July 03, 2011

Ketelitian di celah kerumitan


Hampir separuh purnama bergelumang dengan buku dan kitab. Samalah macam orang lain di Mesir, ataupun di mana-mana sahaja, bila musim peperiksaan tiba.

Kalau tahun sudah, dalam hal Fiqh, bergelumang dengan hukum-hakam dan masalah dalam ibadah. Tahun ini lebih mencabar. Paling tidak, mencabar bagi saya, seorang yang semenjak sekolah menengah tidak pernah belajar sebarang subjek berkaitan perniagaan dan ekonomi secara rasmi. Bila berbual dengan seorang senior di tahun 4, dia setuju dengan saya. Tahun 2, ketika belajar Fiqh Muamalat, dia pun berkerut dahi juga.

Mula-mula berkenalan dengan subjek-subjek berkaitan rasa berat di bahu. Buku pula ada sesetengah yang seolah-olah menguji kemahiran membaca manuskrip lama. Tambah beban dan sesak di dada. Tapi seperti resam semua yang berani mendaftar di Al-Azhar, yang susah kena juga ditempuh, dengan apa cara sekali pun.

Nasib baik dulu pernah diperkenalkan dengan buku Fiqh As-Syafie Al-Muyassar oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili, ulama dari Syria. Beliau bukanlah bermazhab Syafie pun, malah bermazhab Hanafi (yang di banyak tempat sering berbeza dengan mazhab Syafie), tetapi penulisannya mudah untuk dirujuk. Mungkin saya belum pernah berkenalan dengan mana-mana buku lain yang barangkali lebih baik, tapi sekurang-kurangnya, buku beliau akhirnya berjaya membantu saya menyerap masuk ke dalam dunia Fiqh Muamalat dengan rela hati.

* * * * *

Agaknya memang saya kurang kecenderungan (boleh jadi belum lagi) dalam perniagaan.

Ketika berbual dengan seorang senior yang lain, katanya dulu semasa belajar Fiqh Muamalat di kepalanya bermacam-macam idea perniagaan datang berkunjung. Memang dalam Fiqh Muamalat, walaupun banyak kes yang dijadikan contoh ialah kes-kes di zaman ulama' dahulu, tapi kepelbagaiannya sangat menarik.

Lain pula cerita saya. Semasa menelaah Fiqh Muamalat lain faedah yang dapat saya perhalusi. Bukan isu perniagaan yang berjaya mencuri hati saya. Yang lebih menambat perhatian saya ialah sikap ketelitian dan keteraturan ulama' dalam menyusun ilmu berkaitan Fiqh Muamalat ini, di samping sikap keterbukaan dan kesudian mereka untuk membincangkan sesetengah benda yang pada saya, absurd, namun mungkin kerana di dalam masyarakat ianya wujud, ia dibincangkan.

Dan sikap mereka yang begini terhadap isu muamalah di dalam manusia khususnya urusniaga & jualbeli mengagumkan saya, dalam keadaan bukan kesemua ulama'-ulama' mazhab ini yang berpeluang menceburi dunia tersebut. Kebiasaan manusia, kita hanya cenderung teliti dan sabar mengkaji sesuatu yang di dalam ruang lingkup minat kita. Ulama'-ulama' dulu mencabar kelemahan manusiawi mereka dengan  tetap bersikap teliti mengkaji dalam semua sudut kehidupan manusia yang perlukan perbincangan syarie.

Fiqh Muamalat berdepan dengan cabaran untuk memenuhi tuntutan perkembangan dunia semasa. Berbeza dengan Fiqh Ibadat. Ulama' sentiasa teruji untuk menggunakan nas-nas yang ada dan sedaya upaya berijtihad untuk mengeluarkan keputusan yang paling persis dan jitu, menepati kehendak syara'. Jauh lebih mencabar berbanding mempelajari ilmu perniagaan biasa, kerana ada soal halal & haram, soal sah & batal, yang sering mengiringi setiap permasalahan. Bukan mudah untuk dilakukan, jika tidak dicabar kelemahan manusiawi yang kurang sabar dan teliti.

* * * * *

Selesai peperiksaan subjek Fiqh Syafie semalam, mungkin ada sesetengah mahasiswa yang tidak berhajat untuk berjumpa semula dengan masalah Fiqh Muamalat ini, sehinggalah jika mereka sendiri yang ditimpa masalah-masalah berkaitan. Semalam sesudah tamat peperiksaan, saya saksikan sendiri seorang pelajar Mesir mengoyakkan kertas peperiksaannya. Nampak meluat benar dengan kerumitan Fiqh Muamalat.

Bagi saya, perjalanan untuk lebih memahami ruh syara' di dalam ruang muamalah baru sahaja bermula. Alhamdulillah, Allah bukakan juga pintu hati dan kefahaman untuk mula menangkap seni dan struktur ilmu Fiqh Muamalat ini. Kerumitan yang asalnya menyulitkan kini mula menambat akal dan fikiran

Paling penting, sikap ulama' yang teliti dan sabar berbincang dan mengkaji, baik secara makro mahupun mikro, meski rumit dan berbelit, perlu saya contohi. Bukan kerana mengejar sijil atau kerjaya kemudian hari, tapi sebagai amanah ilmu dan amanah memahami agama yang luas dan sempurna ini.

Doakan saya dan rakan-rakan dikurniakan sifat sedemikian.





2 comments:

Related Posts with Thumbnails