June 16, 2010

Jangan sampai dibaham singa.

Seorang lelaki berjalan di sebatang jalan, lalu datang seorang lelaki lain, berdiri di hadapannya.

Lelaki tersebut berkata kepadanya : "Awas, di belakangmu ada singa yang ganas. Ayuh segera berlari! Jika tidak kau akan dikejar dan dibaham!"

Lelaki yang sedang berjalan tadi menjawab : "Tidak, aku tidak akan berlari sehinggalah aku pasti apa yang kau cakap ini benar dan bukan bohong. Dan aku hanya akan percaya kebenaran kata-katamu selepas aku berpaling, dan melihat singa ganas tersebut dengan mataku sendiri."

Dia terus berdiri di tempatnya, tanpa berganjak, untuk menunggu dan melihat sendiri singa ganas tersebut bagi mempercayai kata-kata lelaki tadi.

Anda tentu sudah boleh mengagak apa yang terjadi seterusnya.

Ya, tentulah, lelaki itu ternyata dapat diterkam dan dibaham oleh sang singa yang kelaparan.

Ceritanya mudah, dan agak boleh dijangka kesudahannya.
Namun, ia sebenarnya sebuah perumpaan yang amat bermakna.

Ia diceritakan oleh Imam Al-Ghazali dalam salah satu tulisannya.

Beliau menceritakan kisah ini, demi mengumpamakan golongan manusia yang meletakkan rasional dan logik akal lebih utama daripada wahyu Allah dan petunjuk sunnah. Golongan ini mudah untuk menolak wahyu selagi belum mampu memuaskan logik akal mereka. Akhirnya, mereka menerima padah yang selayaknya.

Bukanlah dengan mengikut wahyu dan petunjuk sunnah itu bermakna mengetepikan akal dan logik secara mutlak. Jika lelaki tadi mengikut nasihat lelaki yang memberikan amaran kepadanya, lalu dia lari menyelamatkan diri, singa yang ganas itu sememangnya wujud dan tetap menepati apa yang dikatakan lelaki pemberi amaran tadi, dan sama sekali tidak bercanggah dengan logik akal dan realiti yang berlaku.

Kesimpulan:


1. Bagi golongan yang cerdik pandai serta pembuat keputusan (kerajaan, pimpinan, dan tokoh masyarakat) - perkara ini harus diteliti dalam melakukan kajian, rumusan, dan mengeluarkan pendapat. Mengutamakan dalil-dalil naqli (Al-Quran dan As-Sunnah) berbanding dalil dan hujah akal bukanlah satu perkara tradisional yang kolot, dan ketinggalan zaman.
Imam al-Ghazali berkata : "Mereka yang hanya memiliki hujah dan dalil akal, umpama orang yang memiliki mata, tetapi langsung tidak mampu melihat jalan di hadapannya, lantaran kegelapan dan tiada cahaya (dalil wahyu) yang menyuluhkannya."

2. Bagi golongan yang menerima dan menjadi pendengar - tidak sepatutnya mereka mudah terpesona dengan kekuatan hujah logik dan rasional, selagi belum ditunjukkan asasnya dari hujah-hujah Al-Quran dan As-Sunnah. Lebih teruk jika mengambil pandangan mereka yang memberi pendapat berasaskan logik akal serta nilai moral (yang tidak wujud asas dari wahyu), dan menolak mereka yang sedaya upaya menyambung tugas para rasul dan anbiya' memberi panduan berasaskan hujah dan dalil dari Yang Maha Mengetahui.

Semoga kita mampu berjalan sambil mata terbuka dengan suluhan cahaya. Selamat beramal.

3 comments:

  1. tetapi bukankah tindakan lelaki itu satu tindakan yang benar.. supaya di situ tidak berlaku "taqlid buta"?

    ReplyDelete
  2. Kaedah ahli sunnah bukan taqlid buta. Taqlid dulu sebab belum mampu mengetahui segala logik, kemudian baru mencari logik dan rasional, berpandukan dalil al-quran dan as-sunnah.

    Imam Al-Ghazali pun ada kata:
    Manusia dalam memahami iman ada 4 golongan.

    Salah satunya ialah mereka yang sudah pun tiada keraguan dengan iman,cukup dengan dalil yang ada, dan memang seorang muslim yang taat tanpa banyak soal. Orang begini, pendekatannya, tidak perlu ditimbulkan kepada mereka sebarang syak dan pemikiran kritis kepada iman mereka. Seperti yang nabi s.a.w buat kepada majoriti para sahabat. Nabi tidak buang masa memberi rasional iman yang berjela, sebaliknya mengarahkan iman yang sedia ada kepada amal dakwah dan jihad.

    wallhua'alam.

    ReplyDelete
  3. owh.. ni bawah tajuk beriman dahulu atau nazhor dahulu..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails