April 03, 2011

Bipolar Disorder


Ada beberapa perkara yang asalnya ingin saya kongsikan, berkaitan dengan perkembangan politik di Mesir dan rantau arab. Perkembangan isu semasa memang sentiasa perlukan pemerhatian dan kepekaan.

Tapi baru-baru ini saya dikejutkan dengan satu khabar dari seorang rakan saya.

Rakan yang dahulunya seorang yang ceria, dan amat ramah, serta baik hubungannya dengan saya semenjak saya tiba di Mesir, dikhabarkan kepada saya, telah diserang penyakit 'bipolar disorder'. Hanya beberapa hari selepas beliau menziarahi saya di rumah, dan berbual-bual dengan saya, khabar buruk ini saya terima.

Saya tidak pandai menerangkan masalah penyakit ini secara saintifik. Tapi dari pembacaan dan pengetahuan asas saya, penyakit ini amat bahaya. Bermula dengan simptom-simptom yang ringan seperti menjadi hiperaktif, hingga boleh membawa kepada peringkat terburuk penyakit ini, iaitu berfikir untuk membunuh diri.

Puncanya tidak ada yang khusus. Boleh jadi pelbagai faktor. Tetapi memandangkan ianya merupakan penyakit yang juga berkaitan dengan psikologi seseorang, saya lebih cenderung untuk mengatakan, bagi kes rakan saya ini, ia berpunca daripada masalah emosi; kemurungan melampau dan hilang keyakinan diri.

* * * *

Saya bukan orang psikologi, tapi untuk memahami bahawa kemurungan dan hilang keyakinan diri ada puncanya, tidaklah susah. Saya sering berjumpa orang-orang yang mempunyai masalah yang sama, samada di dunia nyata, atau di alam maya.

Faktor terbesar saya kira yang menjadi punca kepada masalah ini ialah sejarah dan memori masa lampau. Orang putih kata : "haunted by our past".

Sesiapa pun, jika dia manusia, akan mempunyai sudut-sudut sumbang dalam masa hidupnya yang lalu. Lubang-lubang yang pernah dilalui hingga terjatuh. Alam gelap yang pernah ditempuhi sebelum bernasib baik dipimpin keluar ke alam yang terang. Sesiapa pun, tidak akan terkecuali, cuma mungkin berbeza dalam atau tidak lubang-lubang gelap yang pernah dilalui seseorang. Ada yang dalam benar, hingga ke dasar bumi, dan ada yang tidak dalam sangat, masih nampak cahaya di  atas.

Saat dia membenarkan jiwa, emosi, dan akalnya dihantui oleh kegelapan-kegelapan hidupnya yang lampau, dia telah membuka pintu kepada pelbagai masalah. Paling tidak, pintu kepada musuh manusia yang paling utama; syaitan dan iblis.

* * * *

Sesetengah mujahid dan tokoh Islam seperti Syed Qutb dan Abu 'Ammar, Ahmad Ar-Rashid, memberi istilah yang tepat kepada kegelapan hidup di masa lalu - Jahiliyyah.

Istilah yang amat tepat ini banyak mereka gunakan dalam penulisan mereka seperti Tafsir Fi Zilal Al-Quran, dan Al-Muntalaq.

Secara ringkas, gambaran yang ingin mereka sampaikan dengan istilah ini, ialah seperti yang saya sebutkan tentang lubang-lubang gelap kehidupan di atas. Kegelapan ini, atau Jahiliyyah ini, telah terjadi ke atas pelbagai lapisan manusia, daripada individu perseorangan, sehingga ke skala terbesar, umat manusia seluruhnya.

Jahiliyyah ini, menurut Syed Qutb, telah menjadikan manusia hidup dalam keadaan bingung, teraba-raba dalam kegelapan, dan berjalan ke belakang menuju ke gaung yang akan membinasakan.

Simptom yang sama, seperti pesakit 'bipolar disorder', bukan?

Begitulah ngerinya Jahiliyyah atau kegelapan masa lalu ini. Hingga jasad manusia boleh terbunuh.

* * * *

Saya dengar rakan saya diberi ubat penenang, dan sedikit ubat pil untuk dimakan oleh doktor. Tapi kata doktor, ubat-ubatan sahaja bukanlah penyelesai. Rakan saya perlukan psikoterapi katanya. Satu kaedah rawatan yang perlukan tempoh yang panjang, dan hanya kelihatan kesannya dalam tempoh yang juga panjang. Yang penting, rakan saya ini sendiri perlu kuat untuk memulihkan dirinya.

Saya tumpang bersedih dengan nasib rakan saya ini. Termenung saya sendiri memikirkan cabaran yang bakal dilaluinya di masa depan untuk kembali pulih. Proses yang lama, perlukan kekuatan, tapi itulah satu-satunya jalan, apa lagi pilihan yang ada?

Perkara yang sama ditawarkan oleh kedua-dua penulis yang saya sebutkan di atas.

Manusia yang pernah melalui tempoh kegelapan, tanpa mengira kadarnya, perlu segera menguatkan diri untuk keluar, dan meninggalkan kegelapan tersebut di belakang. Syed Qutb sendiri, mengajar tentang 'fiqh mufasolah' atau 'fiqh pemisahan nyata', antara zaman gelap, dan zaman baru yang terang benderang yang akan dilalui. Hanya dengan memisahkan diri sepenuhnya daripada memori dan tindakan gelap di masa lampau yang sering menghantui dan menarik diri kita, baharulah kita mampu menyadurkan diri kita dengan keterangan, keindahan, dan kejelasan hidup yang ditawar oleh Islam.

Bacalah kata-kata beliau yang terang tanpa perlu disuluh ini:
"Sesungguhnya siapa yang tidak 'masuk' ke dalam Islam dengan keseluruhannya, dan tidak menyerahkan dirinya sepenuhnya untuk dipimpin oleh Allah dan syariah-Nya, juga tidak membebaskan dirinya dari sebarang fahaman dan pemikiran lain, dia telah berada di atas jalan syaitan, dan meneruskan langkahnya di dalam langkah-langkah kesyaitanan." (Fi Zilal Al-Quran 136/25)

* * * *

Orang Islam beruntung, dalam hal ini, mereka punyai banyak kes untuk dirujuk. Kes rujukan seawal zaman Rasulullah, hinggalah zaman-berzaman selepas itu.

Kegelapan masa lampau yang dilalui sahabat-sahabat bukan calang-calang. Dari yang pernah hidup mewah dikelilingi harta dan wanita yang meminati, hinggalah seteruk yang pernah membunuh dan merompak.

Dengan sentuhan murabbi atau pendidik ulung seperti Rasulullah s.a.w, mereka berjaya memisahkan diri mereka dari episod kegelapan tersebut, dan hidup kemudiannya dalam kemanisan iman. Rasulullah s.a.w sendiri pernah memberi komen tentang proses yang mereka lalui ini dalam hadisnya :


"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)


Nasib baik ada Rasulullah s.a.w. Jika tidak barangkali 1 daripada 5 orang di muka bumi ini terdedah kepada risiko 'bipolar disorder' baik yang zahir, mahupun yang maknawi.

* * * *

Rasanya tidak keterlaluan untuk saya berharap tiada lagi orang di sekeliling saya, termasuk saya sendiri, yang ditimpa penyakit yang sama, samada secara sakit yang zahir, mahupun maknawi. Pedih rasanya jika menerima khabar nanti.

Kekuatan hanya akan datang dari sumbernya - Allah s.w.t. Doa penuh takut & harap adalah salurannya.

Doakan rakan saya yang sedang sakit, dan doakan saya terpelihara daripada sakit ini, juga segala punca yang akan membawa kepadanya.

__________________________________
* Saya harap tulisan ini tidak terlalu 'exaggerate'. Sekadar pengajaran supaya kita beringat sebelum terkena, berjaga sebelum kecewa, berubah sebelum 'terlena'.




8 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Sebetulnya saya terkejut bagaimana tajuk ini boleh melekat pada blog saudara. Saya ingin kongsikan di sini sedikit pengalaman peribadi. Moga-moga bermanfaat.

    Pada Mac 2008, saya ditimpa penyakit misteri yang saya ingin percaya bahawa ia adalah bipolar disorder. Kerana tekaan-tekaan lain tentang penyakit yang saya alami tidak memuaskan rasional saya.

    Melalui pembacaan, saya dapat tahu bahawa pesakit bipolar disorder berdepan dengan dua kondisi ektrem. Gila-gila (manic) dan murung (depression).

    Jika kita perhatikan dengan baik, hidup ini memang tidak lari dari dua perasaan ini. Suka dan duka. Satu saat kita terasa gembira seolah-olah seluruh alam ini tersenyum kepada kita. Satu saat yang lain kita terasa sedih seolah-olah seluruh alam ini mengutuk kita.

    Cuma bezanya, pesakit bipolar disorder berdepan dengan perasaan ini dalam bentuk yang ekstrem. Gembiranya melampau sehingga tahap gila-gila. Sedihnya melampau sehingga tahap murung.

    Mac 2008 menyaksikan saya berada dalam dua kondisi tersebut hingga saya hilang kawalan atas badan saya. Hingga satu tahap, saya hanya mampu memerhati apa yang saya sendiri lakukan. Tanpa mampu untuk merasionalkan setiap satu pun.

    Alhamdulillah, semua pihak bertungkus-lumus membantu memulihkan saya. Hingga akhirnya ibu bapa saya terpaksa datang ke Mesir dan membawa saya pulang untuk rawatan.

    Ibu bapa saya merupakan perawat Darussyifa dan mereka bergilir-gilir membacakan ruqyah dan menyediakan air daun bidara sebagai ikhtiar penyembuhan. Saat kewarasan hilang, syaitan suka mengambil peluang untuk menambah susah yang sedia ada. Kerana itu, doa-doa penting sebagai bekal. Itu ikhtiar orang lain untuk cuba memulihkan keadaan.

    Apa yang lebih penting adalah kesedaran dan ikhtiar pesakit sendiri untuk kembali pulih. Suka untuk saya kongsikan, pada ketika itu saya rasakan mati adalah lebih baik. Setiap kali saya buka mata, saya seakan-akan kecewa bahawa saya masih hidup.

    Tapi setelah kewarasan sedikit demi sedikit kembali hadir, saya mulai sedar pengorbanan keluarga dan kawan-kawan yang ingin lihat saya pulih seperti sedia kala. Memang tak ramai yang mampu bersabar dengan sikap saya ketika itu. Barangkali saya juga tak mampu bersabar. Tapi saya masih ingat dan hargai wajah-wajah yang cuba untuk menenangkan saya dan saya masih ingat dan hargai usaha-usaha mereka.

    Kemudian, saya dibawa berjumpa dengan sanak saudara terdekat, melihat wajah mereka, mendengar perkembangan mereka sepanjang saya di Mesir dan saya percaya ziarah seperti ini menghidupkan semula keinginan saya untuk meneruskan kehidupan.

    Alhamdulillah, berbekalkan semangat ini saya beranikan diri untuk meneruskan semula pengajian saya pada Mei 2008. Mujur, dalam takut-takut, ibu bapa saya beranikan juga hantar saya semula ke Mesir dan alhamdulillah, keyakinan mereka saya jaga baik-baik hingga hari ini.

    Ada dua perkara penting yang ingin saya sentuh di sini. Pertama, jangan anggap pesakit tidak sedar apa yang orang lain lakukan. Dia sedar. Cuma saat itu dia belum mampu untuk respon sebagaimana yang sepatutnya. Kedua, penting untuk hidupkan semula keinginannya untuk teruskan kehidupan. Tapi bukan dengan paksaan. Saat itu dia sangat sensitif. Bukan saat yang sesuai untuk bergurau. Kalau anda suruh dia terjun bangunan, dia sedia untuk lakukannya.

    Maaf kerana memanjangkan kalam di sini. Saya juga mengharapkan supaya kawan saudara pulih dengan segera dan dapat bersama-sama mengharungi sisa kehidupan dengan gelak tawa dan air mata sebagaimana biasa. Juga mengharapkan supaya isu kesihatan mental turut diambil berat sebagaimana caknanya kita terhadap sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan barah.

    Moga-moga bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih saudara Ramadhan Syakir.

    Tak sangka saudara sanggup berkongsi di sini.

    InsyaAllah bermanfaat.

    ReplyDelete
  4. Saya tak dapatkan khidmat psikiatri profesional dan berpada dengan rawatan yang saya telah lalui. Cuma artikel ini yang mula-mula memperkenalkan saya dengan penyakit ini:

    http://saifulislam.com/957

    ReplyDelete
  5. salam sahabat2...
    tumpang pertanyaan berkenaan masalah ini kepada saudara ramadhan awang yang telah melalui detik-detik sukar dalam hidup ini..adik saya pelajar wanita berusia 14 tahun baru sahaja mengalami masalah ini seminggu yang lepas..bagaimaana saudara ramadhan awang boleh sembuh?
    adakah dengan mengamalkan ubatan daripada doktor ataupun mengamalkan membacakan ruqyah..? saya mohon pencerahan kerana saya bergitu kesian melihat nasib adik mengalami masalah ini..adakah ada kesan sekiranya saya tidak memberikan ubat penenang seperti yang telah disarankan oleh doktor kerana takut adik saya hanya akan bergantung kepada pengambilan ubat tersebut sahaja...

    boleh hubungi saya sekiranya saudara berkesempatan..
    shafiq 0123829708
    (fcpamfouree1989@gmail.com)

    ReplyDelete
  6. salam sahabat2...
    tumpang pertanyaan berkenaan masalah ini kepada saudara ramadhan awang yang telah melalui detik-detik sukar dalam hidup ini..adik saya pelajar wanita berusia 14 tahun baru sahaja mengalami masalah ini seminggu yang lepas..bagaimaana saudara ramadhan awang boleh sembuh?
    adakah dengan mengamalkan ubatan daripada doktor ataupun mengamalkan membacakan ruqyah..? saya mohon pencerahan kerana saya bergitu kesian melihat nasib adik mengalami masalah ini..adakah ada kesan sekiranya saya tidak memberikan ubat penenang seperti yang telah disarankan oleh doktor kerana takut adik saya hanya akan bergantung kepada pengambilan ubat tersebut sahaja...

    boleh hubungi saya sekiranya saudara berkesempatan..
    shafiq 0123829708
    (fcpamfouree1989@gmail.com)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails