gambar oleh : Syed Ahmad Israa'
Ramai yang berpandangan sistem peperiksaan satu sistem yang negatif. Saya juga termasuk di kalangan mereka yang berpandangan sedemikian, seperti juga Thaaqib. Kalau mahu dikeluh-keluhkan memang banyak sekali yang mampu dikeluhkan tentang sistem ini.
Tapi kali ini mungkin saya cuba ambil angin baru. Berhadapan dengan realiti, dan melihat cahaya mentari yang bersinar, di sebalik awan mendung yang menutupi.
Saya tidak pasti bagaimana keadaannya di tempat-tempat lain, tetapi di Mesir, mungkin bagi saya, saat-saat peperiksaan adalah saat yang pasti saya hargai. Saat persiapan menghadapinya, dan juga saat tiba hari menjawab peperiksaan.
Secara peribadi, saya tidak mampu menafikan, bahawa hanya pada saat menjelang musim peperiksaan mampu saya membaca dengan penuh teliti dan menyeluruh. Mungkin dahulu saat di bangku persekolahan banyak sekali medium bantuan untuk memahami keseluruhan pelajaran, tetapi sistem di Al-Azhar lebih menuntut untuk para pelajarnya bersusah-payah dan berdikari. (Perkara ini boleh sahaja dikeluhkan, tapi anggaplah ia satu pengalaman dalam liku hidup, seperti juga para ulama’-ulama’ Islam terdahulu yang pernah merasai keadaan yang sama.). Saya belajar menghargai (memberi harga) keadaan ini.


