March 07, 2011

Bertunjang sebelum menjulang.


Permintaan untuk mengisi slot Kuliah Maghrib di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara membuatkan saya terfikir apa yang terbaik untuk disampaikan.

Kebetulan beberapa hari sebelumnya saya asyik sekali termenung memikirkan beberapa potong ayat Al-Quran. Ayat-ayat ini pernah saya renungkan dengan asyik juga ketika di Mesir. Entah kenapa baru-baru ini ayat-ayat tersebut datang lagi terapung-apung dalam benak fikiran.

Dalam surah Ibrahim, Allah berfirman kepada kita semua :

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). [ayat 24 & 25]

Sememangnya ayat-ayat ini menakjubkan. Setiap siri tadabbur yang saya lakukan menemukan saya dengan pelbagai kefahaman dan penjelasan baru. Sebut sahaja dari apa sudut sekalipun, ayat-ayat ini dengan cemerlangnya menjadi perbandingan yang terbaik untuk difahami. Subhanallah.

Pertama kali saya terpanggil dengan ayat-ayat ini ialah saat idealisme saya memuncak, saat mula-mula mencecah kaki di Mesir. Ketika itu semangat inkuiri dan mengejar impian tinggi menggunung, melangit tinggi pandangan saya. Hingga saya tidak sedar saya rupanya sering tidak berpijak di bumi yang nyata. Seorang rakan datang berkongsi cerita seorang tokoh dari Mesir, namanya Ir. Khayrat Shater. Tokoh hebat dengan pencapaian melangit, tapi kalam dan hatinya kukuh berpaut ke dasar. Serta merta saya tersentak, dan ayat-ayat tadi datang melintas di dalam minda.

Syed Qutb rahimahullah, menafsirkan Kalimah Tayyibah di dalam ayat sebagai kalimah Tauhid, kalimah Iman, dan kalimah Al-Quran. Juga dalam erti kata lain, ideologi, aliran pemikiran, dan risalah Islam. Katanya lagi, kalimah atau ideologi ini, meski tampak ia seolah-olah disesakkan atau dinaungi oleh pohon-pohon lain yang tampak lebih tinggi, ianya kekal seperti yang digambarkan di dalam ayat sepanjang masa : kukuh ia sehingga ke dasar, tinggi ia menjulang ke langit.

Ir Khayrat Shater disambut sebaik dibebaskan dari tahanan yang zalim

Peribadi Ir. Khayrat Shater, yang menjadi terjemahan hidup kepada ideologi tersebut, membuatkan saya termenung sendiri. Alangkah benar apa yang Allah ceritakan kepada kita di dalam ayat tersebut. Peribadi ini sehingga kini telah memberi 'buah' kepada ramai manusia, yang datang berteduh di bawah pohon besar dan rendang ini, pohon ideologi dan kefahaman Islam yang asli.

Semenjak itu, saya faham hakikat dan syarat jika ingin menjulang tinggi ke langit : anda haruslah bertunjang dengan akar yang jauh mencengkam ke dalam bumi, terlebih dahulu. Tanpa iman, faham, dan pemikiran yang benar dan asli, anda tidak akan larat sekalipun untuk pergi jauh ke langit. Apatah lagi memberi 'buah' sepanjang masa.

* * * *

Dalam Kuliah Maghrib yang saya sampaikan, sekali lagi ayat-ayat ini mempamerkan kuasanya, membuatkan saya terpegun sendiri.

Sebelum kuliah, saya sempat mencatat ringkas isi-isi yang akan saya sampaikan. Saya bercadang membawa para pendengar di masjid memahami makna ayat-ayat tersebut mengikut apa yang ditulis Syed Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal Al-Quran, dari sudut-sudut yang praktikal.
Umpamanya, dari sudut pendidikan dan pembentukan individu, haruslah dimulakan dengan menanam 'akar' hingga kukuh di dalam hati, barulah dia mampu menjadi seorang tokoh yang 'ranting'nya menjulang ke pelusuk langit. Hari ini ramai ibubapa mahu anaknya menjadi tokoh berkesan di dalam masyarakat dunia, tapi asas yang ditanam tidak selayaknya dengan apa yang dicita-citakan. Juga dari sudut pembentukan keluarga, dan masyarakat.

Ketika mengupas ayat tersebut dari sudut pembentukan masyarakat, saya didatangi ilham dari ayat-ayat tersebut. Dalam catatan ringkas saya, tidak sempat saya perincikan bagaimana harus saya fahamkan jemaah pendengar makna ayat-ayat ini dari sudut pembentukan masyarakat dan bangsa.

Namun ketika sekali lagi saya bacakan ayat tersebut kepada sidang hadirin, saya sendiri terbuka mata.

Gambaran pohon tersebut, jika direnung dari sudut ianya sebuah masyarakat yang membawa risalah Islam, amat menarik. Ia malah memahamkan kita bahawa, masyarakat tersebut, yang menjulang tinggi ke langit, memberi kesan, manfaat, dan 'buah' yang baik kepada penduduk dunia, setiap masa dan zaman, haruslah mempunyai 'asal' yang kukuh. Asal dan akarnya haruslah bertunjang jauh ke dalam dasar bumi.

Saya nyatakan, boleh kita fahami, asal dan akar yang dibawakan Allah sebagai perbandingan, mencakupi juga kefahaman dan kesedaran tentang sejarah dan identiti asal masyarakat tersebut, saat ia mula-mula mendakap risalah Islam. Saat bangsa dan masyarakat tersebut mula menjadikan risalah Islam sebagai sandaran hidup, maka 'pohon bangsa' ini mula tumbuh dan berkembang, seperti yang Allah gambarkan di dalam ayat.

Saya sebutkan kejadian sejarah pada jemaah yang mendengar. Umat Melayu di Melaka, saat mereka menerima dan meresapi Islam dalam hidup dan budaya mereka, bertunjang dengan aqidah yang diajar para Ulama' nusantara, kepada Raja dan rakyat, baharulah mereka itu diangkat Allah di mata dunia. Kejadian Melaka menjadi pelabuhan utama, Bahasa Melayu sebagai lingua franca, luasnya tanah Islam di nusantara, bukanlah kebetulan. Ianya ialah 'buah' yang keluar dengan izin Tuhannya, setelah bangsa tersebut menepati perbandingan yang digambarkan di dalam ayat-Nya.

Masha Allah.

Maka itu, sebelum menutup kuliah ringkas saya, saya ulang semula kefahaman saya pada ayat-ayat yang menakjubkan ini :

Perjuangan  mengembalikan bangsa dan masyarakat Islam di tanah Malaysia ini ke martabat yang sepatutnya, haruslah dimulakan dengan kembali mencipta dan menanam akar tunjangnya. Identiti, sejarah kemuliaan, dan jatidiri haruslah ditanam semula. Jika ini berjaya, maka bangsa ini telah memainkan peranannya menyuburkan semula pohon Kalimah Tayyibah di bumi nusantara.

Ketika itu Allah akan mengizinkan 'buah'nya keluar, memberi kesan ke seluruh dunia.


3 comments:

Related Posts with Thumbnails