti biasa ditutup dengan wudhu'. Mengalirkan air ke anggota-angota wudhu' dengan niat secara tertib. Imam Syafii kata perlu guna air mutlak, sama sekali tidak sah jika air musta'mal, air yang sudah terguna, digunakan untuk wudhu'.
Ikutkan akal, apalah kotornya air musta'mal itu pun. Bukannya tercemar najis bangkai segala. Entah kenapa wudhu' tidak sah dengannya.

* * * * *

What drives you?
Saat anda berurusan dan mencari dunia, apakah yang memandu anda?
Hati atau akal?

Saya kata : Akal. Anda akan dapat mengawal nafsu dan emosi yang bergejolak meminta dipuaskan dengan dunia. Akal (yang dirajai taqwa) mampu menyenaraikan baik dan buruk, positif dan negatif, yang tak mampu dilihat oleh emosi dan hati yang cenderungnya ialah menyambar dunia, tanpa pertimbangan.

What drives you?
Saat anda berurusan dan mencari akhirat, apakah yang memandu anda?
Akal atau hati?

Saya kata : Hati. Kata nabi s.a.w : التقوى ههنا ويشير إلى صدره (Taqwa itu disini,lalu baginda menunjuk dadanya). Urusan ibadah kepada Allah majoriti besarnya tak mampu terfikir oleh akal walau hebat tentang rahsia dan rasionalitinya. Jika ikutkan akal, mudah sekali memikirkan segala sebab yang logik untuk tidak mematuhi kod-kod ibadah. Tapi hati yang beriman mampu menenangkan, dan menundukkan jasad untuk patuh pada arahan Ibadah dari Allah s.w.t.

Kesimpulan :
Kedua-duanya harus memandu kita. Kerana kita tidak hanya berurusan dengan dunia, malah kita perlu juga berurusan dengan akhirat, pada satu urusan yang sama. Itu pertimbangan yang sejati.
Menimbang dengan akal dan hati, untuk kepuasan hidup di dunia dan akhirat.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails