Hari Ahad itu saya tekadkan juga azam ke kelas, biarpun jadual aktiviti hari itu amat penuh, bermula selepas Subuh lagi. Sepanjang hampir setahun pengajian saya di tahun 2 kuliah Syariah Islamiah, Al-Azhar, hari Ahad ialah hari yang paling saya nantikan.
Hari Ahad subjek pertamanya, bermula jam 9 pagi, ialah subjek kegemaran saya - Usul Fiqh Nassi (kitab turath). Dan pengajarnya seorang doktor yang amat saya hormati dan sayangi, seperti juga rakan-rakan kuliah saya yang lain - Dr Solah Zaidan.
Hari itu dewan kuliah lebih sesak berbanding biasa. Sudah dijangka, saat bahang peperiksaan muncul banyaklah wajah-wajah baru yang turut muncul di dewan, menanti muqarrar (sukatan bahan) dari doktor yang mengajar.
Pagi itu Dr Solah hadir ke kuliah seperti kebiasaannya. Usianya dalam lingkungan 70-an, rambutnya putih nipis di tepi kepala sahaja, tiada di bahagian atas (dan sering jadi bahan jenakanya sendiri), dan jambangnya memutih memenuhi pipi dan dagu. Wajahnya manis saat tersenyum, dan menggerunkan jika marah. Langkahnya perlahan-lahan, suaranya dalam dan sayup, pakaiannya sut kemas, sesekali berwarna cerah, dan sesekali berwarna biru matang.
Sudah dia khabarkan minggu lepas, dalam kuliahnya hari ini, akan dia rumuskan dan sudahkan pembelajaran. Namun tetap seperti biasa, Dr Solah mengajar dahulu baris demi baris dari kitab tradisi Usul Fiqh di Al-Azhar, Nihayat As-Suul syarah Minhaj Al-Wusul.
Satu demi satu isi dihurai dengan jelas. Setiap isi akan diulang-ulang. Sesekali beliau menyergah pelajar yang mula tertunduk mengantuk, lalu ditanya semula isi syarahannya. Pelajar yang tiba sesudah bermula syarahan memang tiada peluang masuk ke dalam dewan, kecuali dengan arahannya. Pintu kuliah akan terkunci rapat sepanjang syarahannya berjalan. Selalunya, suasana kuliah yang lazimnya hingar dengan bual tak sudah pelajar Mesir, menjadi hening bening penuh hormat tatkala Dr Solah menyampaikan syarahan.
Dan saya selalunya terpukau.
Hari itu, syarahannya pendek, memandangkan ia siri yang terakhir. Sebelum mengakhiri, Dr Solah memandang pada sekalian pelajar. Cermin matanya dibuka, dan diletak di atas meja. Tiba saatnya dia memberi kalam-kalam penutupan. Memohon maaf segala kekurangan, dan memberi pesan juga wasiat untuk masa depan. Ilmu yang diajar minta dimanfaatkan, kekurangan yang ada minta ditunjukkan.
Lalu Dr Solah menjemput beberapa orang pelajar, dari Mesir, dan bukan Mesir, untuk berkongsi ucapan, luahan, dan perasaan.
Seorang pelajar tua dari Sudan menarik minat saya dengan pujiannya yang hebat kepada Dr Solah. Katanya, "Dr Solah bukan sekadar doktor yang mengajar, tapi juga seorang murabbi, seorang ayah, yang memberi tarbiyah dan didikan, bukan sekadar untuk peperiksaan, tapi juga untuk kehidupan! Dia mengajar kita Al-Usul (asas-asas agama) sebelum mengajar kita Al-Usul (usul fiqh)!"
Memang benar. Dan kerana itulah syarahannya sentiasa memukau dan tidak membosankan. Subjek Usul Fiqh Nassi yang abstrak dan kompleks tidak terasa bebannya saat Dr Solah mengajar. Setiap sela masa di antara isi-isi utama pengajaran, akan dia isikan dengan berbagai pengajaran bermakna tentang Islam dan kehidupan. Pesan dia tentang ikhlas, tentang iman, tentang hati, tentang fitnah wanita, memang sukar dilupakan.
Dan Dr Solah rajin mengusik dan berjenaka! Rakan kami dari benua afrika, Bamba, sering disebut-sebut namanya oleh Dr Solah saat bergurau mesra.
Hari itu, semua pelajar menjadi hiba. Semua yang berucap, berkata penuh mengharap, agar masih dapat meneguk ilmu dari sisa umur Dr Solah yang semakin menua. Agar dapat lagi menimba pengalaman dan kematangan dari perjalanan ilmu beliau yang membanggakan. Jika masa masih ada hari itu barangkali semua di dalam dewan kuliah tersebut ingin memberi penghargaan dan luahan perasaan.
Sayang saya sendiri pun tidak berkesempatan.
Mungkin cukuplah dengan tulisan ini sebagai kenangan, dan coretan harapan agar pertemuan dan perkenalan saya dengan beliau, akan berkekalan.
Jazakumullah Khairan Ya Duktuur.
Semoga Allah memberkati umur Dr Solah Zaidan, meluaskan rezekinya, menambahkan ganjarannya, dan menggolongkan beliau di kalangan para nabi, siddiqin, syuhada', dan orang-orang soleh.
Amin.
ajak la utk program2 muiz..
ReplyDeleteSedih pos ni.
ReplyDeleteDr Fahmi : InshaAllah, Dr Solah bercita-cita mengakhirkan hayatnya dengan mengajar.
ReplyDeletePanadol : Kata Jibril a.s pada nabi s.a.w "Cintailah sesiapa pun tapi ingat, kau akan berpisah dengannya." Tentulah sedih.