Meninggalkan agama-agama manusia dan ideologi serta pemikiran yang lain jauh di belakang, Islam menjadi satu-satunya agama pada zaman ini yang menawarkan satu pemikiran serta falsafah dan kefahaman yang jelas dan benar, di sebalik satu fenomena yang merupakan satu kanun dalam alam manusia – maut.
Maut di sisi Islam punya kedudukan istimewa yang tersendiri. Berbeza dengan agama dan ideology yang lain, yang menempatkan maut di sudut terkecil atau malah sama sekali tidak menganggap ia sebagai satu sisi kehidupan, Islam melihat maut dengan satu cara pandang yang sangat istimewa, kerana yang mengajarkan ialah Tuhan yang di sisi nya hanya Islam (Sesungguhnya satu-satunya agama di sisi Allah ialah Islam, Ali ‘Imran : 19) dan Tuhan yang satu-satunya memiliki kuasa mendatangkan maut kepada manusia (Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya), Al An’am : 61).
Kaedah atau manhaj memahami maut ini disampaikan di pelbagai ayat dan dalam berbagai bentuk di dalam Al-Qur’an. Kesemuanya sangat lengkap untuk berdiri sebagai satu modul tersendiri, yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w sendiri dalam proses pembinaan sahabat-sahabatnya.
* * * * *
Hari ini manusia ramai yang berbincang tentang keadilan masyarakat dan demokrasi. Tidak ada negara yang akan terlepas dari memiliki paling kurang satu kelompok yang menjadi pendokong kepada sistem ini, samada yang memperjuangkannya dari acuan fikiran mereka sendiri, atau yang menjadikan sistem Islam sebagai sandaran.
Namun satu hakikat pahit yang perlu diterima buat masa ini, ialah tiada satu pun dari perjuangan-perjuangan ini yang sudah berjaya mencapai matlamatnya. Dalam pelbagai keadaan yang wujud, ada kelompok yang walaupun sudah berpuluh-puluh tahun memperjuangkannya masih lagi tertakluk di bawah kezaliman dan sekatan-sekatan yang pelbagai dari kerajaan yang memerintah.
Mungkin masanya belum tiba.
Bagi mereka yang memperjuangkannya tanpa acuan Islam, keadaan ini seolah-seolah hampir menemui jalan buntu. Mereka tiada bekal harapan dan motivasi untuk terus sehingga ke hujung perjuangan yang mereka sendiri telah gariskan.
Namun bagi para pejuang yang memperjuangkannya bersandarkan kepada Islam, mereka sedar, perjuangan ini mempunyai sudut yang pelbagai. Dan salah satu dari sudut itu ialah sudut Iman dan Ruhi (rohani). Kerana itu, sering kita lihat mereka yang datang dari kelompok ini, hanya tersenyum saat dijatuhkan hukuman kerana perjuangan mereka itu.
Terutama sekali mereka yang dijatuhkan hukuman mati – atau maut.
Bagi mereka, jika demokrasi dan keadilan hilang di muka bumi ini, bukanlah bermaksud selamanya mereka tidak menerima hak mereka dalam keadilan.
Keadilan pertama yang bakal mereka saksikan ialah saat ketika mereka melangkah ke alam barzakh,melalui proses maut.
Melalui maut, Allah mempamerkan sifatnya yang Maha Adil dalam semua sudut. Tidak ada yang akan terlepas dari menerima hak masing-masing, sesuai dengan apa yang telah dilakukan di atas muka bumi. Maka itu, kita dapati, tiada satupun manusia, dari apa sekalipun sudut perbezaan, yang dikecualikan dari menghadapi maut (Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, Ali ‘Imran : 185).
Semua raja yang paling berkuasa sekalipun di atas muka bumi, akhirnya akan berada di bawahnya, bersama-sama dengan orang yang pernah mereka kuasai satu masa dahulu. Orang yang menzalimi dan orang yang dizalimi, semuanya akan merasai keadilan yang pertama dari Allah, jika di dunia dahulu tidak mereka rasai.
Rupa-rupanya demokrasi dan keadilan itu di dalam ajal manusia. Di dalam maut.
Maka bagi orang yang beriman dengan keadilan dan demokrasi Allah di dalam maut ini, tiada yang perlu mereka risaukan jika di dunia ini tidak sempat mereka lihat dan rasai akan tertegaknya keadilan. Dan tiada yang lain yang mereka ucapkan melainkan : “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid) dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisiNya atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu. At-Taubah : 52”
*Dari mimbar Jumaat, Masjid ‘Ibaad Ar-Rahman, Hayyu Saabi’, Madinat Nasr, Kaherah. Diterjemah dan disaring bebas oleh saya sendiri.
Maknanya blog akan diupdate setiap kali selepas solat jumaat?
ReplyDeleteSaja gurau, hihi ^_^