March 16, 2011

Berpayung undang-undang sivil - apa solusinya?


Terselit di celah kelam-kabut bencana di Jepun, huru-hara protes di Bahrain dan Libya, serta bising-bising kemenangan Chong Wei ke atas Lin Dan dalam All England, satu isu nasional - isu alkitab atau bible dalam Bahasa Melayu.

Isu ini tidak sempat hangat seperti isu kalimah 'Allah' dahulu, walaupun kaitannya sangat rapat. Mungkin juga belum memuncak (saat tulisan ini ditulis). Kerajaan, demi memenuhi kehendak daripada golongan pemimpin agama Kristian, juga beberapa ahli politik Pakatan Rakyat, akhirnya memutuskan untuk membenarkan pengedaran Bible berbahasa Melayu tersebut, mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang.

Ada yang memandang isu ini sebagai isu sensitif (secara politik) lalu berdiam, ada yang memandang ia bukan isu besar dan isu agama, lalu merespon sekadarnya, dan ada juga yang memandang ia sebagai satu lagi mata rantai perjuangan kelompok Kristian dalam siri halus serangan mereka kepada rakyat Islam di Malaysia.

Apa pun, hakikat yang harus diterima, buat masa ini, situasi dan suasana kelihatan berpihak kepada mereka. Sebarang cubaan merawat adalah sukar, dan mungkin dipandang sinis oleh pihak-pihak lain.

*  *  *  *
Dalam Islam, merawat memang diakui kurang berkesan jika dibanding dengan mencegah.

Sebab itu, banyak lunas undang-undang di dalam Islam lebih bersifat mencegah, dan berat ke arah membendung sesuatu sebelum terjadi, berbanding menghukum benda yang sudahpun terjadi.

Saya berpendapat, dalam hal alkitab/Bible Bahasa Melayu ini, juga dalam isu-isu seperti isu kalimah Allah dan lain-lain isu antara agama, yang diangkat pihak Kristian melalui peruntukan undang-undang (penjajah), tindakan mencegah lebih tepat berbanding tindakan merawat. Ia mungkin mengambil masa yang panjang sedikit, tetapi pada saya, ia praktikal dan boleh difikirkan ke arah menjadikan ianya satu usaha yang mampu menundukkan semula pengaruh negatif pihak Kristian.

Langkah yang saya maksudkan ialah mewujudkan golongan peguam/pengamal undang-undang yang mempunyai jatidiri Muslim yang kukuh, yang mampu membawa ruh Islam dan menongkah arus liberal dan kristianisasi yang melanda melalui jalan undang-undang sivil di Malaysia.

*  *  *  *
Jalan ini telahpun diteroka awal dahulu oleh seorang tokoh pengamal undang-undang yang tidak asing, Tan Sri  Prof. Emeritus Ahmad Ibrahim. Datin Fatini Yaacob, yang pernah menemuramah beliau tentang kes Natrah, menulis :

"Ahmad Ibrahim antara saksi penting kisah hidup Natrah yang terus berjuang hingga ke akhir hayatnya dek pukulan undang-undang sivil Inggeris mengatasi undang-undang Islam semasa kes Natrah."

"Beliau bangkit memperjuangkan undang-undang Islam daripada tidak ada kepada ada, daripada tidak kemas  kepada kemas di Singapura dan di Malaysia sejak tahun 1950 sehingga ke akhir hayatnya pada tahun 1999."


Buku biografi Prof. Ahmad Ibrahim
Bekas Menteri Kabinet Singapura, Dr Goh Keng Swee berkata tentang Prof Ahmad Ibrahim :

"A man of tremendous breath and dept of intellect, whose ability as a legal draftsman is unsurpassed in this country".


Abd Qadir Audah, Mesir.
Juga di Mesir dan dunia Islam dahulu mengenali tokoh bernama 'Abdul Qadir 'Audah, tokoh yang menguasai kedua-dua cabang undang-undang konvensional dan undang-undang syariah, serta mengungguli perjuangan gerakan Islam khususnya di Mesir dalam menegakkan hak Islam dan orang-orang Islam.

*  *  *  *
Barangkali selepas ini, golongan lepasan SPM khususnya, juga para mahasiswa yang masih berpeluang meletakkan diri mereka di posisi ini, boleh mempertimbangkannya sepertimana mereka mempertimbangkan bidang kewangan Islam. Ya, mungkin tidak lumayan dan popular jika dibanding dengan bidang kewangan Islam, tapi keperluannya tidak kalah penting.

Semoga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada generasi baru Umat Islam demi mencegah dan menangkis serangan musuh-musuh Allah.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails