February 13, 2011

Catatan Hari-Hari Rusuhan (4)

29. Selesai solat Maghrib dan Isya’ di hotel saya dan Akid bertolak pulang ke Hayy ‘Ashir. Tiada kedai yang masih terbuka di sepanjang jalan Abbas Aqqad. Sunyi dan gelap, walaupun jam baru sahaja 7.15 petang. Beberapa orang yang ingin pulang ke rumah menanti teksi dan tremco di bahu jalan penuh harapan.

30. Saya dan Akid menumpangkan seorang pelajar lelaki Malaysia dan sekumpulan keluarga Malaysia yang masih menanti kenderaan untuk pulang ke Hayy Sabi’, sebelum bertolak pulang ke Hayy Ashir dan tiba di sana jam 8.30 malam.

31. Pagi 29 Januari, lebih kurang jam 10.30 pagi, talian telefon kembali berfungsi. Berita menyiarkan rakaman bangunan Parti Demokratik Nasional (NDP/Hizb Watani) milik Mubarak di Tahrir terbakar. Balai-balai dan pondok polis di sekitar Kaherah rata-ratanya habis dibakar, dan beberapa penjara kehilangan banduan. Banduan-banduan terlepas dan dikhabarkan merancang untuk membuat onar malam tersebut. Jalan-jalan di Tahrir mula dipenuhi oleh kereta kebal milik tentera, dan trak-trak polis yang beratur di sepanjang jambatan di atas Sungai Nil habis dibakar dan ditolak masuk ke dalam sungai.

32. Pagi itu juga Mubarak mengumumkan pembubaran cabinet lama dan penubuhan cabinet baru dengan beberapa wajah baru. Mubarak bagaimanapun berkata beliau akan tetap dengan posisinya kerana ia adalah amanah yang rakyat serahkan kepadanya di hadapan Allah.

33. Kenyataan-kenyataan daripada Amerika dan EU mula disiarkan. Kenyataan yang melarang penggunaan kekerasan dan penumpahan darah ke atas rakyat, tidak berapa memberikan kesan. Di Suez dan Iskandariah angka yang terbunuh pada hari sebelumnya mencecah ke 30 orang.

34. Perintah berkurung yang baru diumumkan untuk hari tersebut. Waktu berkurung ditambah menjadikan ia bermula pada jam 4 petang dan berakhir jam 8 pagi. Masyarakat mula gelisah dan beramai-ramai segera membeli barang makanan dan keperluan. Kedai-kedai ‘isy dipenuhi barisan panjang pembeli.

35. Penduduk di ‘Ashir digemparkan dengan khabar terdapat sekumpulan samseng yang merancang untuk melakukan jenayah besar-besaran di sekitar ‘Ashir. Mereka dikhabarkan datang dari kawasan 4.5 kilo dan dari atas bukit di belakang kawasan ‘Ashir (mungkin di Tabba ‘Ashir). Semua masjid di setiap kawasan mula mengumumkan kepada masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal nyawa dan harta benda masing-masing.

36. Selepas maghrib di Masjid Walidain, dua orang daripada Ikhwan membuat pengumuman untuk menyusun tenaga penduduk khususnya orang muda untuk berkawal dan berjaga di tempat-tempat tertentu sepanjang malam. Keadaan yang sama dikhabarkan juga berlaku di kawasan-kawasan lain khususnya ‘Ashir, dipimpin oleh wakil-wakil Ikhwan di setiap tempat tersebut.

4 comments:

  1. Kalau ada rakaman selepas Maghrib Sabtu kelmarin boleh bagi tak? Syukran.

    ReplyDelete
  2. Ada, boleh email saya untuk saya reply dengan rakaman.

    ReplyDelete
  3. Bila nak sambung? Atau nak cerita pengalaman di Madinatul Hujjaj?

    ReplyDelete
  4. Teringin sangat nak sambung, tapi susah nak fokus sekarang ni.

    Pengalaman Madinatul Hujjaj memang sangat berharga, barangkali jika ada kesempatan untuk direnungkan, ada-lah nanti coretannya, inshaAllah.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails