August 15, 2013

14 Ogos 2013 - Pembunuhan beramai-ramai di Mesir


Selang hanya beberapa minggu selepas beberapa orang Senator dari US melakukan lawatan, tentera Mesir dan kerajaan tidak sah pimpinan Adli Mansour melancarkan serangan ganas ke atas mereka yang berhimpun secara aman di dataran Rabaah dan dataran Nahdhah.

Ketika lawatan tersebut salah seorang daripada Senator US ada menyebut bahawa mereka tidak melihat akan ada perkembangan yang baik di Mesir. Situasi ketika itu kata mereka adalah genting dan sangat terdedah kepada pertembungan yang bakal menumpahkan darah.

Ternyata, tidak sampai seminggu selepas Umat Islam menyambut Eidul Fitri, mereka yang berhimpun secara aman di dataran Rabaah dan Nahdhah diserang dan dibantai habis-habisan. Serangan berbentuk pembakaran, pembunuhan rambang, dan juga pembunuhan terancang, berlaku di dalam waktu yang sangat singkat bermula pagi 14 Ogos 2013.

Kehadiran US, bagi saya, ialah untuk mempertontonkan kepada dunia keprihatinan palsu mereka terhadap perkembangan di Mesir dan menolak dakwaan bahawa mereka juga sebahagian daripada dalang serangan ini. Kemunculan mereka dalam wajah diplomasi, bertemu kedua-dua pihak, dan diakhiri dengan memberi amaran bahaya akan berlaku jika demonstrasi berterusan, adalah skrip yang disusun rapi bagi menjauhkan cubaan mengaitkan US dengan mana-mana pembunuhan dan pembantaian yang terjadi bermula 14 Ogos sehinggalah selesai.

Kini di saat pertumpahan darah berlaku, apa yang hanya disebut di dalam kenyataan mereka hanyalah desakan-desakan tidak bermakna, yang pastinya hanya berfungsi sebagai gula-gula kepada media. Kerajaan tidak sah di Mesir pula sudah tentu akan mengabaikan sahaja kenyataan ini.

Apakah kesan permainan skrip US ini ke atas warga dunia?

Di dalam dunia yang dikesani oleh kuasa unilateral US seperti hari ini, apa sahaja skrip dan permainan US sudah tentu memainkan peranan yang besar. Dunia akan menangis jika US menangis dan dunia akan senyap jika US senyap. Beginilah keadaannya secara umum.

Pembantaian dan serangan yang dilakukan oleh tentera Mesir pada 14 Ogos 2013 adalah satu bentuk kejadian yang tidak mampu dihiraukan mana-mana manusia. Secara tabii tiada manusia yang sanggup untuk diam terhadap peristiwa ini. Hakikat ini disedari oleh tiga dalang utama peristiwa di Mesir sekarang - Tentera Mesir, US, dan Israel. Mereka perlu bersekongkol dan membahagikan peranan serta watak dengan baik. Seorang melakukan kerja utama (membunuh), seorang lagi membantu kerja utama (membantu pembunuh dengan bekalan senjata), dan seorang lagi harus muncul dengan wajah suci di hadapan media. Perkara yang paling mereka ingin jauhi ialah wujudnya sokongan global dan tekanan antarabangsa terhadap mereka, kesan daripada peristiwa 14 Ogos yang telah terjadi.

Pemerhatian dan kesedaran terhadap permainan mereka ini seharusnya menguatkan lagi keyakinan kita bahawa apa yang terjadi hari ini tetap seperti yang dicatat di dalam Al-Quran:

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama/jalan mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. 
-- Al-Baqarah: 120

Begitu juga kita semakin yakin bahawa demokrasi yang dicanang US di serata dunia (sebahagiannya melalui proksi mereka) termasuk Malaysia, ialah demokrasi yang cacat, berkepentingan, dan diacu mengikut nafsu mereka. Seharusnya tiada ruang kerjasama yang diberi kepada kuasa yang telah membuktikan kepincangan mereka dalam mengurus demokrasi hatta pada perkara yang paling asasi.

Barangkali US, Israel, dan sekongkolnya menjangkakan kejatuhan populariti dan kekuatan gerakan Islam khususnya di Mesir, setelah apa yang terjadi pada 14 Ogos 2013. Barangkali mereka mengharapkan Mesir akan kembali mudah dicengkam dan diatur-atur persis yang berlaku di zaman Mubarak dahulu.

Hakikatnya kuasa Allah juga sedang berjalan ketika mereka ini sibuk menjangka dan berharap.

Cukuplah penegasan Allah ini sebagai jaminan bahawa kemenangan sebenarnya semakin hari semakin hampir kepada Islam:

"Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya."
-- As-Saff: 8

Semoga Allah menghancurkan perancangan mereka dan memberikan kemenangan yang nyata kepada Umat Islam.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails