Ketika
ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup
ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah' mereka ada ribut
dan badai yang lebih dahsyat, yang hanya menanti masa untuk datang menderu.
Kemelut
politik di Malaysia di antara Dato’ Seri Najib dan penyokongnya serta Tun Dr
Mahathir dan penyokongnya telah mencuri perhatian segenap lapisan rakyat
Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Tanpa kita sedari, krisis pertikaian
antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan
semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang
sepatutnya menggusarkan kita.
Aktiviti
Ketenteraan Meningkat
Hari
demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara US dan
China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda.
Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan
semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.
US
giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina
Selatan, selain mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers)
di pengkalan di Australia. China yang sudahpun membina pengkalan tentera di
kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila
mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di kepulauan
tersebut.
Meskipun
kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan
bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan
yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.
Bolehkah
Perang Meletus?
Di
dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan
pertembungan antara US dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara
bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi
kemungkinannya untuk berlaku.
Menurut
penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya
tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku.
Pertembungan
yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang
paling merbahaya jika tercetus ialah di antara US dengan China sendiri.
Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di
peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis
politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima
implikasi secara ketenteraan.
Yang
kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan
pengkalan besar US di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli
di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk
meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon
balas yang agresif. Manakala yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam.
Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina
Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi
amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan
berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.
Implikasi
Kepada Malaysia
Malaysia
tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah
pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan
yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini,
100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia
yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.
Memandangkan
Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara
langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina
Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut
membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.
Terdapat
pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di
rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur
Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran
oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah,
Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi
medan pertempuran kuasa US dan kuasa Soviet.
Implikasi
utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di
negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam
adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara
sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain kepada
kerajaan di tanah air mereka sendiri. Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang
memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina
misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara,
terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa
besar seperti US dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi
nasional yang berkesan.
Oleh
kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan
dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa
luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun
cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi
(seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.
Diplomasi Sebagai Jalan
Keluar?
Kebarangkalian
untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut
Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan
perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.
Tambahan
pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik
dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar US dan China, serta
keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah
meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’
kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.
Dato’
Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, US,
pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis
Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang
boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang
meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC)
pihak-pihak di Laut Cina Selatan.
Jelas
sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh
krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi
menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan
kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus
kelak.
Dalam
keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh US, serta
kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi
dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salahlaku ramai pemimpin negara,
adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar
tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan
kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan
kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan
ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?
Dalam
situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.
No comments:
Post a Comment