June 26, 2011

Seronoknya cerita orang berlawan!


Dulu semasa kecil saya gemar menonton kisah-kisah kung-fu Cina di televisyen. Kehebatan Fong Sai Yuk seorang pemuda Cina yang hebat berpencak kung-fu sambil terbang dan memijak kepala orang seringkali menggamit perasaan.

Dan kebiasaannya, emak saya akan melarang saya tengok sehingga ke hujung. Bukan apa, kerana selalunya, sesudah saya dan adik beradik selesai menonton, kami pula akan sama-sama berpencak kung-fu, berlawan sesama kami, hingga disuraikan dengan adegan salah seorang akan menangis kesakitan.

Ternyata kami amat-amat terkesan dengan kelincahan dan keberanian Fong Sai Yuk serta watak-watak lain dalam kisah kung-fu yang kami tonton.

Baru-baru ini, ketika tekanan dan kebosanan bergelumang dengan buku-buku kuliah dan nota melanda, seorang teman serumah yang prihatin menawarkan penyelesaian. Saya disogok dengan wayang cina Ip Man 2. Kisah legenda seorang guru kung-fu yang hebat berlawan namun berhati mulia. Separuh cerita tersebut kami tonton bersama dengan penuh kekaguman.

Sesudah selesai tayangan, hati saya rasa berkobar-kobar mahu mencontohi nilai-nilai mulia guru kung-fu tersebut. Selain dari kemurahan hati dan kerendahan jiwanya tentu sekali saya amat terkesan dengan kecergasan dan ketangkasannya berlawan dan mempertahankan diri.

Tak sedar 'semangat tempur' kembali merasuk.

* * * * *

Azan dari masjid menghentikan kerancakan kami berdiskusi tentang kehebatan Ip Man.

Dalam perjalanan ke masjid, saya berfikir-fikir sendiri (perjalanan ke masjid memang selalu memberi ilham).

Besarnya pengaruh apa yang kami tonton terhadap jiwa dan perasaan kami. Dalamnya kesan kisah keberanian dan kepahlawanan yang kami saksikan terhadap semangat kami. Walau cerita yang kami tonton tersebut tidak lama mana pun durasinya, tapi kesan dan getaran keberanian yang menyusup masuk ke dalam hati cukup besar.

Saya kemudian teringat dengan kisah yang pernah diceritakan oleh anak Imam As-Syahid Hasan Al-Banna rahimahullah, Saiful Islam Al-Banna. Sewaktu kecil Saiful Islam gemar membaca buku cerita dan novel. Ayahnya akan memberi wang untuk membeli buku secara berkala, dan wang tersebut akan digunakannya untuk membeli buku cerita dan novel. Dan seperti kegemaran kanak-kanak lain ketika itu, Saiful Islam banyak membeli buku cerita tentang detektif, penyiasatan, dan kisah polis menumpaskan penjenayah.

Pada suatu hari, Hasan Al-Banna memperhatikan bahan-bahan bacaan yang dibaca oleh Saiful Islam. Keesokan harinya beliau pulang ke rumah dengan membawa beberapa buku cerita kepahlawanan panglima-panglima perang Islam dari kalangan sahabat. Kata beliau kisah-kisah ini lebih hebat dari kisah detektif dan polis yang Saiful Islam baca dan minati.

Saiful Islam mengakui, cadangan bahan bacaan ayahnya itu memberi kesan yang besar pada jiwanya sehingga dewasa.

* * * * *

Dalam Al-Quran pun banyak kisah-kisah perjuangan terpotret dalam bentuk cerita. Cerita Talut dan tentera bani Israil melawan Jalut pun sudah cukup menggiurkan.

Ditambah lagi dengan pelbagai kisah legenda kepahlawanan Ar-Rasul s.a.w dan angkatan sahabat baginda yang diriwayatkan dalam kesemua kitab-kitab hadis. Saya takkan lupa sahabat Rasul, Barra' bin Malik yang tak kenal gentar, dilempar manjanik ke dalam kubu musuh dan menewaskan ratusan. Kisah 'Uqbah bin Nafi', Abu 'Ubaidah Al-Jarrah, Khalid Al-Walid, Hamzah, Usamah bin Zaid... senarainya tak berkesudahan.

* * * * *

Rupanya kesan dan getaran kepahlawanan dan keberanian memang terkandung padat dalam kisah dan cerita. Baik secara bertulis mahupun secara visual. Tak perlukan kata-kata dan syarahan yang panjang lebar tentang erti keberanian dan kaedah-kaedah meningkatkan keberanian dan kepahlawanan diri. Sebuah cerita pendek tentang kisah seorang tokoh pahlawan yang berani jauh lebih bermakna dan bererti.

Makanya, jika anda mahu semakin diresapi semangat perjuangan dan kepahlawan, bacalah lebih banyak lagi kisah-kisah perjuangan. Dan yang paling layak dibaca atau ditonton jika ada (kualiti lima bintang) tentulah kisah kepahlawanan baginda Ar-Rasul s.a.w dan para tokoh legenda didikan baginda. Semuanya cukup mengagumkan dan terjamin akan menyuntik semangat dan keasyikan membina kepahlawanan bersulam hati yang penuh kemuliaan.



Novel 'Amru Al-'As yang saya baca sekerat jalan sesudah Subuh di Masjid Waalidain melambai-lambai saya dalam fikiran.






8 comments:

  1. Kalau kisah kepahlawanan Rasulullah dan para sahabat diceritakan dengan aksi-aksi seni bermain pedang yang hebat, tentu semakin berlipat-ganda semangat apabila membaca/menontonnya.

    Cerita Kung fu Cina memang seronok, tambah lagi jika cerita tersebut latarnya menggambarkan dinasti yang memerintah ketika itu, pasti ada ditampilkan hero-hero yang hebat. Tapi selalunya cerita berkaitan dinasti Islam Ming akan digambarkan buruk.

    Kalau orang Melayu pun ada hero yang tak kurang hebatnya. Kalau boleh buat kisah kepahlawanan Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dengan seni silat dan adegan berlawan, tentu semangat mereka ini lebih meresap ke dalam jiwa orang Melayu sekarang.

    p/s: Jangan berkungfu dengan buku sudahlah.

    ReplyDelete
  2. kena tambah ini untuk kisah waktu kecil :
    "semangat yang berkobar-kobar itu juga yang mendorong saya untuk mengajar 'adik-adik' ilmu mempertahankan diri di kampung" ^_^

    Kisah-kisah sahabat dalam perjuangan dan pertempuran cukup menakjubkan.Cuma tinggal divisualasikan dengan teknologi dan grafik moden supaya kita,adik2 dan generasi2 baru lebih tertarik untuk mencontohinya (berbanding pembacaan).Maksudnya,ditayangkan semula seperti mana kisah IP2 itu ditayangkan.

    ReplyDelete
  3. Ip Man 2 best tapi lawan-lawan dia banyak macam mengarut. Ip Man 1 macam logik sket.

    Leftenan Adnan bunuh 30 askar Jepun sorang-sorang je. Lepas tu kena tangkap, orang jepun letak dia dalam guni, gantung kat pokok. Lepas tu askar jepun beratur ramai-ramai cucuk.

    Ok gak tu Syed Anas. Buat balik cerita dengan visual mantap sket.

    ReplyDelete
  4. Betul juga.

    Orang Melayu pun banyak juga aset-aset cerita pahlawan yang boleh dibanggakan.

    Cuma selalunya yang ditayang pada kita semua, terutamanya melalui silat, hanyalah bunga dan tarinya yang lemah lembut berseni semata.

    Tak terasa kegagahan si pendekar.

    Kena selongkar semula khazanah sejarah pendekar Melayu Islam kita.

    ReplyDelete
  5. patutlah tali pinggang hitam tae kwan do. ozoz

    ReplyDelete
  6. HiJau :

    Anak murid Sir Dwen kot, hehe.

    ReplyDelete
  7. Dalam Ip Man 1 (sebab tak tgk lg Ip Man 2) pengajaran dari aspek bangsa sangat kuat. Menunjukkan peri pentingnya membela bangsa dari penjajah segi fizikal/mental.

    Dalam Majmu' Rasail pun alBanna banyak sebut pasal bangsa juga... Ada benarnya juga berjuang memartabatkan Islam dalam diri bangsa a.k.a jatidiri Muslim. "Sasaran dakwah Melayu(bangsa), isi dakwah Islam." (Ust Fauzi)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails