October 14, 2013

Teori Dinamika Kehidupan


Ada yang menyatakan cabaran pihak Kristian Katolik kepada umat Islam di Malaysia hari ini sebagai 'tip of the iceberg' sahaja. Di masa hadapan banyak lagi ruang yang akan cuba digasak oleh mereka sehingga tercapai objektif utama mereka.

Teori Dinamika Kehidupan (حركة الحياة) yang disebut oleh Ar-Rashid (محمد احمد الراشد) antara lain menyatakan bahawa sesuatu peristiwa/kejayaan yang besar dalam sejarah umat Islam, adalah merupakan cantuman dan rangkuman seribu satu peristiwa dan usaha kecil yang dilakukan oleh pelbagai lapisan dan kategori masyarakat Islam.

Umat Islam di Malaysia hari ini, setelah 'dikejut' dengan isu kalimah Allah dan beberapa isu yang lain, mula perlahan-lahan menggosok-gosok mata dan bangun dari tidur. Beberapa kelompok umat Islam yang prihatin dan faham pula semakin giat berusaha mengejut baki umat Islam yang lain, dengan cara masing-masing.

Ya, benar, cabaran mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia pada masa akan datang akan jadi semakin mencabar. Namun pada masa yang sama, saya optimis dan yakin bahawa apa yang telah dilalui oleh umat Islam di Malaysia sebelum ini hinggalah ke hari ini, akan menuruti teori dinamika kehidupan yang dinyatakan oleh Ar-Rashid.

Isu-isu dan cabaran yang berlaku tidak lain tidak bukan ialah sebagai kaedah penyediaan yang rabbani (daripada Allah) dalam mengajar umat Islam di Malaysia meletakkan semula Islam di tempatnya. Berkat kelompok Muslim yang sedar di negara ini, Allah s.w.t berkenan menurunkan rahmat dan bantuannya dalam bentuk yang berlaku sekarang.

Umat Islam di Malaysia perlu segera sedar akan hakikat yang amat memberi inspirasi ini. Mereka perlu sedar bahawa di belakang mereka ada Allah s.w.t yang sentiasa memelihara. Mereka perlu sedar bahawa jika iman dan kesatuan mereka utuh, kejayaan mengembalikan kedaulatan Islam yang hakiki di bumi Malaysia sudah tidak jauh lagi!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails