1. Bahasa Melayu bukan identiti bangsa Melayu sahaja. Ia adalah identiti kepada semua bangsa di Malaysia, dan identiti kepada negara Malaysia. Di atas asas ini negara ini didirikan dan dibentuk.
2. Ia adalah persetujuan yang perlu dilaksanakan melalui pelbagai medium misalnya melalui pendidikan (sekolah vernakular dalam hal ini, merupakan masalah yang menghalang), dan juga melalui seni.
3. Seni sebagai produk budaya bangsa yang diteraskan di atas bahasa bangsa iaitulah Bahasa Melayu memiliki kepentingan dan peranan yang besar dan tersendiri, kerana hasil hujungnya ialah kesatuan dan integrasi rakyat pada satu bahasa yang sama.
4. Jika seniman ingin seni menjadi alat untuk penyatuan dan integrasi rakyat di Malaysia, mereka perlu menjunjung dan meletakkan karya seni yang menggunakan Bahasa Melayu dengan baik di tempat yang istimewa kerana hasil seni tersebut telah turut berfungsi sebagai medium penyatuan rakyat yang betul.
5. Karya seni yang lain tidak pula dihalang untuk dihasilkan tetapi apabila ia tidak menggunakan Bahasa Melayu tentulah kedudukannya berbeza kerana ia tidak menunaikan peranan penyatuan rakyat seperti karya yang menggunakan Bahasa Melayu.
6. Adalah suatu kesilapan besar jika bahasa tidak dianggap sebagai komponen penting dalam pembinaan negara yang kukuh kerana bahasa merupakan bekas serta penterjemah kepada khazanah intelek, pemikiran, sejarah, dan budaya di sesuatu negara.
7. Hal ini sebenarnya adalah perkara asas yang difahami di semua negara maju yang prihatin terhadap kepentingan identiti yang jelas dan kukuh dalam membina sebuah negara yang tidak rapuh.
8. Seniman memiliki pengaruh yang sama besarnya seperti pendidik dalam mencorak pemikiran dan identiti rakyat di negara ini. Jika seniman tidak cukup faham akan hal ini, dan tidak cukup faham tentang kesan dan impak kedangkalan mereka terhadap konsep asas dalam pembinaan identiti negara Malaysia, ia akan membawa banyak kesan buruk kepada masyarakat.
9. Kerajaan harus memiliki pendirian yang jelas dan tegas dalam soal seperti ini kerana karya seni bukan kecil kesan dan pengaruhnya dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment