Sesiapa yang berkunjung ke Mesir terutamanya Kaherah pada
hari ini pasti tidak akan terlepas daripada menyedari gamatnya suasana
menjelang pilihanraya. Mendekati pilihanraya pertama yang diadakan selepas
tamat tempoh cengkaman diktator Mubarak, dengan puluhan parti politik baru yang
ditubuhkan, pelbagai kain rentang bergantungan di seluruh kota Kaherah. Di
sesetengah daerah, calon yang bertanding mencecah ke sepuluh orang.
Melepasi titik revolusi rakyat pada 25 Januari 2011, rakyat
Mesir semuanya menyimpan harapan yang tinggi dengan suasana baru Mesir yang
lebih terbuka, dan lebih meraikan demokrasi. Suara-suara yang sebelum ini
terbenam di bawah tekanan kediktatoran Mubarak muncul menyatakan keinginan dan
hasrat. Masing-masing membawa pandangan dan ideologi sendiri dengan niat yang
barangkali sama : Mesir yang lebih demokrasi, Mesir untuk semua.
Demokrasi sebagai sebuah sistem dan falsafah tidak pernah
mempunyai definisi yang dipersetujui semua, tetapi secara umum, idea demokrasi
terkisar pada dua elemen penting : keadilan/kesamarataan, dan kebebasan. Jika
benar prinsip-prinsip demokrasi ingin dijadikan teras dalam memacu pembangunan
sesebuah negara, kedua-dua elemen penting ini harus terzahir dalam semua sudut
kehidupan masyarakatnya.
Canangan bahawa Mesir pasca-Mubarak lebih demokrasi, oleh
kabinet peralihan pimpinan Essam Sharaf, dan juga pemerintahan tentera bawah
teraju Jeneral Tantawi, bagaimana pun, baru-baru ini telah ternafi sedikit demi
sedikit. Rantaian peristiwa terkini yang terjadi khususnya di Medan Tahrir,
menimbulkan sangsi masyarakat terhadap kejujuran pemerintahan transisi Mesir.
Muncul persoalan : Benarkah demokrasi akan hidup di Mesir?
Bermula dengan munculnya dokumen ‘supraconstitutional’
(mengatasi perlembagaan) oleh wakil kerajaan transisi Dr Abdullah
As-Silmi, yang menjadikan tentera mempunyai beberapa kuasa dan ruang yang tidak
terikat dengan perlembagaan Mesir, rakyat mulai resah dengan komitmen kerajaan
terhadap ruang demokrasi di Mesir. Satu tindakan yang mengejutkan di
tengah-tengah suasana positif menuju pilihanraya. Apa motif pengeluaran dokumen
ini menimbulkan seribu tanda tanya.
Yang pasti, dan seperti yang terjadi, majoriti rakyat
membantah dan tidak bersetuju dengan dokumen tersebut. Parti-parti politik
daripada semua spektrum ideologi sepakat menolak dan meminta dokumen tersebut
ditarik semula segera. Dengan penyertaan Ikhwan Muslimin dan parti politiknya
Hizb Hurriyah Wa ‘Adaalah (parti politik Mesir paling tersusun sehingga kini)
serta parti An-Nur (Salafi), juga parti-parti kecil lain, puluhan ribu rakyat
Mesir membanjiri dataran Tahrir pada hari Jumaat 18 November yang lalu. 2
permintaan jelas daripada perhimpunan tersebut : Penarikan semula dokumen
kerajaan tersebut, dan segera menyerahkan kuasa pemerintahan semula kepada
rakyat.
Perhimpunan aman pada hari Jumaat tersebut bertukar keruh
apabila menuju ke tengah malam, polis dan tentera muncul berhadapan dengan
rakyat yang sedang berhimpun. Menurut laporan berita-berita Mesir, tindakan keras
digunakan dengan alasan ingin memelihara keamanan di Medan Tahrir dan meminta
semua yang berhimpun pulang. Apa yang terjadi pada hari berikutnya menjadi
catatan hitam buat kabinet dan pemerintahan tentera apabila semakin ramai
rakyat yang berhimpun dan berkumpul di medan Tahrir dicederakan oleh tembakan
dan pukulan daripada pihak berkuasa. Sehingga ke waktu artikel ini ditulis,
angka yang tercedera sudah mencapai ratusan, dan ada juga yang sudah terbunuh.
Pengamatan terhadap peristiwa yang terjadi ini pasti
membuatkan sesiapa pun menilai bahawa pemerintahan Mesir, belum bersedia
menghidupkan nilai demokrasi yang sejati.
Dan sebenarnya, di dalam rakyat Mesir sendiri pun, belum
semuanya yang bersedia. Di ruang media hari ini, golongan Islamis (Ikhwan
& Salafi) sering digambarkan dengan pelbagai persepsi negatif oleh
personaliti dari aliran sekular dan liberal. Meskipun mereka ini dari dahulu
hingga sekarang melaungkan isu hak asasi, kebebasan, dan demokrasi, namun
apabila menyedari laungan ini memberi laba buat golongan Islamis membina
kekuatan dan pengaruh (sehingga kini ruang demokrasi dimanfaatkan sepenuhnya
golongan Islamis bagi membina kerjasama dan membina pengaruh), mereka
menjadi takut dan akhirnya berusaha mengurangkan populariti dan kekuatan pengaruh,
supaya akhirnya suara Islamis menjadi minoriti dan tidak vokal terutamanya
dalam proses pembentukan perlembagaan nanti.
Kesemua ini membawa kita semua kepada satu inferens terhadap
persoalan yang ditimbulkan di atas : Mesir, baik pemerintah mahupun sesetengah
fraksi politik di dalam masyarakat, belum punya keinginan terhadap sistem
demokrasi sejati. Dan puncanya satu, kegusaran mereka terhadap populariti
aliran politik Islam di dalam masyarakat.
Berdasarkan inferens ini banyak jangkaan yang boleh kita lakukan.
Namun dengan kenyataan terkini daripada tentera bahawa mereka masih berpegang
dengan janji melaksanakan pilihanraya pada tarikhnya, dan tidak akan
memanjangkan tempoh kuasa mereka, ada baiknya kita berikan sedikit ruang
sebelum kita membina lain-lain kesimpulan. Pilihanraya pusingan pertama pada 28
November ini barangkali menjadi titik pusingan baru dalam sejarah peralihan di
Mesir, atau boleh juga menjadi titik hitam yang tidak sesiapa pun inginkan.
Lamanyaaa nak tunggu update.
ReplyDelete