June 20, 2010

Musim Panas Pun Tiba!

Akhirnya musim panas di Kaherah benar-benar muncul. Benar-benar menunjukkan belang. Sebelum ini suhu kota Kaherah tidak tentu siang dan malam, adakalanya suam-suam kuku, adakalanya sejuk berangin, dan ada juga kalanya ribut pasir bertiup dengan hawa panas.

Serasa saya hanya baru-baru ini suhu kota Kaherah menjulang tak tersangka. Saat entri ini ditulis, suhu di luar bilik saya sudah pun mencapai 44 darjah celcius, suhu yang tertinggi dalam minggu ini setakat ini. Dengan kadar kelembapan udara di bawah paras 30% (kadar ideal ialah antara 30%-60%), ternyata suasana sebegini menguji dan menduga fizikal, emosi, serta mental sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan pengalaman.

Dahulu semasa masih di Malaysia, walau banyak mendengar kisah dan cerita dari mereka yang belajar di Timur Tengah dan yang pergi menunaikan haji dan umrah, masih tidak terhayati bagaimana kering dan panasya musim panas di sini.

Merasainya sendiri membawa satu pengalaman baru yang ternyata ekstrem dan menguji.



 Tapi untuk merungut dan mengeluh, saya rasa amat tidak patut, kerana 2 sebab :

  1. Hanya dengan cara merasai sendiri cuaca dan suhu sebegini mampu kita menjiwai dan menghayati pelbagai kisah daripada sirah nabawiyyah dan pahlawan-pahlawan Islam selepas zaman nabi. Kebanyakan kisah-kisah ini mengambil latar belakang Timur Tengah, yang mempunyai musim panas dan sejuk yang ekstrem.
  2. Jika kita mengeluh kita selayaknya malu dengan junjungan besar Ar-Rasul s.a.w. Bukan sedikit contoh dari sirahnya yang menakjubkan, membuktikan kehebatan baginda menongkah musim panas bersama-sama dengan para sahabatnya dalam gaya penuh keunggulan. Contoh paling nyata ialah ketika perang Tabuk.


Pun begitu, demi memelihara tubuh badan kita (yang diseru oleh Islam untuk kita menjaganya), tidak patut kita sengaja tidak mengambil apa-apa langkah keselamatan dan membiarkan tubuh badan kita dimamah bahang panas yang menjilat penuh serakah.

Nabi s.a.w antara yang pernah memberi nasihat : "Sekiranya terlalu panas, maka tunaikanlah solat Zuhur apabila sejuk (sedikit), kerana bahang kepanasan itu adalah dari api neraka yang meluap."
(HR Bukhari - Kitab Solat)

Juga beberapa tips berguna yang mungkin baik diamalkan :

  1. Kurangkan aktiviti yang memerlukan tenaga yang banyak.
  2. Minum banyak air dan sentiasa ganti elektrolit dalam badan melalui makanan dan sebagainya.
  3. Elakkan dari berada di bawah cahaya matahari secara langsung.
  4. Elakkan dari terjadinya 'sunburn' kerana kulit yang terbakar tidak mampu berpeluh dengan baik.
  5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa.
  6. Utamakan makanan yang mudah dihadam seperti buah-buahan berbanding makanan yang mampu meningkatkan suhu badan (yang mengandungi banyak protein contohnya).
  7. Jika perlu, cari tempat yang lebih sejuk serta berhawa dingin, contohnya masjid. Anda mampu mendapat pahala iktikaf dan kesejukan badan pada masa yang sama.
Kegagalan kita memelihara kesihatan dan jasmani di saat sebegini boleh membawa kepada pelbagai kesan yang tidak diingini seperti 'heatstroke' yang amat merbahaya.

Semoga kita sabar menempuh panasnya dunia, dan terhindar dari panasnya neraka. Na'udzu billah.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails