December 26, 2007

Alkisah OTAI

Memang saya cukup gemar memerhatikan kisah-kisah hidup manusia, lebih-lebih lagi kisah orang-orang lama (otai). Saya pasti benar sekarang ini sudah kurang yang sama menggemarinya, lagi-lagi di zaman hidup sentiasa memandang ke hadapan.

Bila begini, saya cukup teringat dengan kata-kata rabbi yahudi yang acapkali terpampang di pameran-pameran dunia Islam dan entah bermacam lagi buku-buku. Katanya, kelemahan umat Islam sekarang antaranya : “TIDAK MENGKAJI DAN BELAJAR DARI SEJARAH”. Mungkin elok juga kalau ditambah “SEJARAH MEREKA YANG KAYA”.

Sebelum saya terlalu asyik dibuai debat-debat penghayatan sejarah, kalau boleh saya ingin kongsikan dengan semua yang membaca, sedikit imbasan, atau glimpses kata orang putih, dari sejarah orang-orang lama yang sempat saya baca.

Imbasan saya kali ini mungkin menarik dan mungkin kurang relevan lagi. Menulis imbasan-imbasan ini di penghujung bulan 12 tahun 2007 mungkin menarik bagi mereka yang baru sahaja usai menjawab soalan-soalan SPM, dan mungkin sangat mengecewakan bagi mereka yang akan mendaftar di sekolah-sekolah kurang beberapa hari lagi, kerana yang akan saya kongsikan ialah imbasan orang-orang lama menghabiskan cuti sekolah mereka. Ya, CUTI SEKOLAH.




Siapa yang akan kita lihat imbasan mereka? Bukanlah orang-orang lama sangat, sebabnya orang-orang dahulu, kalau di zaman masih Islam yang menguasai dunia, tidak pernah kenal lagi istilah CUTI SEKOLAH. Saya akan petik imbasan-imbasan beberapa tokoh-tokoh Islam pasca kejatuhan khilafah, ketika sistem pendidikan orang-orang Islam sudah terpaksa mengikut acuan barat, yang pastinya sangat suka cuti daripada belajar. Tokoh-tokoh ini tidak punya pilihan yang banyak, seperti kita, melainkan terpaksa menimba ilmu dalam sistem yang bercuti itu. Namun kita akan perhatikan, bagaimana mereka dengan bijaksana, dengan ilham daripada Allah, mampu menyusun cuti mereka hingga tidak sedikit pun dibazirkan daripada mempelajari segala sesuatu yang mampu membentuk diri mereka, hingga hari ini mereka telah memberi sumbangan yang mulia untuk Islam, dengan izin Allah. Semoga Allah memberi mereka ganjaran yang selayaknya.

OTAI 1 : Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna


Ketika di sekolah menengah, beliau bersekolah di Damanhur (tempat di Mesir). Beliau akan sering berulang-alik pada cuti hujung minggu ke Mahmudiyyah (juga tempat di Mesir) untuk melakukan bermacam-macam aktiviti. Beliau menceritakan bagaimana hujung minggunya dipenuhi dengan membaiki jam (ini merupakan satu kemahiran beliau, dan beliau sering berpesan kepada anaknya Saiful Islam untuk mempertingkat sebarang kemahiran, kerana seorang mu’min harus mempunyai kemahiran) pada siang hari dan menghadiri majlis zikir dan majlis ilmu pada malam hari dengan rakan-rakannya, di sekitar Mahmudiyyah.

Kalau ada cuti yang panjang, contohnya semasa musim panas (semacam cuti semester kita), dari waktu selepas subuh sampai waktu dhuha, dia akan menggunakan masa tersebut untuk mengkaji dan belajar dua kitab besar dalam ilmu lughah (bahasa arab) iaitu kitab al-alfiyah dan syarah ibnu ‘uqail, sampaikan hampir keseluruhan isi-isi kitab itu diingatinya. Ada juga kitab fiqh dan hadith yang turut dikajinya. Beliau katakan itulah yang membantunya masuk ke Darul Ulum (university) selepas sekolah menengah.

Semasa di universiti Darul Ulum pula, cuti semesternya juga diisi dengan membaiki jam pada siang hari. Beliau pernah merancang untuk membuka kedai jam sendiri dan manjadi pakar dalam kemahiran tersebut. Dia berhasil membuka sebuah kedai jam dan memperoleh keuntungan daripada kerjanya, yang digunakan beliau untuk menyara hidupnya sendiri. Waktu malam tetap dihabiskan dengan majlis ilmu dan majlis zikir (ketika ini beliau masih terlibat dalam tariqat sufi). Rutin ini beliau katakan sering berjalan begitu, tanpa masalah.

Ada juga kalanya, beliau menceritakan bagaimana hujung minggunya dihabiskan dengan menziarahi ulama’-ulama’ di Mesir. Beliau akan bertolak pada hari pertama, melakukan ziarah, dan bermalam di kawasan tersebut sebelum bertolak pulang keesokan harinya, dan meneruskan sesi persekolahan.

Anaknya, Saiful Islam, pernah berkongsi pengalaman bagaimana ayahnya mengajarnya memanfaatkan cuti sekolah. Ayahnya membawanya ke salah satu kilang percetakan buku-buku Ikhwan, dan meminta pengurus kilang tersebut mengajar anaknya kemahiran-kemahiran tertentu dalam percetakan buku. Saiful Islam mengakui kemahiran tersebut sangat bermakna walaupun hari ini dia merupakan seorang peguam.

OTAI 2 : Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi
Yusuf Al-Qaradawi juga antara orang yang paling gemar menggunakan masa cutinya dengan maksimum untuk membaca. Beliau menceritakan, saat cuti sekolahnya yang pertama, semasa sekolah menengah, dia telah diwajibkan seniornya untuk menghafal beberapa buah kitab yang masyhur, yang bukan daripada silibus sekolah, dan antara kitab yang telah dihafalnya ialah kitab matan al-ajrumiyah (menerangkan tatabahasa arab yang terperinci) dan sedikit dari kitab Nur Al-Idhah (menerangkan hukum fiqh). Baginya, perkara tersebut sungguh refreshing.

Pada cuti musim panasnya, dia tidak berkesempatan untuk bekerja, lalu dia banyak menghabiskan masanya membaca buku Ihya’ Ulumiddin oleh imam Al-Ghazali, dan beberapa buah buku sastera. Yusuf Al-Qaradawi memang berkebolehan tinggi dalam bidang sastera, yang juga salah satu faktor dia digelar ulama’ mujtahid.

Pernah sekali Yusuf Al-Qaradawi menceritakan kehampaan beliau apabila menjelang cuti musim panas. Beliau kesal kerana baginya, cutinya tidak berjaya digunakan semaksimumnya. Jika kita perhatikan, memang di kawasan tempat tinggalnya pada zaman itu tidak mempunyai kemudahan-kemudahan awam yang boleh digunakan untuk berekreasi. Juga tidak terdapat sebarang kursus-kursus jangka pendek untuk belajar bahasa-bahasa asing seperti bahasa Inggeris, kerana dia tinggal di kampung, dan semua perkara tersebut hanya terdapat di bandar. Beliau akhirnya menebus kekecewaan itu dengan membaca lebih banyak buku dan kitab, yang nyata bukan buku yang biasa dibaca pada umurnya.

Bacaan-bacaan beliau terbukti bermanfaat apabila pernah pada waktu cutinya, beliau diminta memberikan kuliah agama sempena Ramadhan. Kekemasan hujah, idea, penyampaian, dan jawapan-jawapannya, membuatkan penduduk di kawasannya menghormatinya, dan meminta beliau menggantikan Ustaz yang sebelumnya. Beliau juga digelar syaikh, sedangkan umurnya masih lagi di sekolah menengah.

* * * * * * *
Saya sendiri memang terpana dengan cebisan-cebisan kisah otai-otai ini. Mungkin bagi sesetengah orang lebih gemar mempertikai dan mencari alasan : “Itu zaman dulu, zaman sekarang lain, dah tak boleh nak buat macam tu” atau “Hm, itu semua memang orang-orang hebat, 1 dalam 1000 orang je yang macam tu,bolehla,”.

Terpulanglah, pokoknya, memang secara logiknya, tidak mustahil kita boleh meniru keazaman dan disiplin diri otai-otai tersebut semasa cuti sekolah. Kadang-kadang, kita sendiri yang merungut bila habis cuti sekolah, rasa macam diri dah dibazirkan, rasa diri tak berguna, dan macam-macam lagi keluhan berbaur kesal. Hakikatnya, disiplin diri dan agenda kita semasa cuti, kita diberi kebebasan untuk memikirkannya dan menyusunnya, selagi tidak bercanggah syariat, betul?

Aktiviti-aktiviti cuti otai-otai tersebut sudah terbukti berbaloi. Lihat sahaja sumbangan mereka hari ini. Dengan izin Allah, memang tak sia-sia apa yang mereka lakukan.
Yang sedang bercuti pendek, panjang, hujung minggu, cuti tanpa gaji, cuti sabatikal, cuti sakit, cuti bersalin, dan cuti tak wajib balik (asrama), mungkin boleh kita cerna sebentar imbasan-imbasan tadi?

Sumber :

1. Mudzakkirat Ad-Dakwah wa Ad-Daiyah, Hassan Al-Banna.
2. Ibnul kuttab wal qaryah, Yusuf Al-Qaradhawi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails