August 01, 2010

Spatial.



Di Mesir, berbagai perkara yang tidak sepatutnya susah boleh jadi susah. Berpindah rumah misalnya. Ada orang kata, antara musibah di Mesir ialah terpaksa berpindah rumah.

Anda perlu menyelesaikan segala isu dan urusan rumah lama, dan berhempas pulas mencari rumah sewa yang baru. Banyak sekali duit, masa, dan tenaga yang akan dihabiskan. Siang dan malam membanting tulang menyelesaikan. Dan rakan-rakan 'sekampung' akan datang membantu.

Apa pun, semuanya dilakukan biasanya dengan satu harapan - kehidupan yang lebih baik. Kerana biasanya rumah lama ditinggalkan kerana masalah tertentu, maka berpindah akan jadi jalan keluarnya yang terbaik, biasanya.

Di rumah baru (walaupun mungkin infrastrukturnya tidaklah baru mana, dan tiada apa sangat yang mampu dibanggakan) azam akan jadi baru, tekad akan jadi baru. Cuba berprestasi lebih baik, dan cuba memanfaatkan nikmat tempat tinggal yang Allah kurniakan.

Saya kira ini sunnah, atau fitrah.

Atas kerana itu,
Umat Islam berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Dan nabi bercerita tentang lelaki yang perlu pergi ke bandar baru demi memenuhi cita-citanya berubah dari seorang pembunuh, yang akhirnya mati di dalam perjalanan.
Dan Musa a.s membawa Bani Israil keluar dari Mesir di bawah cengkaman Firaun.
Dan beribu-ribu lagi contoh dari kehidupan.

Jadi isu tempat bukan isu remeh. Kerananya manusia boleh menjadi baik, dan kerananya manusia boleh menjadi jahat.

Semoga kita sentiasa berdoa seperti yang nabi Ibrahim doakan pada tanah tempatnya berdiam :
Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.

p/s : Selamat tinggal rumah Toob El-Ramly yang lama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails