Di antara peraturan Allah s.w.t yang diletakkan ke atas
manusia seluruhnya ialah; untuk mencapai sesuatu dan menegakkan sesuatu,
manusia harus berjuang. Tidak ada sesuatu yang akan diperolehi atau berjaya
dimiliki jika manusia tersebut tidak berjuang dan berusaha. Peraturan atau sunnatullah
ini terpakai kepada semua manusia, baik umat Islam mahupun yang kafir.
Oleh kerana itu, di dalam Islam disyariatkan ke atas umatnya
untuk berjihad atau berjuang. Jihad atau perjuangan adalah ibadah dan wasilah
yang diajarkan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam agar umat Islam mampu
mencapai kejayaan menunaikan misi yang diarahkan kepada mereka iaitulah misi
memimpin dunia dengan hidayah Islam.
Jihad atau perjuangan juga merupakan penentu kedudukan dan
nasib umat Islam. Jika mereka berjuang, mereka akan menjadi mulia. Jika mereka
tidak berjuang dan tidak mengendahkan misi yang Allah berikan, mereka akan
menjadi hina.
Oleh kerana perjuangan yang diajar oleh Allah ini ialah
suatu ibadah di sisi-Nya, Allah s.w.t tidak mahu ia ditunaikan di atas hasrat
lain selain daripada demi mendapatkan redha-Nya. Sebagaimana Allah s.w.t tidak
menerima sekutu dalam ibadah-ibadah yang lain, sebegitu juga Allah tidak
menerima sekutu (partnership) dalam ibadah jihad atau perjuangan.
Jihad dan perjuangan umat Islam harus dilaksanakan
semata-mata kerana-Nya. Jika wujud hatta sekelumit hasrat mencari tujuan-tujuan
lain khususnya keuntungan dunia, perjuangan tersebut akan tidak diterima oleh
Allah s.w.t. Bahkan ia digelar sebagai sebuah pengkhianatan kepada perjuangan
tersebut.
Demikianlah yang dipotretkan dalam sebuah hadith Nabi s.a.w
mengenai Bani Israil yang dahulunya diberikan misi perjuangan yang sama kepada
umat Islam pada hari ini.
Perjuangan Bani Israil Dicemari Oleh Khianat
Dalam kitab Riyādhus Sālihīn susunan Imam An-Nawawi
rahimahullah, pada bab As-Sidq (kejujuran dan ketulusan), beliau memuatkan
sebuah hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a (Hadith no. 5
pada bab tersebut). Hadith tersebut merupakan sebuah pengkisahan perjuangan
seorang Nabi yang memimpin Bani Israil selepas kewafatan Nabi Musa dan Harun
a.s. Ulama’ menyatakan bahawa Nabi tersebut bernama Yusha’ bin Nun, iaitulah
orang muda yang menemani Musa a.s dalam rehlah ilmunya bersama Nabi Khidhir
a.s.
Nabi Yusha’ menyambung tugas Nabi Musa untuk menjadi
pemimpin kepada Bani Israil bagi berjuang menegakkan kalimah Allah di muka
bumi. Di zaman Musa a.s, Bani Israil diperintahkan agar memerangi sebuah kaum
yang mensyirikkan Allah yang menguasai tanah Baitul Maqdis di zaman itu. Tetapi
Bani Israil enggan menyahut seruan tersebut dan menyuruh Musa a.s sahaja yang
pergi memerangi kaum tersebut lantaran ketakutan mereka dalam berdepan dengan
kaum tersebut. Akibat daripada keengganan mereka, Allah s.w.t menghukum mereka
dengan hukuman hidup dalam keadaan sesat di padang pasir selama 40 tahun.
Dalam tempoh hukuman ini, generasi yang degil (generasi tua)
meninggal dunia dan generasi yang baru lahir. Generasi baru ini sempat dididik
dan ditarbiyah oleh Musa a.s di atas asas aqidah dan iman yang betul. Nabi Musa
a.s kemudiannya wafat dan meninggalkan generasi baru ini kepada penggantinya
Nabi Yusha’ untuk dipimpin agar kembali menjadi bangsa yang mulia kerana
mengendong risalah perjuangan tauhid.
Generasi baru Bani Israil ini menyahut seruan Nabi Yusha’
untuk berjuang. Namun Nabi Yusha’ menetapkan kepada mereka semua beberapa
syarat untuk memastikan tiada seorang pun di kalangan Bani Israil yang berjuang
ini ada keterikatan kepada kepentingan dan kesibukan dunia, atau ingin mengejar
keuntungan dunia dalam perjuangan mereka.
Misalnya, barangsiapa yang memiliki unta yang sedang
mengandung (harta bernilai di waktu itu) dilarang turut serta kerana dia akan
sibuk memikirkan harta baru (anak unta) yang bakal lahir ketika dia berperang
nanti. Nabi Yusha’ benar-benar ingin memastikan Bani Israil berjuang dalam
keadaan bebas secara total daripada sebarang gangguan memikirkan perihal harta
dan nikmat dunia, serta gangguan nafsu mengejar harta rampasan daripada
perjuangan yang bakal dilalui.
Di satu peristiwa dalam perang Bani Israil ke atas kaum yang
menguasai Baitul Maqdis tersebut, disebutkan dalam hadith bahawa Nabi Yusha’
telah meminta agar matahari berhenti daripada terbenam. Situasi ini berlaku
pada petang Jumaat, di saat genting penentuan kemenangan Bani Israil ke atas
kaum tersebut. Jika matahari terbenam dan bermulanya hari Sabtu, Bani Israil
terpaksa mengundur diri kerana syariat di waktu itu menetapkan hari Sabtu
sebagai hari ibadah sahaja dan tiada aktiviti selain ibadah dibenarkan.
Berkat ketulusan perjuangan Bani Israil, permintaan Nabi
Yusha’ kepada Allah s.w.t agar matahari ditahan daripada terbenam sehingga Bani
Israil menang, diperkenankan oleh Allah s.w.t. Bani Israil meskipun pada waktu
itu merupakan tentera yang lebih kecil berbanding kaum penguasa Baitul Maqdis
tersebut, berjaya mengalahkan mereka dengan bantuan daripada Allah s.w.t.
Nabi Yusha’ selaku panglima perang kemudiannya mengumpulkan
semua harta rampasan perang di atas sebuah puncak bukit. Menurut syariat di
waktu itu, harta rampasan tidak boleh diambil sedikit pun. Semuanya harus
diletakkan di atas puncak bukit untuk kemudiannya disambar oleh cahaya dari
langit menunjukkan tanda penerimaan Allah s.w.t terhadap ibadah jihad dan
perjuangan yang dilakukan oleh Bani Israil.
Nabi Yusha’ menunggu tibanya cahaya dari langit untuk
menyambar harta rampasan yang telah dikumpulkan namun ianya tidak kunjung tiba.
Ada ‘hijab’ atau penghalang daripada penerimaan Allah s.w.t terhadap harta
rampasan dan perjuangan Bani Israil. Nabi Yusha’ segera mengumumkan bahawa ada
di kalangan mereka ini yang merupakan ‘ghulūl’ yakni pengkhianat harta
rampasan, atau dengan maksud lain, pengkhianat kepada perjuangan dan kemenangan
yang telah diusahakan oleh Bani Israil di Baitul Maqdis.
Nabi Yusha’ melakukan penyiasatan di kalangan 12 kabilah
Bani Israil yang terlibat dalam perang tersebut sehingga akhirnya terdedah
bahawa ada di kalangan mereka yang secara senyap telah menyimpan salah satu
harta rampasan perang pada ketika itu, iaitulah sebuah ketulan emas besar
berbentuk kepala lembu. Harta tersebut diletakkan bersama harta-harta yang lain
lalu tibalah cahaya dari langit menyambar kesemua harta tersebut, tanda Allah
s.w.t akhirnya menerima dan redha dengan perjuangan yang diusahakan oleh Bani
Israil. Hampir-hampir sahaja segala titik keringat mereka dalam berjuang tidak
diiktiraf oleh Allah s.w.t lantaran adanya pengkhianat yang bernafsu kepada
harta di kalangan mereka.
Kisah ini meskipun diriwayatkan dalam sebuah hadith yang sederhana
sahaja panjangnya namun ia cukup dengan pelbagai faedah dan pengajaran kepada
seluruh bangsa umat Islam yang dituntut untuk berjuang pada hari ini.
Sesungguhnya perjuangan yang dicemari oleh pengkhianatan –
khususnya yang terbit kerana tamak harta dunia dan mencari keuntungan selain
daripada yang diizinkan oleh Allah s.w.t – sama sekali tidak akan diterima oleh
Allah, tidak diberkati oleh Allah, malah bangsa tersebut akan terus kekal dalam
kehinaan dan tidak menerima kemuliaan yang sepatutnya dinikmati oleh bangsa
yang berjuang kerana Allah.
Bersambung di siri 2: http://brat-mikrajovic.blogspot.my/2016/08/pengkhianatan-dalam-perjuangan-kisah_9.html?m=1
台湾视讯聊天室破解 , 成人视频 , 裸聊美女视频 , 视频软件 , 真人裸聊聊天室 , 同城一夜我情聊天室 , 同城交友聊天室 , 同城聊天室网站 , 情色视频 , 裸体视频
ReplyDelete