Recent Posts

Tuesday, May 19, 2009

Buat Semua Murabbi & Guru.


Catatan Kenangan : Hari-hari bersama ‘MURABBI’

Oh alangkah bahagia

Oh alangkah mulia

Hari ini aku kisahkan

Aku, dan disisiku,

MURABBI.

Seperti rasul

Bersama-sama, nikmati satu santapan,

Begitu murabbiku

Duduk bersama, jamah satu hidangan.

Seperti rasul

Bersama-sama berbantalkan lengan,

Begitu murabbiku

Bersama-sama tidur atas hamparan.

Seperti rasul,

Turun bersama gali paritan

Begitu murabbiku

Sentiasa seiringku lakukan tugasan.

Seperti rasul,

Faham segala dalaman luaran

Begitu murabbiku

Segala pemikiran tekun menjelaskan.

Seperti rasul,

Membina syuhada’ pemuda pahlawan

Begitu murabbiku

Dibina aku lengkap perincian.

Seperti rasul,

Marah, senyum, sedih, memberi kesan

Begitu murabbiku

Memberi taujih sesuai perasaan.

Seperti rasul,

Menyucikan, memahamkan, lantas menggerakkan

Begitu murabbiku

Diasuh aku, jadi asas kebangkitan.

Seperti rasul,

Menghormati tidak memalukan

Begitu murabbiku

Di sampingnya aku, terasa dimuliakan.

Yang lahir bukan sekadar hartawan

Yang lahir bukan sekadar agamawan

Yang lahir bukan sekadar negarawan

Yang lahir bukan sekadar tokoh kemasyarakatan

Yang lahir bukan sekadar juara kebajikan

Yang lahir bukan sekadar olahragawan

Yang lahir bukan sekadar jaguh perdebatan

Tetapi RIJAL,

Dengan mereka ISLAM diagungkan

Oh alangkah bahagia

Oh alangkah mulia

Ketika itu

Aku, dan disisiku,

MURABBI.

Wednesday, May 13, 2009

Mikrajovic mengembara : Singapura.

Akhirnya saya memutuskan untuk mewujudkan bentuk-bentuk tulisan sebegini dalam blog saya. Saya tahu ada banyak benar orang menulis begini. Dan saya suka. Kerana perspektif kita berbeza semuanya. Lebih banyak kita berkongsi, lebih luas bukaan dimensi. Dan ayat Allah menyeru setiap kita : Berjalan dan ambil pelajaran. 

SINGAPURA (klik sini untuk maklumat geografi)
Gambar-gambar saya di sini dan sini.

1. Negara kuffar. Ya, agak kasar bunyinya. Tapi itu rasanya ayat paling baik untuk menghimpunkan makna yang saya maksudkan. Hampir kesemua negara yang penduduk majoritinya bukan Islam berkongsi ciri-ciri yang sama (setahu saya). Rakyatnya akan menghabiskan sehari-harian mereka mengejar kemajuan material, dan nilai moral dan agama hanya sekadar selitan agar tampak seimbang. Dan perancangan juga bermatlamat hujung mengukuh kemajuan fizikal dan material, dan kemewahan hidup dunia.

" لا يغرنك تقلب الذين كفروا في البلاد متاع قليل ثم مئواهم جهنم"
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). QS 3 : 196

Sedihnya,saya cuma mengingatkan, tanah Singapura ini dulu termasuk dalam lingkungan yang dinaungi Islam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka di kemuncaknya. 

2. Negara Asia Tenggara Paling Maju. Sudah tentulah, bersekutu rapat dengan Amerika, inilah antara pulangannya. Saya tidak dapat menafikan. Singapura memang jauh terkehadapan dalam hampir semua sudut, terutamanya pentadbiran, pengurusan tenaga kerja, penempatan, pengekalan alam sekitar, dan sistem pengangkutan. Negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia sepatutnya punya rasa malu dengan hakikat ini. Keteraturan sistem dan kebajikan rakyat sepatutnya dijuarai oleh orang Islam, yang mendapat panduan lengkap dari Al-Quran. 

Satu masa dulu orang bukan Islam merasa kagum dengan kemahiran orang Islam mengatur,lantas membuatkan mereka lebih hampir untuk memahami Islam. Keadaan semasa di rantau Asia Tenggara sudah jadi sebaliknya. Kata orang, terlalu 'kiasu'. Dari satu sudut, ia perkara yang baik sebenarnya.

3. Pemimpinnya Rajin dan Bercita-Cita Besar. Sesetengah orang memang sangat anti dengan pemimpinnya yang paling berpengaruh, Lee Kuan Yew. Semasa di sana saya sempat mendengar satu ucapan dari beliau tentang menghijaukan Singapura. Ramai yang turut mendengarnya berbisik-bisik sesama sendiri. Mereka tampak setuju bahawa Lee Kuan Yew seorang yang keras di luar lembut di dalam (mungkin betul agaknya). 
Perancangan menghijaukan bandar tersebut mungkin bukan jadi prioriti pemimpin negara kita (dengan alasan tiada pulangan ekonomi/pelaburan untuk negara), tapi bagi beliau ia satu yang sangat diutamakan, dengan sebabnya yang tersendiri. Bermula 50 tahun dahulu, kini Singapura sememangnya boleh mengakui rancangannya memberi impak yang besar kepada Singapura. Singapura kini 'Bandar Di Dalam Taman' (menurut definisi mereka). 
Satu tempoh masa yang lama untuk melihat hasil yang awalnya sangat tidak jelas. Tetapi bila ia berjaya, kebanyakan rakyatnya lebih menghargai kerajaan dan menyokong semua usaha kerajaan dengan lapang dada. 

Mereka yang memimpin satu wawasan perlu bersifat begini. Lebih lagi memimpin wawasan Islam dan ingin menegakkan negara yang bakal menuntut rakyatnya mematuhi syariah. Negara hanya mampu berdiri dengan sokongan penuh dari rakyat. Syariah hanya mampu tertegak dengan kefahaman meluas di kalangan rakyat. Usaha ini perlu jadi prioriti walau memakan masa dan tidak jelas hasil pada awalnya.

4. Kerja berkualiti dan berterusan. Kualiti hasil kerja kebanyakan rakyat Singapura sememangnya menakjubkan. Kerja yang dihasilkan dirancang dengan tenaga-tenaga pakar dan dilaksanakan oleh mereka yang betul-betul layak, dan sudah melalui latihan khas daripada pakar-pakar tersebut. Hatta sehingga pekerja-pekerja bawahan seperti pegawai-pegawai, buruh-buruh, dan staf-staf swasta sangat memelihara kualiti kerja mereka masing-masing. Dan kualiti ini dipantau dengan sangat teliti, menggunakan segala platform moden, dan mengikut jadual yang ketat, supaya ianya berterusan.

Bukannya di negara-negara lain tiada. Sistem dan cara ini biasa. Cuma implementasi mereka luar biasa. Pada saya, bukan sistem itu yang harus dikagumi, kerana siapa sahaja boleh memikirkan dan meneroka pelbagai teori dan sistem kerja yang bagus.
Yang harus dicontohi ialah perangai dan sikap. Di negara kita khususnya, sikap dan perangai tenaga kerja (kerajaan khususnya) jadi batu penghalang yang sangat besar kepada sistem yang tampak efisien.

Dalam Islam pun sudah cukup. Itqan,Amanah,Adil. Praktikalnya? 

Ada hadis : "Sebaik-baik amal yang berkekalan biarpun sedikit"

Ini juga tidak jadi budaya dalam negara kita. Singapura selama 50 tahun tanpa culas memelihara pokok-pokok yang ditanam sehingga kini hampir 60 % jalan-jalan di Singapura dipayungi pohon-pohon hutan hujan yang teduh dan nyaman. Kata seorang ahli majlis perbandaran di Malaysia kepada saya; "Malaysia will never do that, we are very good starter, but very bad maintainer and finisher."

*  *  *  *  *
"Dan ambillah pengajaran wahai orang-orang yang punya pandangan"

Catatan : Saya di Singapura dari 11-12 Mei 2009 yang lalu.
 

KBAZ 2009.


Alhamdulillah.

FAKTA KBAZ 2009 :

0. Satu-satunya seumpamanya di Malaysia.
1. Seramai 3000 orang memenuhi Dewan Merdeka PWTC tidak termasuk hampir ratusan lagi yang tidak berpeluang mendaftar kerana tiada kekosongan.
2. Peserta hadir dari setiap negeri di Malaysia melalui pelbagai medium.
3. Majoriti peserta adalah berumur 20 - 30 an.
4. Kesemua media arus perdana hadir membuat liputan.
5. Digerakkan oleh tenaga-tenaga berumur bawah 40-an.

Wal hamdulillah wallahu akbar.

Biarkan gambar-gambar yang bercerita. Sudi-sudilah melawat :

Jurugambar rasmi - Norzafry Norhalim

Jurugambar rasmi - Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim

Wednesday, May 6, 2009

Pemuda Gila.

"Tu je lah setakat ni."
"Syukran. Ada masa kita bual lagi."

Mujiib letak telefon. 15 minit berbual panjang dalam telefon memang takkan puas. Banyak sangat berita yang ingin dia dengar. Berita dari adik-adik di Madrasah Tsuur (sempena nama gua kedua yang pernah Rasulullah diami sementara), madrasah lamanya.

*  *  *  *  *
Tapi perbualan itu jadi bermakna tiba-tiba. Mujiib jadi terimbau pula kisahnya sendiri. 7 tahun dulu. Memang kisah lama,tapi kisah itu kisah sakral di dalam dada Mujiib. Sudah terpahat takkan pudar.

Waktu itu dia juga seperti adik-adik muda itu. Mujiib terkadang keliru juga. Imbau-imbau begitu buat dia rasa tua walhal umurnya belumlah lama mana. Tapi memang waktu itu terasa benar darah mudanya. Sama seperti adik-adik di Madrasah Tsuur itu.

Mujiib ingat lagi bila satu pagi Isnin yang sejuk di madrasahnya, Pengetua Madrasahnya Syeikh Rosidi Al-Ilyasi  bersuara lantang di dalam perhimpunan. "Orang-orang muda macam antum ini,kata ulama' hati, sedang dalam marhalah jununiyyah. Tahu maknanya? Peringkat gila. Kemuncak umur dan tenaga. Semangat tinggi tak ingat dunia."

Suka benar sahabat-sahabat madrasahnya mendengar. Sampaikan dalam satu liga bolasepak di Madrasah kampung itu, di hujung-hujung tahun itu, jadi nama pasukan pula istilah arab itu. Kalau yang sensasi-sensasi itu memang suka belaka. Suka mengaku gila. Memang benarlah gila.
Habis Pengetua sendiri turun padang berjumpa ketua pasukan minta tukar nama. Kalau boleh janganlah sensasi sangat, ana sensasi sikit dalam perhimpunan sudahlah, katanya berbau sedikit bangga. 

Tapi Mujiib tahu, pengetua bukan cakap suka-suka. Kalau suka-suka takkan jadi pengetua. Pengetua petik kata ulama'. Pengetua tak buat fatwa sendiri sesuka hati. Memang umur muda ialah umur gila. Sanggup buat segalanya. Pedulikan selamat atau bahaya. Pedulikan mampu atau tak terdaya. Pedulikan baik atau celaka. Peduli saja semuanya. Buat semua yang mahu.

Begitulah tabiatnya orang muda.

Mujiib tak boleh sangkal pun. Dia pernah sendiri merasa. Cumanya, alhamdulillah, dia ingat sambungan pesanan Syeikh pengetua, "Maka gilanya orang muda macam antum mesti digunakan. Mesti disalurkan. Mesti dipandu. Ke mana? Untuk apa? Apa lagi kalau bukan Islam dan umatnya. Gila itu akan jadi masalah, kalau sedikit pun tiada panduan dan tiada saluran untuk diluah. Ana pun tahulah, ana pun orang muda apa?" begitu dia berkata, disambut seloroh buat-buat pelajar madrasah semua. Seloroh menghormati majlis kata mereka.

Disebabkan Mujiib tidak lupa sambungan pesan pengetua itulah dia jadi pemuda gila yang beruntung. Tambah pula ada abang-abang yang lebih tua sanggup melayan kegilaan. Atau selalunya sama-sama gila. Gilakan kebaikan tentunya.

Setiap hari sanggup sahaja tidur atas karpet surau madrasah berwarna biru penuh hama. Kata si abang, mujahidin tidur atas tanah saja. Sanggup juga bangun 3 pagi lalu ke tengah-tengah padang madrasah mendengar tazkirah sambil menahan kantuk. Kata si abang, para ulama' menulis kitab tak pernah tersengguk. Biasa sahaja tidur 2 atau 3 jam sahaja sehari membuat kerja-kerja BIDARA (Badan Induk Dakwah Tarbiyah). Kata si abang, ummat menderita mana ada masa mahu lelapkan mata. Tak kurang yang berpuasa umpama nabi Daud selang sehari. Kata si abang baguslah, kita orang muda nabi suruh jaga nafsu diri.

Mujiib ingat itu semua. Dan dia tidak lupa,bila dikisahkan pada rakan-rakan di luar madrasah,suka sekali mendengar jawapan mereka. "Gila."

Mujiib tak malu bahkan suka. Apa tidaknya? Lebih baik dia gila begitu dari gila seperti mereka. Mujiib pasti selalu bertanya semula. Habis tu kau tak tidur malam main CS tak gila? Kau habis kredit RM50 sebulan main sms 'ayang dah tidow lum?' tak gila? Kau merempit sampai terpeleot tangan kaki calar sana sini tak gila? 

Itulah Mujiib tahu dia beruntung. Kalau jelas hala tuju dan punya panduan, sebetulnya, bagus sekali jadi pemuda yang gila.

Mujiib doa-doa. Moga-moga dia terus jadi pemuda gila. Walau umur dan jasadnya menua.




Tuesday, May 5, 2009

Kami Bukan Untuk Dibeli.

Buat yang mungkin kurang prihatin, atau sopannya, kurang kesempatan mengikuti perkembangan isu yang tidak kalah pentingnya - PPSMI - saya nasihatkan membaca kenyataan ini. Atau boleh juga baca beritanya di sini.

Dulu saya sering dengarkan tentang mereka dari guru Bahasa Melayu saya - Muallim Hasni - dan saya sering menyimpan kagum dalam prejudis. Ya lah, siapa sahaja pasti ada prejudis dengan orang-orang yang punya gelar dari kerajaan bukan?

Kita menantikan lebih ramai yang mendapat gelar-gelar berdegar dari kerajaan ini tidak malu membuangnya bila dia mahu menyatakan prinsip.

Sifat yang harus dicontohi, lebih-lebih lagi para Ulama'.

Teringat saya satu lagu dari Soldiers Of Allah - Muslim Scholars For Hire.