Tajuk di atas bukanlah tajuk entri saya. Ia bahkan merupakan tajuk sebuah kolum di salah sebuah akhbar Mesir, Ad-Dustur,pada 6 November 2010. Kolum tersebut diisi tulisan Ayman Sharaf, seorang pemerhati politik berideologi sosialis pada kiraan saya. Saya tertarik untuk berkongsi apakah isi tulisannya, dengan tajuk seberani itu.
- Secara umum, tulisannya ialah satu pandangan kritis dan logik kononnya terhadap slogan yang digunapakai Ikhwan Muslimin di Mesir di dalam pilihanraya, iaitu : “Islam jalan penyelesaian”.
- Ayman Sharaf berpandangan bahawa slogan ini tidak lain tidak bukan hanya satu lagi slogan politik semata, sama seperti apa yang dilaungkan parti lain seperti Parti Demokrasi Nasional (di bawah teraju si tua Mubarak) iaitu “Hanya kerana kamu”. Semua slogan ini pada pandangannya hanyalah permainan kata demi mempesonakan pemikiran para pengundi, agar mereka teralih dari meminta dan berbicara tentang isu sebenar mereka, seperti masalah kerenah pemerintahan dan masalah ekonomi.
- Ayman Sharaf juga mempersoalkan secara logik kononnya : Tidakkah penggunaan slogan “Islam jalan penyelesaian” oleh Ikhwan menunjukkan bahawa pihak kristian juga boleh menggunakan slogan “Kristian ialah penyelesaian”, atau mungkin diubah sedikit seperti “Kasih sayang ialah penyelesaian” contohnya? Dan tidakkah penggunaan slogan Ikhwan tersebut menunjukkan bahawa pihak lain berhak menggunakan slogan seperti “Islam bukanlah jalan penyelesaian”?
- Apa logiknya? Ulas beliau : Bukankah setelah begitu banyak pengisian rohani dan penyampaian di masjid-masjid, gereja-gereja, dan berpuluh saluran media, ternyata akhlak manusia dan tahap penghayatan agama rakyat Mesir masih di tahap yang teruk? Biarlah begitu banyak sekali pun suasana keagamaan yang terzahir di Mesir, bukankah Mesir masih tetap kekal dalam kerosakan sistemnya dan menempati antara tempat tercorot di dunia?
- Ayman meneruskan hujahnya dengan menyatakan bahawa secara logiknya manusia takkan mampu berakhlak mulia jika kemahuan dan keperluan asasnya tidak dipenuhi. Katanya sejarah Mesir sendiri telah menyaksikan bagaimana apabila kebuluran dan bencana alam melanda rakyatnya, segala akhlak dan nilai agama jatuh merudum, bahkan adakalanya terus hilang. Akhlak bergantung kepada kecukupan ekonomi dan sara diri, jika tidak dipenuhi maka berleluasalah kefasadan, tambahnya lagi.
- Namun kata Ayman tentulah mengangkat slogan “Islam bukan jalan penyelesaian” satu tindakan yang amat susah di dalam iklim politik Mesir kini memandangkan ia terlalu baru. Walau bagaimanapun susahnya menerima hakikat ini, ia adalah satu yang perlu, bahkan mandatori, untuk difikirkan, jika Mesir mahu membina semula kedudukannya di persada dunia sebagai negara membangun, dan bukannya sebuah negara yang berkecamuk dalamannya dan merudum prestasi luarannya.
- Ayman akhirnya menyimpulkan : segala slogan keagamaan di musim pilihanraya atau bukan musimnya hanyalah satu tanda kemuflisan idea dan kelemahan mencari kaedah penyelesaian dan jalan keluar daripada kemelut yang kini sedang dihadapi oleh Mesir.
Saya bercadang pada asalnya mahu menulis sebuah ulasan terhadap tulisan ini. Saya berkira pada awalnya banyak sudut yang boleh diulas dari kacamata Islam yang sepatutnya.
Namun akhirnya saya membuat keputusan bahawa semua kekalutan pemikiran golongan sebegini ialah satu gejala yang sudahpun masyhur, dan ia hanya mampu dihadapi dengan amal dan tindakan dari golongan muslim yang memahami hakikat Islam ini dan beramal untuk menterjemahkannya ke dalam dunia nyata.
Jika seberani ini Ayman Sharaf berani mengambil risiko menyatakan pendapatnya melalui tulisan, maka golongan pendakwah haruslah lebih berani dan cergas menyatakan jawapannya dengan jawapan yang paling kuat dan nyata : lisan al-hal (tindakan dan perbuatan).
Semoga Allah memberi kita kekuatan dan azam yang tinggi dalam memikul tanggungjawab menjadi 'Ustaz' kepada dunia.
No comments:
Post a Comment