August 09, 2016

Pengkhianatan Dalam Perjuangan: Kisah Bani Israil & Bani Melayu (Siri 2)

Khianat Dalam Perjuangan Bani Melayu

Cuba kita ambil dan letakkan pengajaran dalam hadith tersebut kepada kisah bangsa kita, Bani Melayu, yang juga merupakan penggalas amanah perjuangan daripada Allah s.w.t di bumi nusantara ini.

Bani Melayu semenjak mendakap Islam sebagai risalah dan sistem, telah dikurniakan oleh Allah dengan kemuliaan dan keagungan yang amat menakjubkan. Bumi mereka dan tamadun mereka telah menjadi terang gemilang dan disegani di peringkat antarabangsa oleh kuasa-kuasa dunia yang lain. Bani Melayu yang bertebaran di gugusan kepulauan-kepulauan nusantara telah menjadi warga dunia kelas pertama kerana kemajuan mereka dalam ilmu, perdagangan, teknologi, dan kemakmuran wilayah mereka, yang lahir daripada keberkatan mengambil Islam dan wahyu Allah sebagai pegangan dan sandaran.

Bangsa ini kemudiannya diuji oleh Allah s.w.t – barangkali kerana sudah terdapat tanda kelalaian – lalu didatangkan kepada mereka musuh-musuh yang ganas menjajah segenap aspek tamadun mereka. Musuh dari Barat seperti Portugis, Belanda, dan Inggeris serta musuh dari Timur seperti Cina dan Jepun datang bertali-arus dalam bentuk-bentuk serangan serta penjarahan yang dahsyat ke atas Bani Melayu di nusantara. Demikian begitu berat ujian yang Allah letakkan kepada bangsa ini.

Namun bangsa ini sentiasa menyimpan dalam benak dan jiwanya sebuah keimanan kepada Allah yang utuh. Mereka tahu ujian yang didatangkan ialah untuk menyucikan mereka dan mengembalikan mereka kepada landasan perjuangan yang lebih kukuh bagi menegakkan risalah Islam di bumi mereka. Lalu muncul kelompok-kelompok dari kalangan Bani Melayu yang bangun berjuang – sesuai dengan kefahaman mereka bahawa ianya arahan Allah jika ingin menebus semula kemuliaan yang pernah dimiliki – dengan dipimpin oleh sebahagian pembesar dan alim ulama’ di kalangan mereka semua yang masih celik.

Sebagaimana penjajahan dan penjarahan ke atas mereka berlaku bertali-arus dan ada pasang surut, demikian jugalah perjuangan mereka semua. Selama ratusan tahun dihambat oleh serangan penjajah, tetap ada kelompok yang berjuang di atas asas yang sama iaitulah asas menuntut semula kemuliaan sebuah bangsa yang menjadikan Islam sebagai risalah perjuangan dan risalah memimpin dunia.

Jika diperhatikan secara lebih khusus kepada Bani Melayu di semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), kita dapati bahawa perjuangan Bani Melayu menegakkan agenda mereka tidak pernah berhenti sejak kali pertama mereka dihentam penjajah. Keadaan yang lebih kurang sama boleh juga diperhatikan di kepulauan Jawa, Sumatera, dan lain-lain (di Indonesia).

Namun timbul persoalan, jika mereka tidak pernah berhenti berjuang, mengapa sehingga ke hari ini Bani Melayu masih belum dapat kembali kepada taraf keagungan dan kemuliaan mereka yang lampau? Malah dalam beberapa perkara didapati mereka semakin hari semakin terjerumus ke dalam lembah kehinaan; misalnya dari sudut ekonomi yang amat ketara dikuasai sebesar-besarnya oleh bangsa lain samada yang sudah mendiami alam Melayu atau yang datang dari luar.

Jika kita boleh perhatikan sebagai contoh yang lebih dekat dengan kita; semenjak kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan British, Bani Melayu kelihatan seolah memiliki lebih ruang untuk berjuang mengisi semula tanah mereka dengan keagungan tamadun mereka (melalui kuasa pentadbiran dan dasar-dasar khas ekonomi seperti DEB contohnya), namun pada hari ini kita menyaksikan keagungan tersebut tidak kunjung tiba malah di mata bangsa lain, Bani Melayu semakin diperhina dan diperleceh.

Adakah kerana Bani Melayu di Malaysia tidak berjuang lalu Allah timpakan mereka dengan kehinaan yang semakin hari semakin berganda?

Jika diteliti dalam lipatan sejarah, Bani Melayu di Malaysia secara umum tidak pernah lupa untuk berjuang baik sebelum merdeka – dengan melawan penjajah – mahupun selepas merdeka – dengan berjuang menebus semula hak dan kemuliaan mereka yang telah hilang ketika dijajah. Kisah Natrah pada tahun 1950 sebelum merdeka dan kisah 13 Mei 1969 selepas merdeka adalah sebahagian paparan bahawa dalam jiwa kebanyakan Bani Melayu ada nadi perjuangan tulus yang tetap segar berdenyut.

Jika demikian apakah puncanya bangsa ini masih tidak di tahap kemuliaan yang sepatutnya di tanah air mereka sendiri?

Jawapannya ialah kerana ada di kalangan Bani Melayu sendiri yang mengkhianati perjuangan bangsanya. Mereka ini ikut menumpang dalam bahtera perjuangan tetapi bukan kerana kesedaran yang terbit dari iman. Mereka ini ikut berjuang kerana dalam perjuangan itu ada ‘harta-harta dunia’ seperti kekayaan, pangkat, kedudukan dan pengaruh yang menggoda jiwa mereka yang sudah sememangnya lemah lantaran sentiasa membesar dalam rahim pendidikan materialisme dan humanisme Barat (penjajah) yang membela mereka.

Kebanyakannya ialah aristokrat dan elit Melayu yang telah dipilih dan dijaga dengan berhati-hati oleh penjajah. Golongan elit Bani Melayu hanyut dalam kepompong jiwa ala penjajah, lupa tugas mereka memimpin perjuangan yang tulus dan jauh dari kemewahan dunia. Mereka ini kemudiannya dinstitusikan dengan mengambil bentuk sebuah parti politik yang memerintah (yang asalnya merupakan simbol perjuangan tulus Bani Melayu) yang dikenali sehingga ke hari ini dengan nama UMNO.

Baki Bani Melayu (yang bukan daripada lapisan elit) tidak pernah lupa dengan perjuangan asal mereka yang tulus  serta jauh daripada kepentingan dunia. Di atas perjuangan dan desakan mereka, Bani Melayu di Malaysia dapat menyelamatkan sebahagian ruang-ruang yang ada daripada terus dicorakkan oleh pemikiran lain. Namun di atas kesetiaan asal mereka kepada pimpinan mereka dari kalangan bangsawan, perjuangan mereka ini ditumpang oleh golongan bangsawan yang lebih mementingkan masa depan peribadi mereka berbanding masa depan agama dan bangsa mereka.

Kerana itulah walaupun Bani Melayu berjuang dalam hal ekonomi misalnya, dengan menubuhkan MARA dan Bank Bumiputra misalnya, dengan harapan menegakkan kembali hak mereka dan agenda mereka yang telah dihancurkan oleh penjajah, perjuangan itu seolah ‘hilang keberkatan’ dan tidak diterima Allah apabila ia tetap gagal menunaikan misi sebenar menebus kemuliaan Bani Melayu di Malaysia. Projek-projek tersebut telah dikhianati oleh golongan yang inginkan keuntungan dunia atau ‘harta rampasan’ yang diperolehi hasil perjuangan tersebut.

Hari ini dapatlah dibilang dengan jari betapa sedikit sahaja hasrat asal daripada perjuangan Bani Melayu yang terzahir melalui MARA dan Bank Bumiputra, manakala golongan yang ‘mengkhianat’ kelihatan semakin kaya-raya bersama kaum keluarga dan kerabatnya. Mereka kekal di tampuk kepimpinan Bani Melayu berbekalkan modal sejarah kesetiaan Bani Melayu yang terdahulu di tanah air ini.

Bani Melayu marhaen di akar umbi terpaksa menanggung sama kehinaan umum yang merupakan hukuman Allah s.w.t kepada bangsa yang diarahkan berjuang kerana-Nya namun mengkhianati perjuangan tersebut. 

Bilakah Perjuangan Ini Akan Temui Kemenangan?

Berdasarkan hadith yang disebut dalam Riyādhus Sālihīn, syarat penerimaan perjuangan di sisi Allah, serta tibanya kemenangan adalah amat jelas – perjuangan tersebut haruslah perjuangan yang secara total dan mutlak dilakukan tanpa sekelumit pun hasrat dan kepentingan dunia. Ia mestilah dilakukan dalam jiwa yang setulus-tulusnya ingin menggalas amanah Allah di atas muka bumi. Daripada pemimpin perjuangan tersebut, sehinggalah kepada tentera yang terlibat dalam perjuangan tersebut.

Dari itu dapat kita fahami bahawa nasib dan masa depan Bani Melayu hanya kelihatan cerah jika golongan yang mengkhianati perjuangan Bani Melayu ketika ini dipaksa untuk sedar dan bertaubat. Seluruh Bani Melayu harus bertanggungjawab mengejutkan golongan ini dari kelazatan dunia mereka dan mendesak pengkhianatan ini dibersihkan. Semua yang telah mengkhianat harus melakukan taubat nasuha yakni mengembalikan semua ‘harta rampasan’ – samada berupa harta kekayaan, pengaruh dan hubungan, mahupun pengiktirafan dunia -  yang telah diperolehi dan disimpan. Mereka harus segera mengeluarkan kepentingan dunia daripada mimpi dan nafsu mereka, serta bulatkan kembali tekad bahawa perjuangan ini sessungguhnya dilakukan sebagai amanah memimpin nusantara dengan hidayah Islam.


Di saat bersihnya Bani Melayu daripada golongan ‘ghulūl’ dalam saf perjuangan mereka, nescayalah perjuangan mereka akan mendapat tempat pada pandangan Allah dan diberikan pertolongan serta kemenangan yang selayaknya. Baharulah pada ketika itu Bani Melayu layak mengambil alih semula tampuk kepimpinan – dalam erti kata yang sebenar, bukan jawatan atau pangkat palsu tanpa kebebasan kehendak – di alam nusantara lantas membangunkan semula peradaban dan keagungan mereka yang lalu, seumpama pohon rendang yang sentiasa berbuah memberi manfaat kepada semua yang berteduh di bawahnya.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails