July 21, 2010

Ulama' umat, dan harapan yang dicita-citakan.


Wahai para Ulama',

Kalian adalah tonggak Islam, kewujudan kalian menambahkan iman, membahagiakan negara, membangunkan tanah air, memperbaiki keadaan rakyat dan pemerintah, dan menjadi kekuatan menjauhkan syaitan. Kalianlah yang menjadi pemisah antara halal dan haram, menjadi pemandu ke daerah abadi, dan menjadi pendamai di kalangan manusia saat mereka berkelahi dan bermusuhan.

Allah menghimpunkan pada kalian kebaikan saat Dia menganugerahkan kalian kefaqihan. Kata ar-rasul s.a.w : "Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan, difaqihkan dia di dalam agama."

Ketika umat Islam terpisah kepada negara-negara dan pemerintahan yang berselerakan, setiap negara berpecah kepada kelompok dan parti yang bermusuhan. Mereka saling mula bertelingkah antara satu sama lain.

Maka sesungguhnya, menjadi satu kewajipan bagi para Ulama' menyatukan di antara kita semua, menggalakkan supaya kita kembali membina dan bukan meruntuhkan, kembali bersatu dan tidak berpecah, kembali mendekati dan tidak saling menjauhi, berpegang dengan ayat Allah "Dan berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah," (Ali Imran : 103) dan ayat Allah "Sesungguhnya ini umat kalian, umat yang satu, dan Aku adalah tuhan kalian, maka sembahlah akan-Ku".

Dan tidak tersangkal lagi, kita seharusnya beriman dengan prinsip berharga yang sering diseru oleh mereka yang membaiki umat dan membawa pembaharuan, yang dipimpin oleh Imam Hassan Al-Banna : "Kita saling bantu-membantu di dalam perkara yang disepakati, dan saling berlapang dada di dalam perkara yang kita berbeza pendapat tentangnya."

Kita juga beriman dengan dialog bersama mereka yang mempunyai pandangan berbeza, kerana syiar kita ialah berlapang dada dan ukhuwwah. "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara," (Al-Hujurat : 10). Imam Al-Banna rahimahullah berkata : "Khilaf fiqh pada perkara yang merupakan cabang-cabang kecil, tidak patut menjadi sebab perpecahan di dalam agama. Dan tidak patut ia membawa kepada permusuhan dan kemarahan. Bagi setiap mujtahid, pahala mereka masing-masing, dan tiada halangan sama sekali daripada kajian semula secara ilmiah yang memperbaiki dalam masalah-masalah khilaf, yang berlaku di bawah naungan cinta kerana Allah, bantu-membantu, dan mencari kebenaran dan hakikat, tanpa perdebatan yang berdosa dan ketaksuban."

Kami menyeru kepada para Ulama' di seluruh dunia supaya berada di bawah panji Kesatuan Ulama', yang mampu menyatukan saf-saf mereka, dengan tidak mewakili mana-mana fraksi, mazhab, negara, dan jamaah atau persatuan secara jumud, dan tidak mewakili apa-apa selain Islam satu-satunya.

Islam yang menyeru kepada pembaikan, pembaharuan, dan penyatuan serta penggabungan, hingga hati-hati mereka bersatu walau pendapat mereka berbilang.

Telah pun termaktub kata-kata bernilai : Perbezaan pandangan Ulama' ialah rahmat yang meluas, dan persetujuan para Ulama' ialah hujah yang tidak tersangkal.

Dr. Muhammad Badie',
Mursyid Am Ikhwan Al-Muslimin.



Diterjemah oleh : Syed Ahmad Israa'.
(Siri latihan penterjemahan)

1 comment:

Related Posts with Thumbnails