May 06, 2009

Pemuda Gila.

"Tu je lah setakat ni."
"Syukran. Ada masa kita bual lagi."

Mujiib letak telefon. 15 minit berbual panjang dalam telefon memang takkan puas. Banyak sangat berita yang ingin dia dengar. Berita dari adik-adik di Madrasah Tsuur (sempena nama gua kedua yang pernah Rasulullah diami sementara), madrasah lamanya.

*  *  *  *  *
Tapi perbualan itu jadi bermakna tiba-tiba. Mujiib jadi terimbau pula kisahnya sendiri. 7 tahun dulu. Memang kisah lama,tapi kisah itu kisah sakral di dalam dada Mujiib. Sudah terpahat takkan pudar.

Waktu itu dia juga seperti adik-adik muda itu. Mujiib terkadang keliru juga. Imbau-imbau begitu buat dia rasa tua walhal umurnya belumlah lama mana. Tapi memang waktu itu terasa benar darah mudanya. Sama seperti adik-adik di Madrasah Tsuur itu.

Mujiib ingat lagi bila satu pagi Isnin yang sejuk di madrasahnya, Pengetua Madrasahnya Syeikh Rosidi Al-Ilyasi  bersuara lantang di dalam perhimpunan. "Orang-orang muda macam antum ini,kata ulama' hati, sedang dalam marhalah jununiyyah. Tahu maknanya? Peringkat gila. Kemuncak umur dan tenaga. Semangat tinggi tak ingat dunia."

Suka benar sahabat-sahabat madrasahnya mendengar. Sampaikan dalam satu liga bolasepak di Madrasah kampung itu, di hujung-hujung tahun itu, jadi nama pasukan pula istilah arab itu. Kalau yang sensasi-sensasi itu memang suka belaka. Suka mengaku gila. Memang benarlah gila.
Habis Pengetua sendiri turun padang berjumpa ketua pasukan minta tukar nama. Kalau boleh janganlah sensasi sangat, ana sensasi sikit dalam perhimpunan sudahlah, katanya berbau sedikit bangga. 

Tapi Mujiib tahu, pengetua bukan cakap suka-suka. Kalau suka-suka takkan jadi pengetua. Pengetua petik kata ulama'. Pengetua tak buat fatwa sendiri sesuka hati. Memang umur muda ialah umur gila. Sanggup buat segalanya. Pedulikan selamat atau bahaya. Pedulikan mampu atau tak terdaya. Pedulikan baik atau celaka. Peduli saja semuanya. Buat semua yang mahu.

Begitulah tabiatnya orang muda.

Mujiib tak boleh sangkal pun. Dia pernah sendiri merasa. Cumanya, alhamdulillah, dia ingat sambungan pesanan Syeikh pengetua, "Maka gilanya orang muda macam antum mesti digunakan. Mesti disalurkan. Mesti dipandu. Ke mana? Untuk apa? Apa lagi kalau bukan Islam dan umatnya. Gila itu akan jadi masalah, kalau sedikit pun tiada panduan dan tiada saluran untuk diluah. Ana pun tahulah, ana pun orang muda apa?" begitu dia berkata, disambut seloroh buat-buat pelajar madrasah semua. Seloroh menghormati majlis kata mereka.

Disebabkan Mujiib tidak lupa sambungan pesan pengetua itulah dia jadi pemuda gila yang beruntung. Tambah pula ada abang-abang yang lebih tua sanggup melayan kegilaan. Atau selalunya sama-sama gila. Gilakan kebaikan tentunya.

Setiap hari sanggup sahaja tidur atas karpet surau madrasah berwarna biru penuh hama. Kata si abang, mujahidin tidur atas tanah saja. Sanggup juga bangun 3 pagi lalu ke tengah-tengah padang madrasah mendengar tazkirah sambil menahan kantuk. Kata si abang, para ulama' menulis kitab tak pernah tersengguk. Biasa sahaja tidur 2 atau 3 jam sahaja sehari membuat kerja-kerja BIDARA (Badan Induk Dakwah Tarbiyah). Kata si abang, ummat menderita mana ada masa mahu lelapkan mata. Tak kurang yang berpuasa umpama nabi Daud selang sehari. Kata si abang baguslah, kita orang muda nabi suruh jaga nafsu diri.

Mujiib ingat itu semua. Dan dia tidak lupa,bila dikisahkan pada rakan-rakan di luar madrasah,suka sekali mendengar jawapan mereka. "Gila."

Mujiib tak malu bahkan suka. Apa tidaknya? Lebih baik dia gila begitu dari gila seperti mereka. Mujiib pasti selalu bertanya semula. Habis tu kau tak tidur malam main CS tak gila? Kau habis kredit RM50 sebulan main sms 'ayang dah tidow lum?' tak gila? Kau merempit sampai terpeleot tangan kaki calar sana sini tak gila? 

Itulah Mujiib tahu dia beruntung. Kalau jelas hala tuju dan punya panduan, sebetulnya, bagus sekali jadi pemuda yang gila.

Mujiib doa-doa. Moga-moga dia terus jadi pemuda gila. Walau umur dan jasadnya menua.




5 comments:

  1. salam, mmg mengingatkan semula pada memori 'kegilaan' time muda2 dulu.

    > nama kumpulan bola sepak tu adalah 'marhalah gila' dan ana menjadi bek kiri time tu.

    wallahu a'alam

    ReplyDelete
  2. herm...herm..terpikir sendiri..aku ni dah cukup 'gila' ke??


    kumpulan tu tukar nama marhalah syabab..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails