June 19, 2010

Cerpen mikro : Biar betul.




Jam 4.00 petang waktu Kaherah, matahari seolah-olah menjilat isi bumi dengan bahangnya.

Selesai menjawab peperiksaan subjek Tauhid dengan tenang (mujur dewan berkipas), terus melangkah ke pintu utama Gami'ah, sambil melambai teman-teman. Jumpa lagi nanti untuk subjek yang terakhir.

Sambil berjalan perlahan menyusur jalan besar El-Mansouriya yang bercabang dengan 'Shari' El-Azhar ' yang masyhur, mata melilau mencari teksi hitam putih buat tunggangan pulang.

Datang sebuah menyahut lambaian.




" Assalamualaikum, Hayyu 'Ashir insyaAllah? "

" 'Ashir? InsyaAllah. Tidfa' kam? (berapa mahu bayar?)" jawab si pemandu. Sepakat tambang semacam jadi peraturan. Jika tidak, macam-macam boleh berlaku.

" 'Asyrah? (sepuluh?)"

" La', khamsata 'asyr kuwais. (Tak nak. Lima belas ok.) "

" Mesyi, musy musykilah. (Baik, tak jadi masalah.)"

Dan teksi pantas meluncur laju berpatah balik menyusur jalan El-Mansouriya sebelum tiba di bulatan Ben Halabi, yang di sisinya bangunan usang Maktabah Ben Halabi, tempat tercetaknya satu-satunya karya di bumi Mesir oleh seorang melayu, ustaz Idris Al-Marbawi.

Pemandu teksi di Mesir bermacam ragam. Mungkin kerana latar belakang yang seribu satu jenisnya. Boleh jadi seorang pemandu teksi pernah punya lain pekerjaan yang tak tersangka.

" Nanti lepas selesai peperiksaan, awak balik Malaysia? "

" Tak, duduk di sini. "

" Eh? Tak balik? Buat apa nanti duduk sini? "

Ikutkan perasaan dan hawa panas yang membakar di luar, malas nak dilayan berlebihan. Tapi gaya si pemandu yang prihatin semacam menarik kali ini.

" Tak buat apa, bercuti. "

" Oh, Kenapa tak cari kerja? "

Hah? Cari kerja?

" Kerja apa boleh cari? "

" Macam-macam kerja ada. Semua boleh. Yang penting kerja dan cari duit. " Orang Mesir memang hidup susah. Tapi orang luar tak biasa kelihatan bekerja di negara ini. Rakyatnya sendiri pun ramai yang menganggur.

" Contohnya? "

" Jaga kedai. Banyak kedai perlu pekerja musim-musim macam ni. "

" Hm. Lagi? "

" Ada satu kerja menarik. Kerjanya mudah, dalam 5-6 jam sehari, tak susah, tapi gaji lumayan, dalam LE800 sebulan. Dapat baju yang elok, dan disediakan tempat khas untuk setiap seorang. Kerja tak susah pun. Kalau minta mesti dapat, sebab memang perlu ramai. "

Kerja yang macam menarik rasanya bagi warga Mesir. LE800 gaji yang agak tinggi bagi kerja yang tak susah, tapi gaji lumayan, dapat baju yang elok, dan disediakan tempat khas untuk setiap seorang (ikut kata si pemandu).

" Kerja apa tu? "

" Polis pengawal keselamatan. "



________________________

Sekadar merakam kenangan di kota Kaherah.
Teringat rakan-rakan yang punyai kenangan lebih intim bersama polis di Mesir. Jika mereka yang ditawar apa respon mereka agaknya?

1 comment:

Related Posts with Thumbnails