June 12, 2011

Agama vs Realiti hidup


Jika entri ini dikatakan berfalsafah, maka izinkan saya berfalsafah sekali-sekala.
___________________________________________

Ada garis kabur yang sering buat kita keliru dan berada dalam dilema ketika membuat satu-satu keputusan dalam hidup.

Garis antara kaitan keputusan tersebut dengan agama, dan kaitannya dengan realiti hidup di dunia.

Orang kata membuat keputusan dengan perkiraan realiti hidup di dunia lebih mudah, untung ruginya sudah boleh dikira dengan jelas, baik buruknya kita boleh jangkakan berdasarkan kes-kes terdahulu. Sudah ada rekod sejarah atau pengalaman orang lama.

Saya rasa sebaliknya. Membuat keputusan dengan memikirkan kaitannya dengan agama lebih mudah, kerana kesan keputusan tersebut sudah dijelaskan dengan terperinci melalui Al-Quran & Hadith Rasul s.a.w.
Yang halal jelas, yang haram jelas, kata Rasul s.a.w. Buat keputusan begini, syurga & pahala pulangannya. Buat keputusan begitu, neraka & dosa balasannya. Lebih mudah membuat keputusan dalam keadaan yang jelas begini saya kira.

* * * * * 

Namun bila keputusan tersebut dikaitkan dengan realiti hidup di dunia, kita selalunya jadi bingung. Kita akan didatangi dengan pelbagai hujah dan sebab, samada dari hati kita sendiri, atau dari orang lain. Biasanya orang lain (ibubapa, guru, rakan). Situasi ini tidak boleh dielak, kerana kita sememangnya berada di dunia, dan keputusan yang kita lakukan ialah untuk urusan-urusan kita di dunia.

Cuma, kita sering tertanya, apabila terjadi situasi begini :
Di dalam agama, perkara tersebut hanya disebut secara umum kesannya. Manakala ketika dinilai melalui realiti hidup di dunia, kita melihat kesan yang lebih pelbagai dan terperinci, baik dan buruk.
Apa pendirian kita ketika itu?

Terus membuang perkiraan realiti hidup di dunia, dan bersandar penuh pada agama?
Atau abaikan seketika aspek yang berkait dengan agama dalam keputusan tersebut, dan taruhkan setinggi-tinggi harapan pada perkiraan realiti dunia?

* * * * * 

Asal sandaran kita, dan pertama sekali yang harus kita rujuk, ialah tetap agama. Setelah itu barulah, malah haruslah, kita terima pula perkiraan realiti hidup, baik & buruknya.

Jika maslahat yang disebut oleh agama tidak terperinci seperti maslahat yang dinyatakan oleh realiti hidup di dunia, bagaimana? Nampaknya realiti hidup di dunia punyai maslahat yang lebih banyak jika begitu?

Banyak, ya, mungkin. Tetapi yang lebih memahami, meraikan semua, dan memelihara di dunia dan di akhirat, tetap maslahat agama. Agama biarpun menyatakan maslahat hanya secara umum, maslahat tersebut lebih besar kesannya, dan lebih penting diambil kira. Bagaimana tidak, yang menetapkan maslahat tersebut bukanlah sesiapa, Allah s.w.t sendiri yang menetapkannya. Allah s.w.t yang Maha Memahami segala yang tersurat dan tersirat, yang Maha Mengetahui yang zahir dan ghaib.

Sesudah kita benar-benar menetapkan standard penentuan keputusan kita pada maslahat agama, barulah kita buka pula pada perkiraan maslahat-maslahat realiti hidup di dunia. Jadi bukanlah terus perkiraan realiti ini ditolak dan tidak dipedulikan. Saya kira, yang paling cantik ialah ianya dibincangkan. Kita sebagai orang yang akan menanggung keputusan, tidak patut mengabaikan terus perkiraan realiti dunia, manakala pihak lain yang membawa hujah maslahat realiti dunia, tidak harus memaksa semuanya diterima bulat-bulat. Kita tiada hak menolak, dan pihak tersebut tiada hak memaksa.

Seperti yang saya sebutkan, jalannya ialah perbincangan, dengan akal yang rasional, dan hati yang terbuka.

* * * * *

Kesimpulan :
  1. Tiada pertembungan antara perkiraan agama dan perkiraan realiti hidup di dunia dalam membuat keputusan. (Jadi tajuk entri ini tidak boleh diterima dan terbatal)
  2. Maslahat agama biarpun umum, ialah faktor utama yang perlu diambil kira dan sama sekali tiada ruang kompromi padanya. Jika tidak, segala-galanya akan silap dan rosak.
  3. Maslahat realiti dunia, biarpun banyak dan terperinci, ialah faktor kedua, ketiga, dan seterusnya, yang tidak layak dijadikan faktor mutlak dalam membuat keputusan. Maka ianya tidak boleh dipaksakan.
  4. Jalan terbaik ialah membuka ruang perbincangan untuk menilai maslahat-maslahat realiti dunia, agar boleh diterima dengan lapang dada, setelah meletakkan faktor maslahat agama sebagai asal perbincangan.












6 comments:

  1. Bismillah..
    bukan tiada 'realiti dunia yang selari dengan maslahat agama' =) cuma perlu lebih bersungguh mencari dan ikhlas dalam mencari, agar bertemu keserasian dalam dua urusan ini, yang insyaAllah akan memberi ketenangan.

    ReplyDelete
  2. Kalau begitu saya khususkan persoalan di dalam tulisan saya ketika realiti hidup di dunia dan agama seakan bertembung sahaja.

    Jika sudah selari tiada maknanya tulisan ini wujud.

    ReplyDelete
  3. agama mengajak kepada kebaikan, dunia dan akhirat.
    mana-mana yang bukan daripada itu pasti bukan dari agama. kan?

    ReplyDelete
  4. "3. Maslahat realiti dunia, biarpun banyak dan terperinci, ialah faktor kedua, ketiga, dan seterusnya, yang tidak layak dijadikan faktor mutlak dalam membuat keputusan. Maka ianya tidak boleh dipaksakan."

    Apa maksud tak boleh dipaksakan tu? Susahnya nak faham bahasa, macam baca buku Ar-Rasyid pulak.

    ReplyDelete
  5. @Pembaca : syarahnya ada dalam tulisan di atas tu, sebelum kesimpulan :
    "Sesudah kita benar-benar menetapkan standard penentuan keputusan kita pada maslahat agama, barulah kita buka pula pada perkiraan maslahat-maslahat realiti hidup di dunia. Jadi bukanlah terus perkiraan realiti ini ditolak dan tidak dipedulikan. Saya kira, yang paling cantik ialah ianya dibincangkan. Kita sebagai orang yang akan menanggung keputusan, tidak patut mengabaikan terus perkiraan realiti dunia, manakala pihak lain yang membawa hujah maslahat realiti dunia, tidak harus memaksa semuanya diterima bulat-bulat. Kita tiada hak menolak, dan pihak tersebut tiada hak memaksa."

    Kalau yang ni tak faham mungkin sebab kelemahan penulis, bukan macam buku Ar-Rasyid, yang tu tak faham sebab penulis hebat sangat.

    Allahu'alam.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum..sejujurnya sy blm habis baca apa yg awak tulis tp sy dh baca separuh..still rasa byk benda yg sy x faham..mungkin cara sy mendalami tu salah..insyaAllah sy cuba memahami isi kandungannya..wassalam..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails