April 28, 2011

Tepat & Padat


Di antara ciri-ciri genius dan cerdiknya seseorang, serta dalamnya kefahaman terhadap sesuatu ialah kemampuan beliau untuk merumuskan dan mengintisarikan isi-isi kefahaman, konsep, dan idea yang berada di dalam benaknya kepada beberapa patah perkataan atau ayat dalam bentuk yang ringkas dan tepat. Mudah tetapi komprehensif. Kata orang inggeris, concise.

Jika di dalam sains, ambil contoh Albert Einstein misalnya. Kekusutan dan kerumitan permasalahan yang difikirkan beliau tentang konsep serta hukum-hukum berkaitan relativiti, akhirnya diluahkan hanya dalam satu formula ringkas yang tepat (mengikut kajiannya), iaitu E = mc² .

Jika di dalam bidang agama pula, ambil contoh Imam An-Nawawi. Penerokaan beliau terhadap segala disiplin ilmu dalam Islam, akhirnya membawa kepada terhasilnya kompilasi 42 sahaja hadis Ar-Rasul s.a.w yang menjadi rumusan kepada penerokaan beliau. Manakala di dalam bidang Fiqh secara khusus, beliau yang bermazhab Syafie, sesudah mendalami dan meneliti pelbagai kitab-kitab induk karangan imam-imam utama mazhab Syafie, merumuskan intisari kajian tersebut dalam baris-baris matan ringkas yang terhimpun di dalam karyanya, Minhaj At-Tolibin.

Dan jika di dalam tajdid Islam dan fiqh Harakah Islamiah, Imam As-Syahid Hasan Al-Banna menjadi contoh dalam hal ini. Ketika menggambarkan rupa dan hakikat tentang gerakan dakwah yang dipimpinnya, beliau telah dengan tepat menggambarkannya dalam 8 bentuk : Dakwah Salafi, Tarikat Sunni, Hakikat Sufi, Badan Politik, Jamaah Riadhah, Ikatan Intelektual, Syarikat Ekonomi, dan Fikrah Sosial.

Penggunaan perkataan pada setiap bentuk yang dinyatakan Imam Al-Banna adalah penggunaan yang terpilih, hasil pemerhatiannya terhadap kecelaruan fahaman masyarakat dalam memahami makna sebenar setiap yang disebut.
Contohnya, penggunaan 'hakikat sufi', bagi menggambarkan bentuk sufi yang difahami Ikhwan ialah pada hakikatnya, iaitu penyucian hati, akhlak, dan sikap (seperti yang diajar Rasulullah) dan bukan kesufian yang difahami secara salah oleh ramai orang pada hari ini. Juga penggunaan 'ikatan intelektual' bagi menggambarkan sisi ilmiah yang difahami Ikhwan, iaitu sikap intelek yang tidak tenggelam berseorangan dalam lautan kajian ilmu hingga terpisah dari masyarakat, sebaliknya mencetus ikatan dan perhubungan dalam masyarakat, berlandaskan ilmu dan kefahaman.

* * * * *
Maka tepatlah kata-kata :

خير الكلام ما قل و دل
"Sebaik-baik perkataan ialah yang sedikit dan tepat (memberi gambaran)"

Dan contoh terulung dalam hal ini tentulah Rasulullah s.a.w sendiri, dengan pengakuan dari baginda :

أوتيت بجوامع الكلم
"Aku dikurniakan Jawami' Al-Kalam (kata-kata yang tepat dan padat himpunan maknanya)"


Ulama' Islam semuanya berusaha untuk meletakkan asas-asas ilmu di dalam Islam dengan kaedah ini. Hal ini terpamer dalam seni meletakkan takrif di dalam ilmu mantiq. Di dalam seni takrif ini, hanya takrif atau definisi yang jaami' (menghimpunkan) dan maani' (membataskan) sahaja dianggap sebagai takrif/definisi yang berjaya dan diterima. Takrif yang yang jaami' & maani'  membantu para penuntut ilmu meletakkan garis sempadan dalam had perbincangan. Apa yang terkandung di dalam takrif dibincangkan selumatnya, dan apa yang dikeluarkan daripada kandungan takrif sama sekali tidak disentuh.

Beginilah disiplin di dalam ilmu Islam, yang diwarisi daripada kebijaksanaan gurunya yang paling utama, Rasulullah s.a.w sendiri.

* * * * *
Mengapa tulisan ini ditulis?

Hari ini gelombang kecelaruan dan keserabutan pemikiran semakin bergelora di dalam masyarakat. Keluasan ruang penyebaran idea samada di dunia nyata mahupun di alam maya membolehkan gelombang-gelombang ini meresap dan tertanam di dalam benak fikiran setiap anggota masyarakat.

Hingga akhirnya pelbagai perkara yang murni dan bersih sifat asalnya, dipandang jelik dan jijik, malah dicemuh dan ditohmah, lantaran pentakrifan dan pemahaman terhadap hakikat perkara tersebut sudah dicemar dan tercemar.

Takrif Islam, takrif nasionalisme, takrif keadilan, takrif kesepakatan, kesemuanya sudah caca marba di dalam kefahaman majoriti masyarakat.

Maka mereka yang memahami kepentingan proses takrif di dalam usaha memperbaiki masyarakat, haruslah mencontohi dan berusaha menuju ke tahap kegeniusan para Ulama' dan tokoh Islam dalam memberi dan menyampaikan takrif-takrif penting bagi usaha-usaha mereka dalam bentuk yang ringkas dan padat, hingga masyarakat mampu memahami intisari seruan mereka ke akarnya yang asli, bersih, dan murni, lantas menyahut dan mendokong seruan tersebut.

Jika tidak, arus-arus takrif yang tercemar dan mencemar akan kekal mendominasi dan merosakkan.

4 comments:

  1. true dat

    Just a little something to share.

    How Almawdudi has described Islam perfictly when he said that Islam is not a religion, in a way which people commonly use religion and understand it.But Islam is wider than that, he had qouted "Islam means politics, economics, legistlation,science,health,humanism,pshycology and sociology.It is a system which makes no discrimination on the basis of race,color,language or external categories.its appeal is to all mankind.It wants to reach the heart of every human being.

    i would say that it contrudicts what the west has defined islam as a "monotheistic religion" and not a way of life.But that is what they want to potray , a person could be apart of religion or vise versa but religion could not be the person itself.Because it is just a belief.

    How the seculars have dominated the innocent minds of the people and put limist to their thinking making them so rigid that they see everything which contrudicts their definitions of life is wrong.

    Definitions: Its just a combination of few words making up a sentence to describe a certain something but it gives a massive impact to the way people look at something.

    Jazakummullah for the inspiration.
    Ne3a Ajr Al3amilim

    ReplyDelete
  2. @Maalik :
    Terima kasih di atas tambahan. Mereka yang faham perlu sabar dan terus istiqamah memberi pengertian dan kefahaman, walaupun berulang-ulang.

    Memang tabiat manusia hanya mampu dididik dengan sesuatu yang diulang-ulang berkali-kali, dan ini juga dari cara Quran memberi didikan.

    Tidak perlu risau dengan celaan mereka yang mencela, dan tiada salahnya mendabik dada dengan kebenaran dan kefahaman yang benar.

    Wallahua'alam.

    ReplyDelete
  3. Para sahabat pun menguasai teknik macam ni, contohnya Jaafar bin Abi Talib menjelaskan Islam kepada Najasyi dalam 5 bentuk poin sahaja.

    Imam As-Syatibi juga antara ulama' yang berjaya mengaplikasikan method sebegini, bait-bait syairnya ringkas, tapi mampu syarah semua kalimah Quran. Apa yang lebih menarik beliau berasal dari Andalus, tapi penguasaan Bahasa Arab beliau 'tip top'.

    ReplyDelete
  4. @Mampir :

    Terima kasih atas contoh-contoh tambahan. Fakta tentang Imam As-Syatibi tu sangat menarik, bermakna antara yang paling diperlukan untuk mempadatkan makna, selain dari kefahaman, ialah kekuatan bahasa yang bukan sebarangan/'tip top'.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails