December 28, 2011

3 Perkara


Sebaik azan dilaung, saya dan sepupu, Syed Anas, melangkah kaki ke Masjid El-Bokhary. Masjid yang saya kunjungi setiap hari semenjak mula bermastautin di Hayyu Sabi', Madinat Nasr.

Yang menjadi imam solat Isya' ialah imam utama, juga khatib masjid tersebut, Sheikh Muhammad. Suaranya lantang mengalun surah Al-Qalam pada rakaat pertama dan kedua. Sesekali kedengaran suaranya bergetaran, dan sesekali dia mengulang-ulang ayat yang sama.

Usai solat dia bingkas mencapai mikrofon. Dan berkata, "Datang kepada saya seorang yang mengadu, teguran dan nasihatnya tidak diterima. Ada pula yang mengadu, katanya dakwah Islam sekian lama berusaha membangkitkan masyarakat, tapi ramai yang masih tak sedar."

Sheikh Muhammad terbatuk sedikit. Seorang pakcik mengambilkan air minum buatnya.

Dia kemudian menyambung. "Sunnah perubahan bukanlah dalam tempoh hari atau bulan, tetapi sunnah perubahan memakan masa tahun dan zaman!"

"Kepada para pendakwah, tugas kita menyampaikan, menasihati, dan menegur dengan basiirah, dengan kefahaman. Selebihnya ialah urusan hidayah Allah."

"Para pendakwah, ambil perhatian. Ingat 3 perkara ini, saat anda memberi nasihat & teguran, lalu ia tidak didengari dan diterima.

Yang pertama : Sabar, dan teruskan berharap! Perhatikan kata-kata Nabi s.a.w ketika ditawar oleh malaikat penjaga bukit untuk menghempap penduduk Thaif dengan dua buah bukit, lalu apa yang dijawab Rasulullah, 'barangkali jika bukan mereka yang mendapat hidayah, generasi yang keluar dari tulang sulbi mereka yang akan mendapatnya'. Lihat, inilah pendakwah, penuh harapan!

Yang kedua : Usaha dakwah ada bayaran dan cukainya. Cukai derita dan azab. Cukai ujian dan mehnah. Cukai dicerca dan ditolak. Tapi jika kita, para pendakwah, enggan membayar cukai ini hari ini, kita akan menanggung cukai kehinaan dan kecelakaan kelak. Di dunia, menjadi bangsa yang dipijak dan direndahkan, dan di akhirat, terhina sendiri ketika dihisab oleh Allah.

Yang ketiga : Yakinlah, dan thiqah (percaya) lah dengan janji Allah, bahawa kebenaran dan kalimah-Nya akan menjadi yang 'ulya (tertinggi) dan kalimah batil serta kufur akan menjadi yang sufla (terendah). Allah bersama orang yang beriman. Bersama ertinya sentiasa di sisi, dan ertinya tidak akan ada yang mampu menyakiti, mampukah kita dimudharatkan sedang Allah ada di sisi kita?

Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami, dan jadikanlah kami kunci kepada terbukanya pintu hidayah buat keluarga kami, bangsa kami, masyarakat kami, negara kami, dan manusia seluruhnya."

Saya tersenyum sambil bersalaman dengan Sheikh Muhammad setelah habis nasihatnya.
"Shukran ya shaikh."

-----
Hayy Sabi', Madinat Nasr
28 Disember 2011

4 comments:

Related Posts with Thumbnails