SINGAPURA (klik sini untuk maklumat geografi)
1. Negara kuffar. Ya, agak kasar bunyinya. Tapi itu rasanya ayat paling baik untuk menghimpunkan makna yang saya maksudkan. Hampir kesemua negara yang penduduk majoritinya bukan Islam berkongsi ciri-ciri yang sama (setahu saya). Rakyatnya akan menghabiskan sehari-harian mereka mengejar kemajuan material, dan nilai moral dan agama hanya sekadar selitan agar tampak seimbang. Dan perancangan juga bermatlamat hujung mengukuh kemajuan fizikal dan material, dan kemewahan hidup dunia.
" لا يغرنك تقلب الذين كفروا في البلاد متاع قليل ثم مئواهم جهنم"
Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka). QS 3 : 196
Sedihnya,saya cuma mengingatkan, tanah Singapura ini dulu termasuk dalam lingkungan yang dinaungi Islam, semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka di kemuncaknya.
2. Negara Asia Tenggara Paling Maju. Sudah tentulah, bersekutu rapat dengan Amerika, inilah antara pulangannya. Saya tidak dapat menafikan. Singapura memang jauh terkehadapan dalam hampir semua sudut, terutamanya pentadbiran, pengurusan tenaga kerja, penempatan, pengekalan alam sekitar, dan sistem pengangkutan. Negara-negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia sepatutnya punya rasa malu dengan hakikat ini. Keteraturan sistem dan kebajikan rakyat sepatutnya dijuarai oleh orang Islam, yang mendapat panduan lengkap dari Al-Quran.
Satu masa dulu orang bukan Islam merasa kagum dengan kemahiran orang Islam mengatur,lantas membuatkan mereka lebih hampir untuk memahami Islam. Keadaan semasa di rantau Asia Tenggara sudah jadi sebaliknya. Kata orang, terlalu 'kiasu'. Dari satu sudut, ia perkara yang baik sebenarnya.
3. Pemimpinnya Rajin dan Bercita-Cita Besar. Sesetengah orang memang sangat anti dengan pemimpinnya yang paling berpengaruh, Lee Kuan Yew. Semasa di sana saya sempat mendengar satu ucapan dari beliau tentang menghijaukan Singapura. Ramai yang turut mendengarnya berbisik-bisik sesama sendiri. Mereka tampak setuju bahawa Lee Kuan Yew seorang yang keras di luar lembut di dalam (mungkin betul agaknya).
Perancangan menghijaukan bandar tersebut mungkin bukan jadi prioriti pemimpin negara kita (dengan alasan tiada pulangan ekonomi/pelaburan untuk negara), tapi bagi beliau ia satu yang sangat diutamakan, dengan sebabnya yang tersendiri. Bermula 50 tahun dahulu, kini Singapura sememangnya boleh mengakui rancangannya memberi impak yang besar kepada Singapura. Singapura kini 'Bandar Di Dalam Taman' (menurut definisi mereka).
Satu tempoh masa yang lama untuk melihat hasil yang awalnya sangat tidak jelas. Tetapi bila ia berjaya, kebanyakan rakyatnya lebih menghargai kerajaan dan menyokong semua usaha kerajaan dengan lapang dada.
Mereka yang memimpin satu wawasan perlu bersifat begini. Lebih lagi memimpin wawasan Islam dan ingin menegakkan negara yang bakal menuntut rakyatnya mematuhi syariah. Negara hanya mampu berdiri dengan sokongan penuh dari rakyat. Syariah hanya mampu tertegak dengan kefahaman meluas di kalangan rakyat. Usaha ini perlu jadi prioriti walau memakan masa dan tidak jelas hasil pada awalnya.
4. Kerja berkualiti dan berterusan. Kualiti hasil kerja kebanyakan rakyat Singapura sememangnya menakjubkan. Kerja yang dihasilkan dirancang dengan tenaga-tenaga pakar dan dilaksanakan oleh mereka yang betul-betul layak, dan sudah melalui latihan khas daripada pakar-pakar tersebut. Hatta sehingga pekerja-pekerja bawahan seperti pegawai-pegawai, buruh-buruh, dan staf-staf swasta sangat memelihara kualiti kerja mereka masing-masing. Dan kualiti ini dipantau dengan sangat teliti, menggunakan segala platform moden, dan mengikut jadual yang ketat, supaya ianya berterusan.
Bukannya di negara-negara lain tiada. Sistem dan cara ini biasa. Cuma implementasi mereka luar biasa. Pada saya, bukan sistem itu yang harus dikagumi, kerana siapa sahaja boleh memikirkan dan meneroka pelbagai teori dan sistem kerja yang bagus.
Yang harus dicontohi ialah perangai dan sikap. Di negara kita khususnya, sikap dan perangai tenaga kerja (kerajaan khususnya) jadi batu penghalang yang sangat besar kepada sistem yang tampak efisien.
Dalam Islam pun sudah cukup. Itqan,Amanah,Adil. Praktikalnya?
Ada hadis : "Sebaik-baik amal yang berkekalan biarpun sedikit"
Ini juga tidak jadi budaya dalam negara kita. Singapura selama 50 tahun tanpa culas memelihara pokok-pokok yang ditanam sehingga kini hampir 60 % jalan-jalan di Singapura dipayungi pohon-pohon hutan hujan yang teduh dan nyaman. Kata seorang ahli majlis perbandaran di Malaysia kepada saya; "Malaysia will never do that, we are very good starter, but very bad maintainer and finisher."
* * * * *
"Dan ambillah pengajaran wahai orang-orang yang punya pandangan"
Catatan : Saya di Singapura dari 11-12 Mei 2009 yang lalu.
salam...di negara bukan Islam,nampak pelaksanaan Islamnya...tp di negara Islam, tak nampak pelaksanan Islamnya...inilah tugas kita.. utk mengembalikan Islam di tempat asalnya...insyaAllah..
ReplyDeletedapat aksesori pilihan?
ReplyDelete*out of topic. haha*