March 18, 2012

Di sebalik Maulid Al-Hussain (1)


Sambil menyusur lorong-lorong sempit di belakang Al-Azhar untuk membeli buku kuliah, saya terserempak dengan sebuah khemah besar di tengah-tengah lorong. Saya menjeling ke bahagian dalam khemah yang terdedah, kelihatan beberapa orang tua berjubah baladi duduk santai berbual sambil makan. Di belakang khemah tertampal : "Tariqat Al-Bayumiah menyambut Maulid Al-Hussain". Padanlah ramai orang-orang So'iid (Selatan Mesir) berkeliaran di kawasan medan Al-Hussain.

Sebelum pulang saya sempat bertanya kepada seorang pakcik yang asyik menghisap shisha, "Bila sambutannya ni?"

"Esok sambutan kecil, lusa sambutan besar, jemputlah datang sekali, kita dengar sheikh bacakan madih."

Saya tersenyum, sambil melafaz shukran saya berlalu pergi.

* * * *

Saban tahun medan Al-Hussain akan dipenuhi rakyat Mesir yang mengikut tariqat-tariqat tasawuf, demi meraikan kelahiran Saidina Al-Hussain. Masjid Al-Hussain menjadi tumpuan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, bacaan-bacaan yang pelbagai, dan juga jualan (terutama manisan kekacang).
Meskipun terletak hanya bertentangan dengan Masjid Al-Azhar yang menjadi simbol Islam yang bersifat pertengahan dan dengan dalil yang sahih, Masjid Al-Hussain tetap meriah dengan acara tahunan ini.

Sememangnya Mesir masyhur dengan pelbagai ironi.

* * * *

Saya terdetik menulis tentang Maulid Al-Hussain bukanlah sangat ingin menyentuh pelbagai khilaf ilmiah tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Perbincangannya panjang.

Saya lebih berniat mahu membawa keluar beberapa hakikat yang patut difikirkan sempena terjadinya Maulid Al-Hussain di Mesir ini.

Dalam sebuah penulisan yang diterbitkan oleh sebuah badan pengkaji, RAND Corporation, Cheryl Benard menyebut beberapa cadangan yang patut dilaksanakan pihak barat dan AS untuk mencairkan dan melemahkan pengaruh muslim fundamentalis (baca : Islam asli) di dalam negara-negara Islam.

Antara cadangan yang diberikan beliau ialah penggunaan pihak-pihak yang sempit pemahaman agama (beliau gelarkan traditionalist) untuk melemahkan pihak fundamentalis, atau pendokong Islam dalam bentuknya yang syumul dan asli.

Dan antara langkah praktikal yang disenaraikan ialah :
"Encourage the popularity and acceptance of Sufism"

Mengapa beliau memberikan cadangan ini?
Apakah rasional cadangan beliau?
Dan apakah kesan cadangan beliau ini kepada umat Islam?

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails