September 22, 2010

Hidup para ulama'?


Saya termenung sendirian dalam kenderaan saat pulang dari ziarah.

Sekarang musim pelajar-pelajar baru tiba di Mesir. Datang ke Mesir dengan semangat yang menggunung, hanya menunggu ditunjukkan sedikit jalan dan panduan sebelum mula meneroka sendiri kehidupan ilmu mereka.

Maka ramailah abang-abang lama yang berbudi lagi baik hati ingin berkongsi.

Dan dalam ziarah saya, seorang pelajar baru sudi berkongsi luahan hati.

Katanya, hari-hari awal mereka di Mesir, mereka sudah diperkenalkan dengan kelas talaqqi. Dibawa beramai-ramai ke tempat-tempat pengajian talaqqi, untuk turut bersama. Pulang ke rumah saat hari beransur senja.

Baguslah, kata saya membalas. Tapi saya teruskan mendengar.

Katanya lagi, abang-abang berkata, jika mahu menjadi ulama' di masa kini, kita perlu hidup sepertimana ulama' dahulu hidup dalam budaya keilmuan yang mendalam. Maka sebab itu, jadual seharian kita harus kita penuhi dengan pengajian-pengajian talaqqi dan kitab. Seperti para ulama' dahulu.

Di sini saya tersedak di dalam dada.

Kepada pelajar baru tersebut saya katakan :
" Belajar, talaqqi kitab, dan sebagainya bagus. Tapi jika dikatakan seharian kita harus dipenuhi dengan itu semua semata-mata kerana mahu meniru hayat para ulama', itu kata-kata yang cetek sekali asasnya. Ternyata kita belum benar-benar faham sebagaimana yang para ulama' dahulu fahami. Kita tidak faham apakah tuntutan zaman kita ini, dan kita tidak habis lagi mengkaji kehidupan para ulama' tersebut dengan lengkap."

Ulama' berhempas pulas dahulu untuk mengajar umat Islam luasnya makna dan tuntutan ilmu dan amal. Hari ini kita dengan mudah (dengan alasan budaya) menyempitkannya kepada sudut tertentu. Malah ada yang memisahkan pula antara ilmu dan amal. Tambah bahaya ada yang melakukannya tanpa disedari.

Pesan akhir saya pada pelajar baru tersebut sebelum kami berpisah : Mendengar perkongsian memang baik. Tapi mengikut membabi-buta tanpa mengkaji sendiri bukanlah satu nilai yang sepatutnya bagi seorang ulama'. Perlu kritis. Perlu kaji dengan akal rasional kurniaan Allah.

Semoga Allah yang memfaqihkan kita dalam agama-Nya, mengikut manhaj dan sunnah rasul-Nya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails