January 15, 2010

Cemerlang bukan pilihan.



Petang Isnin di Madinat Nasr hari itu seperti juga petang-petang lain di musim sejuk, redup, menggigit, dan pasti, berhabuk dingin.

Letih seharian suntuk menghadap buku Tafsir Ayat Ahkam (ayat-ayat hukum di dalam Al-Quran) karangan Syeikh Ali As-Saayis dan Sheikh As-Sabuni, petang itu saya dan seorang teman dari fakulti pergigian Universiti Al-Azhar, menuju ke taman perumahan Hayyu 'Ashir, 10 minit dari Hayyu Sabi' kawasan kami bermastautin. Sambil-sambil memberi ruang minda yang hampir sesak bertenang, Tuhan kurniakan kami peluang bersama teman-teman siswa yang lain berkumpul. Iftar dan solat hajat bersama, dan sesi motivasi ringan diantaranya.

Saat-saat hati dan akal lelah bergelut dengan kepekaan dan kesabaran menelaah pelajaran, peluang sedemikian bagai orang lapar disuap firakh masywi*.


Di antara banyak sekali butir ayat motivasi yang dikongsi malam itu, saya jadi terpana bila mendengar salah satu dari isinya :
" Hari ini, penindas agama Islam semakin berani. Islam dicabar dan ditindas dari semua sudut. Saat sebahagian kita melihat bahawa Islam sedang membina kekuatan, mungkin tidak ramai yang benar-benar cakna, musuhnya juga semakin kuat menindas. "

Dan berita-berita yang diputar sepanjang bulan di media massa di Malaysia, juga di Mesir, seakan-akan membenarkan dan menyokong kuat kata-kata tersebut.

Saat di Malaysia, pemimpin Kristian semakin berani membina kontroversi dan melakukan cubaan menjentik emosi dan sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia dengan isu kalimah mulia lagi agung lagi suci "Allah", di Mesir juga para Muslim (yang punya sensitiviti) dicabar dengan keputusan kerajaan Mesir membina tembok di sempadan Mesir-Palestin.

Jika ditilik-tilik, hampir setiap bulan, pasti ada berita dan khabar dari mana-mana pelusuk dunia, yang mencabar sensitiviti dan bertujuan menindas umat Islam. Baik dari apa sudut sekalipun.

Kalaulah mahu saya katakan apa yang kita maklum dari Qawaid Fiqhiyah (Kaedah-kaedah Fiqh), mungkin boleh rasanya saya rumuskan begini :

Kaedah : Apa yang diperlukan oleh sesuatu yang wajib untuk terlaksana, maka ia juga dikira wajib.
Masalah : Umat Islam ditindas dan agama kita yang tercinta ini dipijak dan diletak di bawah, dan kesannya juga berserakan ke seluruh penjuru dunia, baik ke atas muslimin atau pun yang bukan. Dunia menyaksikan berbagai-bagai malapetaka dan bahaya, samada yang hakiki, mahupun maknawi, melanda ke atas seluruh penghuninya.
Kewajipan : Meletakkan kembali Islam di tempatnya, membina kembali maruah dan izzah umat Islam, sehingga manusia dan dunia seluruhnya kembali merasai rahmat tunduk di bawah peraturan Allah, dan terselamat dari segala bahaya dan kesan buruk meninggalkan syariah.
Keperluan : Satu ruh baru bagi ummat ini, yang terdiri dari kalangan mukmin yang sempurna ciri Islam dan Imannya, yang mempunyai kefahaman mendalam bagaimana Islam mampu ditegakkan kembali, dan mempunyai kemahiran serta penguasaan yang tinggi dan cukup dalam setiap lapangan yang akan disentuh oleh   keajaiban Islam dan syariahnya.

Jika kewajipan itu ialah wajib, maka keperluan untuk melaksanakannya juga ialah wajib.

Saya sendiri rasa bersalah dan tenggelam dalam kerisauan.

Tampak sekali, cemerlang dalam hidup, bukanlah satu pilihan. Ia satu kewajipan, bagi yang memahami.

" Bagi setiap umat tempat arah tuju yang mereka cenderung padanya, maka berlumba-lumbalah di dalam kebaikan. " -AlQuran-

__________________________________________

Peperiksaan saya yang pertama sebagai pelajar di Universiti Al-Azhar akan bermula pada hari Ahad, 17/1/2010.

Bermula dengan subjek Tafsir Ayat Hukum, disusuli Nahu & Sorf (Gramatika Arab), Mustalah Hadith, dan yang terakhir, Tarikh Tasyri' Islami (Sejarah Perundangan Islam).

Jujur dalam hati saya bercampur baur 1001 perasaan. Mesir dan Al-Azhar sangat sinonim dengan kejutan.

Hasbunallah wa ni'mal wakeel. (Cukuplah bagi kami Allah,dan Dialah sebaik-baik tempat pergantungan.)

Saya mengharap doa dari kalian semua.

Rabbuna yusahhil, wa yuwaffiq. (Tuhan permudahkan dan beri petunjuk,insyaAllah.)
_________________________________________

* Firakh masywi : Ayam golek. Kata orang terbaik di bawah kubri Abbasiyyah. Dulu.

4 comments:

  1. salam alaik..
    bi taufiq wanajjah fil imtihan akhi..

    doa kami dari Malaysia sentiasa bersama-sama antum di sana..

    ~insyaAllah..suatu hari nanti pasti kita akan bertemu di atas jalan ini..

    mohon doanya agar kita istiqamah di jalan ini..

    ReplyDelete
  2. love is an option, not emotion.
    success in not an option, its a passion~

    note : dapat dari kawan

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails