September 02, 2009

Jiwa Revolusi.


Kalau ada yang mengharap tinggi pada entri ini, minta maaf awal-awal. Kali ini, saya lebih mengharap pandangan dan komen. Anggaplah entri saya ini disudahi dengan tanda soal kepada anda semua, walaupun mungkin ada yang tidak terasa ditanya pun.

* * * * *

Baru-baru ini saya sempat berborak dengan seorang kawan lama saya. Seorang kawan yang semasa di sekolah menengah dulu saya anggap bukan berada dalam kem yang sama dengan saya. Faham-faham sahaja lah, budak sekolah lagi. Kem-kem atau geng-geng ini benda biasa.

Tapi bila saya dia ajak berborak baru-baru ini, saya perasan ada beberapa perkara yang tampak sudah berubah, selari dengan perkembangan umur dan zaman yang dilalui oleh saya dan kawan-kawan saya yang sebaya.

Bual kami malam itu bermula dengan isu demo anti-ISA 1 Ogos di Kuala Lumpur. Dan ia terus sahaja berlanjutan, sampailah kawan saya ini bertanya banyak perkara kepada saya tentang kerajaan yang ada sekarang ini dan masa depan negara kita. Bukanlah saya tahu banyak sangat untuk dikongsi, tapi bila perkara-perkara sebegitu dibincangkan, tentu sekali saya berminat.

Juga baru-baru ini, jika anda tahu, wujud satu usaha menghimpun karya-karya bebas (atau indie kata orang) dalam bentuk video yang dinamakan 15Malaysia. Kesemuanya video-video yang akarnya ialah rakyat dan perubahan. Kesemua video ini disiarkan melalui laman webnya sendiri, www.15malaysia.com.

Karya-karya ini, walaupun belum sepenuhnya dapat ditonton, sudah mendapat perhatian yang meluas di kalangan muda-mudi sebaya saya, termasuklah juga kawan-kawan saya yang dahulu semasa sekolah menengah, saya kira, bukanlah mereka yang ekspresif sangat ataupun sukakan sesuatu yang serius (video-video 15Malaysia tiada langsung unsur pop-popan).

Ternyata saya dan kawan-kawan sudah berubah jiwa. Itulah, kata seorang ahli motivasi, jiwa revolusi.

* * * * *
Saya cuba berfikir tentang keadaan ini, dan ia buat saya terimbau beberapa kisah yang pernah ayah saya, juga kawan-kawan ayah saya, ceritakan kepada saya. Bagaimana mereka juga berjiwa sedemikian saat mereka di luar negara hinggakan begitu ramai sekali yang berubah di sana, sedang di sekolah dahulu mereka rata-ratanya jahil sekali tentang Islam dan dunianya.

Ada banyak sekali titik-titik pertemuan yang saya temukan dalam kisah-kisah zaman muda ayah saya dan kawan-kawannya, dengan kisah saya dan kawan-kawan saya pada umur dan ketika ini.

* * * * *
Saya yakin, mungkin itu bukan satu perkara yang terlalu mengejutkan. Bahkan mungkin boleh dianggap satu perkara yang sudah dijangka.

Sudah banyak pun kata-kata dan teori-teori tentang pemuda yang kita dengar. Fikrah Al-Banna tentang pemuda, kisah-kisah legenda pemuda-pemuda dari dahulu hingga sekarang, fakta-fakta perjuangan diungguli pemuda, dan sebagainya.

* * * * *
Cuma saya terfikir, dan ini pun kerana melihatkan ramai sekali kawan-kawan ayah saya yang saya lihat sudah kembali berubah jiwa mereka. Sesudah usia melanjut dan uban mula tampak di rambut, saya saksikan sendiri, ramai yang mula hilang sama sekali jiwa perubahan tersebut. Tanpa menafikan memang ada yang mengekalkannya, malah terus bercambah hingga ke hujung usia.

Jika perkara ini bakal berulang kepada saya dan kawan-kawan saya (moga-moga tidak), apakah puncanya?

Adakah jiwa revolusi itu hanya boleh hadir pada period hidup yang tertentu sahaja? Atau adakah ia bukan bergantung pada faktor umur malah sebenarnya ditentukan faktor-faktor lain?








8 comments:

  1. semangt yang tinggi tu ada pada jiwa pemuda..sbb tu org2 hebat dulu mendidik pemuda pagi,malam dan juga waktu cuti..
    mmg betullah..MASA muda tu hanya datang sekali dalam seumur hidup..

    ReplyDelete
  2. Salam ya akhi,

    Muga terus thabat dalam perjuangan. Teruskan sentuhan kreatif enta. JazakAllah khair atas RAW file PSD yang diberi lewat akhi Azril.

    BarakAllahu feek!!

    AbuSafiyyah

    ReplyDelete
  3. hikmatussyuyukh wa hamasatussyabab,
    pada pemuda itu sendiri api itu menyala terang,sinarannya sentiasa gemilang,
    namun pada hikmah terletak pada orang-orang lama yang menuntun mereka ke jalan yang lurus,
    jiwa pemuda harus dibakar hingga ke penghujung usia :)

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails