March 10, 2013

Idealisme & Realiti


Ada orang yang sanubarinya mengakui kebenaran kata-kata yang menerangkan tentang betapa mustahaknya agenda Islam yang benar dijadikan pertimbangan, dan calon Muslim berwibawa ditinggikan di dalam pilihanraya dan pemerintahan di Malaysia.

Cuma mereka berikan komentar : "Terlalu ideal. Tolonglah jadi lebih realistik."

Dulu saya pernah sebutkan, pemahaman kita terhadap istilah 'ideal' dan 'realistik', pertama sekali, perlu kita selarikan dengan makna istilah tersebut menurut cara pandang yang dikehendaki oleh Islam.

Jika tidak, boleh jadi 'ideal' yang disebut sebenarnya ialah ketinggian yang dituntut di dalam Islam. Dan 'realistik' yang disebut sebenarnya ialah kerendahan yang dicela di dalam Islam.

Hakikatnya, Islam datang kepada manusia untuk mengubah makna-makna sedemikian di dalam jiwa manusia yang cenderung memilih makna yang lebih mudah, rendah, dan dekat dengan hawa nafsu. Memang tugas Islam mengangkat segala sudut peribadi manusia ke ufuk yang melangit, mendekati peribadi malaikat, dan menjauhi peribadi haiwan.

Perhatikan ayat Allah ini :
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya, maka bandingannya adalah seperti anjing..."
[Al-A'raaf : 176]

Perangai ini, yang digambarkan oleh Allah seperti anjing, pernah ditunjukkan oleh Bani Israil, mereka berkata kepada Nabi Musa a.s :
"Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya."

Lalu dijawab Nabi Musa a.s :
"Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik (Mann & Salwa)? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu."

Lalu Allah menyebutkan kesudahan kisah mereka :
"Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah."
[Al-Baqarah : 61]

Kesimpulannya : Mencari yang TERBAIK ialah suatu tuntutan syarak, dan merupakan antara arahan umum syariah yang penting. Kesusahan mencari solusi yang terbaik/mengaplikasi solusi terbaik bukanlah alasan yang diterima syarak untuk redha dengan sebahagian sahaja aplikasi syarak di dalam pemerintahan. Tidak cukup untuk kita sekadar berpuas hati dengan pemimpin yang menawarkan sebahagian sahaja maqasid syarak (kebebasan, keadilan, dsbnya) dan senyap terhadap sebahagian besar lagi syariat Allah.

Semoga Allah jauhkan kita daripada perangai anjing.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails