January 09, 2011

Sifir dalam hidup.


Di dalam pelajaran Matematik, unsur yang paling penting dalam menyelesaikan masalah dan kira-kira ialah formula dan jalan kira. Kalau di sekolah rendah tiada formula, tapi ada sifir. Ia lebih penting pada hakikatnya berbanding jawapan akhir.

Kesilapan dalam menentukan formula dan jalan kira, boleh membawa kepada kesilapan besar dalam jawapan akhir. Jika menjawab kertas Matematik subjektif, mungkin anda mampu mendapat markah pada jawapan jika ianya betul, namun anda akan kehilangan markah yang banyak jika jalan kira dan formula yang digunakan salah. Kebiasaannya, disebabkan salah kira, kesemuanya menjadi salah, dan tiada langsung markah diperolehi.

Sedar atau tidak, dan mahu atau tidak, kehidupan seorang manusia sentiasa berlegar pada menentukan 'jalan kira' dan sifir yang betul. Ia mungkin tampak lebih jelas saat menentukan perkara yang memberi kesan yang besar dalam kehidupan. Dan hakikat ini munasabah pada semua peringkat kehidupan, dan semua lapisan masyarakat.

* * *

Setelah melalui beberapa pengalaman peribadi, dan melakukan penelitian serta pemerhatian terhadap apa yang saya hadapi dan lalui, saya mendapati rupa-rupanya, ada dua aliran 'jalan kira' atau sifir dalam kehidupan. Sifir arus perdana, dan sifir yang saya gelarkan 'the road not taken', atau sifir ghuraba'.

Sebagai contoh mudah; majoriti pelajar lepasan SPM yang mendapat straight A's akan bercadang atau akan dicadangkan supaya melanjutkan pelajaran di dalam bidang-bidang profesional di negara-negara maju. Ini ialah jawapan akhir bagi sifir arus perdana ibubapa, guru, dan masyarakat di zaman ini. Sifir mereka yang menjadi arus perdana ini tidak keterlaluan jika saya nyatakan, bahawa ia terbina atas asas materialisme, prospek kerjaya, dan status di dalam masyarakat kelak.

Saya, dengan sokongan beberapa pihak termasuk ibubapa, tidak menggunapakai sifir arus perdana ini dalam menentukan hal ini. 'Jawapan akhir' atau keputusan saya untuk ke Mesir bagi menyambung pelajaran di dalam Kuliah Syariah di Universiti Al-Azhar, adalah berasaskan sifir kedua yang saya nyatakan, iaitu sifir 'the road not taken', atau sifir ghuraba'. Apa yang menjadi asas sifir tersebut tidak mampu saya nyatakan di ruang yang terbatas ini.

Sifir arus perdana di dalam masyarakat amat penting. Masyarakat menentukan 'jawapan akhir' bagi setiap urusan kehidupan mereka berdasarkan sifir arus perdana ini. Kerana itu, musuh Islam cuba berhempas pulas melalui pelbagai cara, khususnya serangan pemikiran, bagi membolehkan mereka akhirnya yang menetapkan sifir arus perdana bagi masyarakat Islam.

Hari ini, di dalam masyarakat, kesilapan sifir arus perdana ini bukan lagi perkara yang tersorok. Lihat sahaja pada komen masyarakat ketika akhbar tanah air melaporkan kes perkahwinan remaja 14 tahun, Siti Maryam Mahmood dengan Abd Manan Othman. Kecaman hebat dilempar kepada pasangan ini dan keluarga mereka kerana berkahwin awal. Sifir arus perdana yang dipengaruhi pemikiran barat menjadikan perbuatan mereka kelihatan seperti jenayah, dan gejala 'couple' dan percintaan di luar batas syariah dilihat hanya sebagai perbuatan biasa bagi remaja di umur sebegitu.

Sifir arus perdana masyarakat juga kelihatan pincang dalam masalah politik. Pengaruh kuat liberalisme yang datang dari barat menjadikan masyarakat meletakkan 'jawapan akhir' bagi masalah pemerintahan dan politik di tanah air kita dengan menyamaratakan dan mencairkan ideologi dan prinsip-prinsip tertentu demi memenangkan pihak tertentu, tanpa mengambil kira kesan jangka masa panjang dan nasib yang bakal diterima oleh agama Islam di tanah air. Idea seperti membina kesepakatan bangsa, memecahkan blok politik kepartian, demi mendaulatkan agama Islam tidak dikira sebagai 'jawapan akhir', kerana ianya sifir yang tidak difahami lagi oleh majoriti masyarakat. Sifir 'the road not taken'.
Oleh itu sifir kami berbeza, kami tidak lihat kemenangan Islam dengan semata-mata PAS mengalahkan UMNO, dengan apa suasana sekali pun. Kemenangan Pakatan Rakyat tidak semestinya membawa kita kepada pemerintahan Islam.
-Ustaz Abdullah Zaik, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia

* * *

Apa yang berlaku hari ini, sudahpun berlaku di zaman Rasulullah. Di zaman baginda s.a.w, antara tugas yang baginda jalankan ialah menetapkan sifir arus perdana dalam umat muslimin, dan juga masyarakat majmuk Madinah, mengikut apa yang Allah turunkan di dalam Al-Quran. Demi kebahagiaan di dunia, juga di akhirat.

Cara yang baginda gunakan antaranya ialah mengajak secara hikmah ke arah penyamaan 'jalan kira' dan sifir tentang tauhid dan aqidah. Perhatikan ayat Allah ini :
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak mengabdikan diri melainkan kepada Allah, dan kita tidak menyekutukan-Nya (menyekutukan Allah) dengan sesuatu; dan (juga) sebahagian daripada kita tidak menjadikan sebahagian yang lain sebagai ‘arbab’ (tuhan-tuhan) selain Allah.”
-Surah Ali 'Imran : 64

As-Syahid Hassan Al-Banna, dalam menjawab kekeliruan masyarakat terhadap seruan dakwah Ikhwan Al-Muslimin, memulakan risalah jawapannya (Ke Arah Mana Kita Menyeru Manusia) dengan mengajak para masyarakat, dan semua yang membaca agar menyatukan dan memperbetulkan 'miqyas' atau kayu ukur, juga saya katakan sifir berfikir, dengan menetapkannya mengikut apa yang termaktub di dalam Al-Quran, sebelum menceritakan pelbagai 'jawapan akhir' tentang dakwah Ikhwan. Jika para pembaca risalah tersebut tidak memahami risalahnya menggunakan sifir yang betul, maka mereka akan memperolehi 'jawapan akhir' yang salah, dan akan menentang dakwah Islam yang diseru oleh Ikhwan.

* * *

Coretan panjang saya tentang sifir dan jalan kira hanya demi satu pengajaran :

Bagi mereka yang mempunyai kefahaman Islam dalam kehidupan, pelbagai urusan kehidupan mereka akan terbina atas sifir 'the road not taken'/sifir ghuraba'. Sesuai dengan status Islam sendiri pada zaman ini.
Dan mereka perlu bersemuka dengan sifir arus perdana dalam melaksanakan urusan mereka. Terdapat kemungkinan pertembungan ini akan membawa kepada kekecewaan dan kegagalan mempertahankan sifir mereka dengan baik, kerana cara menunjukkan jalan kira/sifir tersebut tidak betul dan kemas.

Ambillah panduan dari kaedah Nabi s.a.w yang penuh hikmah dan rasional membentangkan sifir Islam kepada ahli kitab. 

Seperti jalan kira di dalam jawapan Matematik harus tepat secara ilmiah, dan kemas juga tersusun secara zahiriah, maka begitulah harusnya sifir 'the road not taken'/ghuraba' dipersembahkan, hingga akhirnya mereka yang menganuti sifir arus perdana jadi terbuka mata dan hati untuk menerima.

* * *

Ulama' mujtahid di setiap zaman memahami bahawa di sisi Allah, yang benar (as-sawaab) hanya satu. Di hari akhirat nanti, seluruh umat manusia akan mengetahui.

Semoga kita sentiasa berkira-kira dengan satu sifir yang betul itu, hingga kita menempuh satu demi satu peristiwa kehidupan, atas jalan yang lurus.




12 comments:

  1. Macam pelik pula perkataan 'menyengutukan-Nya', memang ada ke? Selalunya untuk kata akar 'sekutu', akan jadi 'mempersekutukan'.

    Selamat menulis sifir yang betul dalam kertas imtihan esok. حظا سعيدا

    ReplyDelete
  2. sambung; atau 'menyekutukan' maksudnya menganggap sbg sekutu (bersekutu). Tak tahulah kalau memang ada ejaan 'menyengutukan'.
    Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Benar, perkataan yang tepat ialah 'menyekutukan'.

    Inilah akibat 'copy & paste' tanpa pemeriksaan teliti.

    Terima kasih atas teguran tatabahasa (pula).

    ReplyDelete
  5. Miqyas,mizan thdp sesuatu perkara,macam mana kita nk dptkn satu perkiraan yang mengikut mizan yang sebenar?Bagaimana mizan yang sebenar itu?

    ReplyDelete
  6. Gunakan kayu ukur yang betul - Al Quran & As Sunnah, serta contoh dari salaf terdahulu.

    Jika ikut Tarbiyyah Islamiyyah, inilah yang dititikberatkan.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  7. Syukran Dr Azrul.

    Segan sasterawan Mansura datang menjenguk.

    ReplyDelete
  8. Mantap...uslub dan bahasa yg digunakan mudah difahami..syukran..

    ReplyDelete
  9. kebanyakan yang membaca sudah saling memamahi keplebagaian sifir

    entah

    ReplyDelete
  10. macamana menghadapi pertembungan 2 sifir ; sifir masyarakat dan sifir ghurabba'?

    haha.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails