January 06, 2011

Bukan manusia sahaja hilang nilai.

Di puncak kubu Salahuddin, berlatarbelakangkan Masjid Sultan Hassan.

Lenguh bersila, saya melunjurkan kaki seketika. Menghilangkan kantuk yang mula hinggap setelah beberapa jam larut dalam telaah.

Suasana masjid Al-Azhar agak tenang hari itu. Tidak ramai pelajar yang datang mengulangkaji, mungkin belum musim kemuncaknya. Suhu yang nyaman, dan angin dingin yang bertiup sekali-sekala menemani saya dan kitab Tauhid tahun 2 Syariah, yang belum cukup kemas digarap.

Dan seperti hari-hari yang lain di Masjid Al-Azhar, pelancong asing berbagai jenis tidak henti berkunjung, bertali arus. Dengan kamera di tangan, sehelai kain melilit kepala bagi yang perempuan, dan seorang tukang karut Mesir menunjuk jalan, mereka berpusing dan berlegar di sekitar kawasan dalam masjid tua tersebut. Rekabentuknya yang memiliki 'courtyard' marmar putih yang luas di tengah-tengah, dikelilingi oleh koridor santai berkarpet, menjadikan kunjungan para pelancong asing tersebut seolah-olah satu pertunjukan. Para pelajar yang bersila menelaah di koridor yang mengelilingi selalunya akan memerhati lagak bermacam ragam pelancong-pelancong ini, bersama tukang karut mereka, yang berlegar-legar di tengah 'courtyard' tersebut.

Saya juga tidak terkecuali.

Seringkali bila begini, saya terfikir; sampai bila manusia akan berkunjung ke tempat mulia begini untuk mengagumi struktur bangunan dan sejarah pembinaannya sahaja?

Perkara yang sama berlaku di hampir kesemua masjid yang menjadi tumpuan pelancong di Kaherah. Sesetengahnya malah lebih teruk. Hampir-hampir saja menjadi tidak ubah seperti sebuah bangunan antik kosong cantik berhias, tanpa sebarang nilai.


Kata setengah orang, ini balasan atas niat mereka yang mendirikan masjid itu sendiri. Ada benarnya. Umpamanya Masjid Ali Basha di puncak kubu Salahuddin, Muqattam. Masjid yang didirikan atas robohan masjid lain sebelum itu, dikatakan terbina hanya kerana ingin menzahirkan kegagahan pemerintahan Uthmaniyyah di Mesir. Hari ini, berbondong-bondong pelancong datang mengagumi kemewahan dan keindahan binaan yang sarat dengan emas dan berbagai bahan binaan tak terkira mahalnya. Keseluruhan dewan solat utamanya hanya dipenuhi hingar-bingar suara pelancong dan pemandu mereka. Hanya 2 saf pendek di depan dikhususkan untuk sesiapa yang ingin menunaikan solat. Jujur saya sendiri sudah tidak merasai ruh rumah Allah di masjid ini.

Masjid Sultan Hassan, yang terletak berdampingan dengan kawasan kubu Salahuddin, tidak jauh bezanya. Masjid dengan binaan agam yang memukau sesiapa pun yang berkunjung ini pernah menjadi pusat pembelajaran yang aktif bagi 4 mazhab utama dalam Islam. Sehingga hari ini, kamar-kamar pengajian dengan pintu yang termaktub padanya nama setiap mazhab masih wujud. Sultan Hassan yang memerintahkan pembinaan masjid ini satu masa dahulu, dikatakan seorang Sultan yang amat mencintai ilmu dan ulama'. Hari ini, bagaimanapun, masjid ini dikomersialkan menjadi tempat tumpuan pelancong. Meskipun pada hari ini, pihak Masjid menyediakan slot 'berbicara bersama Imam' dalam bahasa inggeris, ternyata yang masih memaut hati pengunjung ialah lampu-lampu antik yang bergantungan dari bumbung masjid yang tinggi.

Pengunjung yang teliti akan mendapati, di setiap masjid-masjid 'komersial' ini, akan terpampang sebuah papan maklumat tentang sejarah pembinaan dan rekabentuk masjid tersebut. Tertera di bawah semua maklumat ini, nama pihak yang memberi tajaan : Rotary Club.

Saya fikir-fikirkan saat membacanya. Tidak keterlaluan jika saya katakan ada usaha halus dari pihak Rotary Club untuk akhirnya menukar fungsi dan ruh asal masjid ini menjadi satu tempat yang dikunjungi untuk dikagumi binaannya, dan bukan dikunjungi untuk mencari Tuhan dan kebenaran.

Alhamdulillah, hari ini, walau tidak seperti dulu saat ia menjadi jantung hati umat Islam seluruh dunia, masjid Al-Azhar tidak seteruk masjid-masjid bersejarah yang lain. Masih ada yang berkunjung kerana dahagakan ilmu-ilmu turath yang masih diajar di kamar-kamar di sisi masjid, sungguhpun tidak ramai. Masih ada yang berkunjung untuk bersama menelaah pelajaran, dan memperbetulkan bacaan Al-Quran di hadapan sheikh.

Saya menghela nafas panjang mengenangkan masa depan masjid ini. Seolah-olah ia bakal menjadi lebih mengecewakan dan mendukacitakan.

Tetapi harapan pada masa depan Islam yang gemilang hadir mengubat.

Saya mengimpi kecil hari itu sebelum melangkah pulang : semoga saat keagungan dan kegemilangan sebenar semua masjid ini kembali, saya masih hidup untuk menyaksikannya.

Insha Allah.

7 comments:

  1. Kalau boleh justify margins pada paragraph akan nampak lebih kemas. Jzk

    ReplyDelete
  2. Cadangan yang baik terima kasih.

    Tapi bukan lebih sukar dibaca kalau begitu?

    ReplyDelete
  3. Sekadar cadangan saja.

    Kalaulah ia sukar dibaca, sudah lama orang meninggalkan baca buku.

    ReplyDelete
  4. Rupanya memang ada beza penerbitan di blog dan penerbitan buku.

    Kebanyakan blog/web tidak menitikberatkan 'wording alignment', dan membiarkan tulisan dalam keadaan asal iaitu 'left-aligned' bagi tulisan roman, dan 'right-aligned' bagi tulisan arab.

    Tapi memang bagi penerbitan buku, margin bagi tulisan dalam satu muka surat harus mengikut standard, dan standard kebanyakan penerbit terkemuka ialah 'justified'. Ukuran margin yang sama di kedua-dua sisi kanan dan kiri.

    Jarang ada pembaca menegur sudut ini. Terima kasih membuka mata.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih juga atas perkongsian dan maklumat.
    Mungkin ada sesetengah pembaca yang seperti saya lebih selesa membaca apabila perenggan disusun dengan kemas.

    Penulisan yang baik dan boleh pergi lebih jauh. Tahniah.

    ReplyDelete
  6. Baru perasan sebenarnya kalau guna 'justified text alignment' memang lagi susah nak baca, nampak macam cool je margins sama, sebenarnya dia creates eye fatigue. Tapi 'justified' efektif digunakan untuk teks yang panjang.

    Kebanyakan blogger guna 'left-aligned', tapi ada juga yang guna 'justified' seperti Dr Faisal Tehrani.

    Jadi, nak guna justified atau left-alignment, there's no point arguing over this one, terpulang pada individu. Bak kata designer Peter Bilak, “Right and wrong do not exist in graphic design. There is only effective and non-effective communication.”

    Minta maaf byk komen dan menyusahkan pula. My flaw. Jzkk

    ReplyDelete
  7. Demikian komen seorang designer.

    Harap-harapnya dalam apa cara pun tulisan ini terformat, makna dan mesejnya sampai.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails