October 11, 2010

Lebih lembu dari lembu.


Kebetulan 2-3 hari kebelakangan ini saya banyak mengalami peristiwa yang membuat saya berfikir.

Rasanya elok saya kongsikan, mengambil sempena genapnya setahun saya berada di Mesir pada 3 oktober yang lalu.

Lewat malam semalam, ketika pulang dari Sayyeda Zainab, saya dan seorang teman mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Pilihan yang paling mudah dan tidak meletihkan, tapi agak mahal. Tambang biasa dari Sayyeda Zainab ke Hayy 'Ashir boleh mencecah LE 30.

Pemandu teksi yang kami naiki bersetuju membawa kami ke Hayy 'Ashir. Dia ditemani isterinya yang duduk di bahagian hadapan.

Sepanjang perjalanan, tidak henti-henti pemandu tersebut dan isterinya bertanya kepada kami tentang Malaysia, dan apa pandangan kami tentang Mesir. Kepenatan menyebabkan saya hanya berkata yang baik-baik sahaja tentang Mesir. "Helwa, kuwaiyyisiin". Tapi sempat juga saya selitkan soalan, "Fi kulli makaan mauguud naas kuwaiyyisiin we naas wehsyiin, musy keda?" (Mana-mana tempat pun ada orang yang baik dan ada orang yang jahat kan?)

Isterinya menjawab : "Masriyyin aslan humu naas waduud" (Orang Mesir asalnya orang yang penyayang & lembut hati.)

Saya iyakan kata-katanya. Dalam hati terdetik perasaan terharu. Saya faham kenapa dia berkata begitu.

* * *

Petang tadi, saya pulang dari kuliah di Al-Azhar. Seperti biasa menaiki bas usang nombor 80 ke Hayy 'Ashir, dari stesen Darrasah. Alhamdulillah matahari sudah tidak berapa terik, tidak seperti semasa kemuncak musim panas dahulu.

Ditakdirkan salah masa (wrong timing kata orang putih), bas yang saya naiki dipenuhi penumpang hingga terlalu sesak dan sendat. Saya sendiri berdiri di tepi tangga bas sambil tangan memegang beg terhulur keluar, hingga hampir-hampir dilanggar cermin sisi kereta-kereta yang lalu bersebelahan. Hampir kesemua penumpang bas tersebut ialah pelajar-pelajar Al-Azhar, seperti saya, yang baru selesai kelas, dan ingin pulang ke rumah masing-masing.

Puas diasak, dihimpit, dan bergelumang dengan pelbagai kerenah dan bau, di pertengahan perjalanan, saya berfikir-fikir. Setiap tahun beribu-ribu pelajar mendaftar di Al-Azhar, dan setiap tahun juga beribu-ribu pelajar Al-Azhar yang lama meneruskan pengajian mereka. Kesemuanya menetap di kawasan yang sama, dan ke kuliah di tempat yang sama. Namun setakat pengalaman setahun saya di Mesir, bilangan bas yang wujud antara tempat tinggal pelajar dan kuliah ini tidak melebihi 10 buah. Saya malahan sudah boleh mengenali kesemua pemandu dan konduktornya.

Tak pernahkah pihak berwajib terfikir untuk menyelesaikan atau paling tidak menjenguk keadaan para pelajar dan keadaan pengangkutan ke universiti Islam yang tertua dan terulung ini?

* * *

Setahun di Mesir dan keratan-keratan rentas kehidupan rakyatnya, yang saya kongsikan membawa kita kepada satu penelitian.

Sememangnya, orang Mesir ialah bangsa yang asalnya sebuah bangsa yang terhormat, beradab, berbudi, bermaruah, berprinsip, dan bersungguh.
Kini semua sifat tersebut tiada.

Kerana apa?
Kerana bangsa Mesir saat ini berada dalam lingkungan sebuah negara yang budaya pimpinannya tidak langsung membangunkan semula potensi kemanusiaan mereka. Rebah tersungkur lalu dibiarkan.
Budaya kemunduran potensi dan sumber daya manusia di Mesir ini akhirnya menyebabkan rakyat hilang harapan, dan berputus asa.

Dalam Al-Quran, Allah bercerita tentang karakter manusia tertentu, yang malangnya kini menempati posisi pimpinan di Mesir.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." [al-'aaraf : 179]

Ini tadabbur saya terhadap ayat ini, sesudah setahun di Mesir, dan keratan rentas kehidupan yang saya kongsikan di atas :

Mereka mempunyai hati, tapi tidak sedikit pun tersentuh dan terasa akan beratnya amanah yang perlu mereka tunaikan demi membangunkan semula rakyat dan negara.
Mereka mempunyai mata, tapi tidak pernah melihat bagaimana tersungkurnya rakyat mereka di lorong-lorong kotor di Mesir.
Mereka mempunyai telinga, tapi tidak sedikit pun tergerak untuk pergi mendengar luahan hati sekian ramai rakyat mereka yang bermati-matian untuk hidup.
Mereka itu seperti lembu, kambing, dan himar, bahkan mereka itu lebih lembu, kambing, dan himar, daripada lembu, kambing, dan himar sendiri.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails