Seperti yang tersiar di laman web ISMA-Mesir (www.ismamesir.com)
-----
Oleh: Syed Ahmad Israa, Tahun 2, Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar (Kaherah)
Iklim baru Mesir pasca revolusi yang penuh membina dan positif rupanya sukar dikekalkan. Ketika mana pelbagai lapisan masyarakat dengan penuh positif menyokong segala usaha untuk membangunkan semula Mesir, muncul anasir-anasir kabur yang cuba mengganggu gugat usaha ini.
Kejadian yang tercetus di Imbabah, Kaherah baru-baru ini, yang diwar-warkan sebagai pertembungan antara agama dan aliran, sememangnya telah memahat satu noktah hitam pada jalur putih perkembangan Mesir sesudah revolusi.
Mengikut laporan-laporan yang disiarkan oleh akhbar di Mesir, pertembungan ganas yang melibatkan sebilangan masyarakat Kristian Koptik dan masyarakat Islam ini dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati sekumpulan pemuda yang dituduh beraliran Salafi. Mereka dipercayai merupakan punca terjadinya rusuhan tersebut, apabila mereka bertindak memasuki sebuah gereja untuk menyiasat kes kemurtadan seorang wanita Islam. Beberapa kes pembakaran gereja dan kedai milik masyarakat Kristian menyusuli peristiwa tersebut, membawa akhirnya kepada pertembungan dahsyat yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan ratusan orang.
Peristiwa ini segera mengundang respon pelbagai pihak, Kristian dan Muslim.
Ada yang segera menuding jari kepada kumpulan aliran Salafi, yang dikatakan sering bersikap radikal dalam hubungan dengan masyarakat Kristian. Peristiwa-peristiwa yang dikaitkan dengan mereka dahulu terutama di Iskandariah dijadikan sandaran bagi dakwaan ini.
Namun rata-rata tokoh masyarakat, Islam dan Kristian, menyatakan bahawa peristiwa di Imbabah amat bertentangan dengan semangat kesatuan antara Kristian dan Islam yang berjaya disemai sepanjang tempoh revolusi Januari yang lalu. Kejadian ini dinilai sebagai terlalu pelik dan tidak mungkin boleh berlaku dalam waktu sebegini. Pemimpin-pemimpin Salafi juga membidas tuduhan tersebut.
Pandangan mereka ini kuat asasnya memandangkan siri-siri tunjuk perasaan yang diadakan sesudah kejadian di Imbabah tersebut, disertai oleh kedua-dua masyarakat Islam dan Kristian, dengan laungan kesatuan sesama mereka demi kesejahteraan Mesir.
Pendirian serta respon pihak keselamatan dan tentera yang dilihat terlalu lemah dan lunak dalam peristiwa ini juga telah mengundang pelbagai persoalan. Mengapa peristiwa yang seburuk ini tidak diberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya?
Mengulas tentang kejadian ini, Ir. Khairat Shater, Naib Mursyid Ikhwan Muslimin, di dalam syarahannya di American University Cairo pada 9 Mei 2011, menyifatkan bahawa apa yang terjadi tidak mustahil merupakan sesuatu yang dirancang dan diada-adakan. Beliau menegaskan bahawa demi kestabilan situasi Mesir sekarang dan untuk masa depan, memerlukan kepada kesatuan dan persefahaman kesemua entiti yang wujud di Mesir tanpa mengira aliran dan kefahaman. Kesatuan yang mula subur semenjak revolusi ini kata beliau menimbulkan kegusaran kepada pihak-pihak yang gentar dengan kebangkitan semula Mesir, lalu mereka berusaha dengan segala jalan untuk menimbulkan perpecahan dan pertelingkahan dalaman di dalam masyarakat Mesir.
Menyoroti peristiwa ini membawa kita semua kepada satu lipatan sejarah umat Islam yang mungkin telah dilupai ramai. Sejarah khilafah Uthmaniyyah di penghujung sebelum kejatuhannya menyaksikan umat Islam berada di dalam situasi yang sama, dan diduga dengan usaha yang serupa.
Dr. Ali Muhammad As-Sallaby, di dalam bukunya ‘Daulah Al-Uthmaniyyah’, menyebut bahawa antara punca kejatuhan pemerintahan Uthmaniyyah ketika di penghujung eranya ialah ketidakstabilan politik dalaman negara, dan campur tangan daripada musuh luar yang mengambil kesempatan.
Khilafah Uthmaniyyah telah menyaksikan siri-siri revolusi oleh masyarakat minoriti Nasrani di sekitar Bulgaria dan Bosnia Herzegovina, yang diprovokasi oleh kuasa Inggeris di Eropah. Revolusi dan kebangkitan kumpulan minoriti ini menuntut hak-hak yang lebih daripada apa yang sesuai dengan komposisi mereka yang sedikit, hingga akhirnya menimbulkan rusuhan dan pertelingkahan besar di dalam kerajaan Uthmaniyyah. Suasana ketidakstabilan politik ketika itu segera dimanfaatkan oleh kuasa Inggeris di Eropah dengan menawarkan plan-plan penyelesaian mengikut saranan mereka, dan menawarkan pelbagai bantuan kewangan kepada kerajaan Uthmaniyyah sebagai ganti kepada pembebasan tanah-tanah Bulgaria dan sekitarnya kepada masyarakat Nasrani.
Khilafah Uthmaniyyah menjadi goyah lantaran perpecahan dan terpaksa menerima bantuan kewangan daripada musuh, hingga akhirnya mengorbankan kepentingan mereka, dan mengakhirkan sistem khilafah Islam di muka bumi. Pihak Inggeris dan sekutu Yahudi mereka tersenyum lebar berpuas hati.
Apa yang sedang berlaku di Mesir ketika ini adalah perkara yang sama. Malah usaha daripada pihak Amerika Syarikat yang sebelum ini menawarkan USD150 juta menunjukkan bahawa pihak mereka juga sedang cuba melaksanakan skrip yang sama. Kenyataan Amerika Syarikat terhadap pertembungan antara aliran di Mesir, dan tuntutan pembelaan kepada minoriti Koptik di Mesir juga dilihat sebagai usaha-usaha mereka untuk mengulang strategi mereka ketika menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah. Segala ruang yang memungkinkan campurtangan mereka berlaku di dalam politik Mesir sedang diusahakan.
Umat Islam di seluruh dunia umumnya, dan di Mesir khususnya, harus segera cakna dan sedar dengan apa yang sedang terjadi. Sejarah lalu haruslah dijadikan panduan dan iktibar sebaik mungkin. Segala jalan yang memungkinkan campurtangan pihak musuh Islam di dalam pemerintahan umat Islam harus segera ditutup dan disekat. Dan yang paling penting, kesatuan dan kesepakatan haruslah sentiasa dibina, dipegang, dan dijaga, demi kegemilangan masa depan Islam yang pasti, yang sedang menanti.
No comments:
Post a Comment