"It must be borne in mind that any reform should not ignore traditions, tenets, and fundamental principles" --Za'ba
November 15, 2010
Sesudah berkorban.
Dalam siri kisah-kisah dari Al-Quran oleh Dr Amr Khaled, di bawah cerita Habil & Qabil, beliau berkongsi satu perkara yang menarik.
Di dalam Al-Quran, kisah Habil & Qabil terpampang melalui 6 babak di dalam surah Al-Maidah. Kes pembunuhan bermotif yang pertama dalam sejarah dunia, hanya Allah ceritakan dalam 6 babak sahaja. Mengapa kes sepenting ini diceritakan dalam hanya 6 babak yang ringkas?
Kata Dr Amr Khaled, beginilah gaya Al Quran mendidik melalui cerita. Babak yang dipamerkan hanya babak yang paling penting untuk kita memahami segala pengajaran tersirat di sebalik kisah yang diceritakan. Adakah babak-babak yang tidak dipaparkan tidak penting langsung, maka kerana itu ia langsung tidak diceritakan?
Bahkan Al Quran sebenarnya mendidik kita berimaginasi mengikut suasana dan kefahaman kita sendiri, sesuai zaman dan tempat. Perbualan manusiawi, suasana dan latar cerita, perasaan dalaman, semuanya tidak tersiar di dalam Al Quran. Kerana ini ianya sesuai difahami manusia setiap kurun. Manusia mampu berimaginasi (dalam batas juga tentunya) demi lebih menghayati, memahami, dan mengaitkan kisah yang dibaca dengan kehidupan mereka sehari-harian yang sungguh manusiawi.
Seperti contoh; apakah reaksi dan perasaan ibu Habil & Qabil saat mengetahui anaknya membunuh saudara sendiri?
Kita yang juga manusia tentu mampu mengagak bukan?
* * * *
Perkara yang sama jika kita renungi, berlaku ketika mana Allah menceritakan kisah syahdu ayah dan anak yang taat, Ibrahim a.s dan Ismail a.s.
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.
Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),
Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim!
Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan." (As-Saffaat : 102 - 105)
Kisah agung yang belum pernah wujud dalam sejarah manusia ini, Allah rakamkan hanya di dalam beberapa babak ringkas. Selebihnya Allah serahkan pada kita untuk menyelami pelbagai perasaan tersirat yang wujud ketika itu, sesuai dengan kemampuan kita dan batas syara'.
Antaranya ialah perasaan dan peristiwa setelah segala babak di dalam ayat tersebut berakhir. Sesudah Ismail a.s tertebus oleh seekor kibas. Apakah perasaan Ibrahim a.s? Dan apakah pula perasaan Ismail a.s dan ibunya Hajar?
Pengorbanan ialah tentang melepasi satu titik kemuncak konflik jiwa dan perasaan. Hanya satu titik itu. Titik itu, sungguhpun hanya satu, tapi untuk melepasinya, kecamuk jiwa. Bercampur baur perasaan. Jika tidak masakan Ibrahim a.s masih bertanya meminta pendapat dari Ismail tentang arahan Allah s.w.t. Jiwa manusiawi Ibrahim a.s memerlukan satu keyakinan, bagi melepasi titik tersebut.
Namun setelah titik tersebut berjaya dilepasi dengan segala kegelisahan, kesempitan jiwa dan dada, kesedihan emosi juga barangkali, perasaan sesudah itu semua hampir tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Hati yang sebelum itu berkecamuk jadi damai bahagia. Mengecapi rasa indah melepasi titik sukar pengorbanan. Tenang dan lapang, selapang-lapangnya.
Beginilah tabiat pengorbanan. Ianya hanyalah umpama satu ujian kelayakan, seperti yang Allah nukilkan sesudah kisah Ibrahim a.s ;
"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata;
Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;
Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian,
Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!
Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman."
(As-Saffaat : 106 - 111)
Diangkat nama Ibrahim a.s oleh Tuhannya ke satu kedudukan yang harum, hingga ke hujung zaman. Diiktiraf pula sebagai hamba-Nya yang beriman! Alangkah mulia dan indah balasan bagi pengorbanan Ibrahim a.s ini!
* * * *
Sesudah berkorban, perasaannya mahal. Tiada yang setaranya.
Jadikanlah itu satu pendorong dan penolak buat diri kita, untuk berani mencipta satu pengorbanan buat apa yang kita imani.
Kedamaian dan kebahagiaan hati sesudah itu, adalah satu kepastian!
_________________________________________
Salam Eidul Adha 1431H buat semua.
9 Dzulhijjah 1431
Tooba Ramly, Madinat Nasr
Kaherah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment