June 30, 2013

Tamarod mengajar kita

"Apa dia permainan budak-budak ni?" merujuk kepada Tamarod.

Gerakan pemberontak 'Tamarod' yang sedang menghuru-harakan Mesir sekarang ini telah mengajar kita sekurang-kurangnya beberapa perkara penting. Perkara ini ialah tanda pengenalan yang sama boleh dijumpai pada mana-mana musuh Islam di atas muka bumi ini, di mana-mana negara sekalipun.

(Jangan lupa gerakan ini sememangnya anti-Islam, sila kaji siapa di sebaliknya dan sejarah mereka dari sesudah revolusi Mesir hingga ke hari ini. Sekali lagi saya ulang, isu ini ialah isu Islam berlawan dengan yang selainnya.)

1. Demokrasi yang diamalkan oleh penentang Islam di Mesir ialah demokrasi palsu.

Demokrasi yang mereka dokong dan sokong ialah demokrasi yang memberikan kepentingan kepada mereka, sahaja. Bukan isu kepentingan negara yang diambil kira tetapi yang menjadi perkiraan mereka ialah sejauhmana demokrasi tersebut memberikan mereka ruang untuk menjadikan pendapat mereka sebagai satu-satunya pendapat yang digunapakai. Di dalam gambaran yang lebih mudah, mereka ini pada hakikatnya, hanyalah seumpama sebatang tubuh yang isinya ialah kediktatoran dan autokrasi, tetapi disarungkan dengan baju demokrasi yang berwarna-warni.

Soalan-soalan yang dilontar oleh Presiden Mesir, Dr Mohamad Morsy di dalam ucapan rasminya yang terkini pada 26 Jun yang lalu adalah soalan yang 'menumbuk' kelompok ini tepat pada batang hidung mereka :
"Adakah dinamakan demokrasi: Memaksa satu pandangan diterima, dan menganggapnya sebagai satu-satunya yang paling tepat, dan selainnya adalah salah dan tidak berpengalaman?" 
"Adakah dinamakan demokrasi: Menimbulkan kesangsian dan keraguan pada pilihanraya satu demi satu meskipun telah terbukti kebersihan perjalanannya oleh pelbagai pihak?" 
"Adakah dinamakan demokrasi: Menolak daripada menyertai mana-mana jawatan pentadbiran kemudian menuduh pihak yang mentadbir sebagai memonopoli dan menguasai sepenuhnya pentadbiran (nepotisme)?" 
-- Dr Mohammad Morsy, Presiden Mesir, 26 Jun 2013
Perkara ini dinyatakan ramai lagi pemerhati politik dan jurnalis. Bahkan duta besar Amerika Syarikat sendiri, Anne Peterson, mengeluarkan kenyataan (yang akhirnya dibidas Naguib Sawiris, dalang besar di sebalik Tamarod) meminta pihak pemberontak 'kembali masuk ke dalam sistem (demokrasi)' dan 'mengubah strategi turun ke jalanan kepada strategi menyusun usaha untuk pilihanraya'. Barangkali kenyataan ini hanyalah sebagai gula-gula dan sandiwara semasa, namun ia menyerlahkan ketidakakuran gerakan ini kepada sistem demokrasi yang dahulunya dijual-jual sebagai perjuangan mereka (sila kaji ucapan-ucapan El-Baradaie dan Hamdin Sobahi - antara kepala gerakan anti-Morsy).

2. Titik utama permusuhan dan kebencian di dalam politik Mesir ialah kestabilan Islam dan pejuangnya, bukan isu urustadbir.

Di dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Shadi Hamid (Pengarah kajian Brookings Center, Doha), beliau menyatakan bahawa:
"If one looks at Tamarod's justifications for seeking Morsi's overthrow, the entire list consists of problems that will almost certainly plague his successor. They have little to do with a flawed transition process and a rushed constitution that ran roughshod over opposition objections and everything to do with performance" 
"Legitimacy cannot depend solely or even primarily on effectiveness or competence. If it did, revolution could be justified anywhere at any time, including in at least several European democracies."
-- "Is a Second Revolution Really What Egypt Needs?"
Jika diteliti tohmahan dan dakwaan kelompok Tamarod ke atas pentadbiran Dr Morsy, hampir kesemuanya tidak tepat dan berlawanan dengan fakta. Hakikat ini diperkukuh lagi apabila Dr Morsy di dalam ucapan rasminya pada 26 Jun yang lalu telah membentangkan pencapaian yang telah diusahakan di bawah pentadbirannya (transkrip lengkap ucapan di sini - English).

Jika demikian, nyatalah bahawa dakwaan salah urustadbir dan pelbagai lagi tohmahan hanyalah sebagai faktor permainan sentimen yang digunakan kelompok Tamarod untuk menjustifikasi motif sebenar permusuhan dan 'pembunuhan' mereka terhadap Dr Morsy, pentadbirannya, dan parti-parti Islam secara umum di Mesir. Hakikatnya, sudah beberapa kali terdedah di media Mesir, bahawa motif kebencian mereka yang sejati ialah terhadap Islam dan pejuang-pejuangnya yang semakin hari semakin dicintai rakyat Mesir dan semakin mendapat sokongan.

Strategi permainan sentimen rakyat dengan menggunakan isu-isu yang melingkari masyarakat dan strategi menimbulkan huru-hara sebenarnya ialah format rasmi yang digunapakai oleh boneka-boneka tajaan barat di kebanyakan negara Islam bagi merungkai dan melemahkan tapak sokongan rakyat terhadap kelompok Islamis, atau juga sebagai pintu masuk kepada kuasa luar bagi mengambil kesempatan di celah-celah huru-hara dan kacau-bilau.

* * * *

Peristiwa pemberontakan oleh kelompok Tamarod ini juga sebenarnya telah semakin menyerlahkan betapa relevannya pelbagai kisah Bani Israil yang dipaparkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran.

Bani Israil pernah meminta kepada Nabi mereka agar dikurniakan seorang ketua untuk memimpin mereka keluar daripada kezaliman, namun apabila ketua yang dilantik itu tidak mengikut kayu ukur dan citarasa nafsu mereka, mereka telah membelakanginya, mencacinya, dan enggan untuk tunduk dan taat kepadanya.

Bani Israil pernah diselamatkan oleh Nabi Musa a.s daripada kezaliman Firaun yang dahsyat, namun tidak berapa lama selepas mereka dikeluarkan daripada kegelapan perangai jahat Firaun itu mereka telah meminta pula kepada Nabi Musa a.s untuk menyembah selain Allah yang telah menyelamatkan mereka.

Kedegilan Bani Israil yang menjengkelkan para pembaca kisah mereka, berulang lagi di zaman moden. Ia berulang di Mesir dengan nyata, dan ia juga berulang di pelbagai negara yang lain, di mana masyarakatnya dihasut untuk tidak menghargai kewujudan para pendakwah yang ikhlas ingin mengeluarkan mereka daripada kezaliman para penyembah nafsu kepada keluasan yang ditawarkan Islam.

Yang kita seharusnya renungkan dengan perasaan penuh gentar dan gerun - apakah kita sanggup menyaksikan balasan dahsyat yang pernah menimpa Bani Israil, berulang juga di zaman kita?

Semoga kita tidak tergolong di dalam golongan yang dimurkai Allah s.w.t, dan kita tetap teguh di atas jalan kebenaran dan tetap sabar bersama para pemegang panji risalah Islam.


8 comments:

Related Posts with Thumbnails