January 29, 2010

Lagenda?

gambar oleh : Syed Ahmad Israa'

Ramai yang berpandangan sistem peperiksaan satu sistem yang negatif. Saya juga termasuk di kalangan mereka yang berpandangan sedemikian, seperti juga Thaaqib. Kalau mahu dikeluh-keluhkan memang banyak sekali yang mampu dikeluhkan tentang sistem ini.

Tapi kali ini mungkin saya cuba ambil angin baru. Berhadapan dengan realiti, dan melihat cahaya mentari yang bersinar, di sebalik awan mendung yang menutupi.

Saya tidak pasti bagaimana keadaannya di tempat-tempat lain, tetapi di Mesir, mungkin bagi saya, saat-saat peperiksaan adalah saat yang pasti saya hargai. Saat persiapan menghadapinya, dan juga saat tiba hari menjawab peperiksaan.

Secara peribadi, saya tidak mampu menafikan, bahawa hanya pada saat menjelang musim peperiksaan mampu saya membaca dengan penuh teliti dan menyeluruh. Mungkin dahulu saat di bangku persekolahan banyak sekali medium bantuan untuk memahami keseluruhan pelajaran, tetapi sistem di Al-Azhar lebih menuntut untuk para pelajarnya bersusah-payah dan berdikari. (Perkara ini boleh sahaja dikeluhkan, tapi anggaplah ia satu pengalaman dalam liku hidup, seperti juga para ulama’-ulama’ Islam terdahulu yang pernah merasai keadaan yang sama.). Saya belajar menghargai (memberi harga) keadaan ini.



Para pelajar Al-Azhar mengulangkaji pelajaran di bawah teduh Masjid Al-Azhar
gambar oleh : Syed Ahmad Israa'

Menjelang penghujung bulan Januari, peperiksaan musim sejuk saya juga menuju ke penghujungnya. Kertas terakhir saya, Tarikh Tasyri’ Islami (Sejarah perundangan Islam), bakal saya hadapi pada Ahad, 31 Januari 2010.

Alhamdulillah, disebabkan oleh peperiksaan yang perlu saya jawab, saya tabahkan juga hati membaca semula keseluruhan isi buku kuliah bagi subjek ini. Lebih kurang 300 muka surat saya habiskan pembacaannya sekali lagi, demi memahami semula gambaran keseluruhan bagi subjek ini, dan mungkin, mengambil beberapa isi yang terlepas dari pandangan saya pada pembacaan saya sebelum ini.

Perasaan sedikit terpaksa yang wujud pada awalnya, berubah ansur-ansur menjadi perasaan asyik dan cinta dengan isi kandungan buku ini.

Ramai pelajar di sini menganggapnya sebagai subjek ‘pembunuh’ bagi semester 1, Tahun 1, Kuliah Syariah. Namun bagi saya, sejarah perundangan Islam adalah satu subjek dan ilmu yang luar biasa menariknya.

Sebagai contoh, antara yang menjadi topik pembahasan dalam subjek ini ialah mengenai kemunculan mazhab-mazhab Fiqh yang utama. Selain dari mazhab-mazhab yang telah pupus ditelan zaman (seperti mazhab Sufyan at-Thauri, mazhab Al-Auzai’, mazhab Hassan Al-Basri, dan lain-lain), yang dihurai panjang lebar tentulah empat mazhab Fiqh yang utama. Segala yang berkaitan disentuh, terutamanya tentang peribadi dan sejarah akademik tokoh bagi keempat-empat mazhab ini.

Kata seorang ulama’ : “Hikayat orang salih, lebih aku sukai dari Fiqh”.

Jika anda pernah membaca tentang hikayat, atau sejarah hidup, keempat-empat tokoh mazhab ini, sememangnya anda akan mendapati kata ulama’ ini satu kata yang teramat benar.

gambar oleh : Syed Ahmad Israa'

Mempelajari Fiqh Syafii’, walau selengkap dan sedalam mana pun, takkan menyamai perasaan yang lahir saat anda membaca sejarah hidup Imam Syafii sendiri, dengan sedalam-dalamnya.
Namun menjadi satu kesilapan jika pembacaan dan pemahaman kita terhadap sejarah hidup mereka terbatas kepada aspek-aspek tertentu. Kebanyakan orang yang membaca kisah hidup orang-orang Salih, membacanya seperti membaca sebuah kisah lagenda dan hikayat yang tidak berpijak di bumi yang nyata. Tidak dinafikan, banyak sekali penulisan kisah hidup mereka ini sebenarnya ditulis atas dasar memenangkan dan mengagungkan mazhab-mazhab mereka. Tidak hairan mengapa kisah-kisah mereka ini seolah-olah satu kisah epik yang tak mungkin lagi berulang di zaman millennium.

Saat saya membaca sejarah hidup dan akademik para tokoh-tokoh ini, saya cuba membuang semua unsur-unsur kekaguman berbentuk lagenda. Saya cuba membacanya dengan bacaan yang lebih kritikal dan objektif, juga dengan mengaitkan zaman mereka hidup dengan segala yang berlaku di zaman itu, termasuklah kacau-bilau politik dan masalah-masalah lain yang wujud.

Hakikatnya, mereka juga melalui liku-liku hidup seperti kita. Mereka melalui fasa kanak-kanak yang baru hendak mengenal dunia,  fasa keremajaan yang penuh cabaran, dan fasa tua yang meletihkan. Mereka juga terpaksa berhadapan dengan kesulitan ekonomi, kerenah ahli politik dan pemerintah, dan pelbagai lagi aspek-aspek hidup yang perlu ditempuhi semua manusia lain.

Jika begini anda cuba memahami hidup mereka, kisah hidup mereka menjadi lebih realistik dan lebih manusiawi.

Anda akan dapati, bagi setiap tokoh-tokoh ini, mereka mempunyai tabiat dan perangai mereka yang tersendiri dan unik. Seperti Imam Abu Hanifah yang amat menggemari perbincangan dan tidak gemar kepada cara pembelajaran satu hala. Dan Imam Syafii’ yang amat gemar berpindah-pindah tempat, dan mengembara ke serata tempat, bagi meluaskan pengalaman hidupnya. Juga Imam Malik yang mengambil sikap ‘eksklusif’ dan amat teliti dalam urusan ilmu yang ingin dipelajarinya dan tempat tinggalnya (imam Malik tidak pernah tinggal di tempat lain selain di Madinah). Dan imam Ahmad ibn Hanbal yang tidak kisah ke merata tempat mengusung kitab di belakang sehingga ke umur tuanya.

Jika anda benar-benar peka, anda mungkin akan mendapati sebenarnya terdapat banyak sekali persamaan dan kecenderungan dalam diri kita dengan peribadi para Imam ini. Mungkin kita sendiri, atau mungkin pada rakan-rakan kita.

Tinggal lagi yang perlu kita bina dalam diri kita ialah ‘dzatiyyah’ (kehendak diri) yang kuat dan keberanian melakukan sesuatu yang di luar lingkungan kebiasaan kita. Inilah yang para tokoh ini telah tunjukkan dan lakukan. Selepas itu tidak mustahil anda akan menjumpai As-Syafii junior di dalam diri anda, atau mungkin Abu Hanifah junior, dan sebagainya.

*  Maka dengan itu juga, saya ingin mengambil semangat Imam Syafii’ mengembara melihat masyarakat dunia bagi meluaskan sudut pandang saya. Insya Allah,jika berkesempatan. Saya kira saya ada persamaan yang besar di situ.

8 comments:

  1. interesting.thx for sharing

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  3. berpijak semula pada realiti..

    justeru zaman epik tabi' tabi'in,fikrah mereka lebih cenderung pada apa?

    kerana risau melihat fikrah zaman waqi' di serata pelusuk dunia,banyak juga mencampur aduk segala -ism mcm sekularism dsb

    ReplyDelete
  4. Fikrah mereka ialah ISLAM.

    Dan tiada lain yang mereka kenal selainnya.

    Dan itulah fikrah yang betul sekarang.

    ISLAM semata-mata.

    ReplyDelete
  5. salam hormat saudara,

    boleh bagi satu contoh yang jelas dimana sekularism itu fikrahnya ISLAM semata-mata?

    ReplyDelete
  6. Salah faham ni.

    Yang saya maksudkan fikrah mereka ialah Islam semata-mata ialah para tabi' tabi'in tu.

    Islam yang lengkap menyeluruh macam yang Imam Al-Banna gambarkan dalam Usul 1, dalam tulisannya 20 Usul untuk memahami Islam.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails