Khusus buat adik-adik yang bakal memilih tidak lama lagi. Umum untuk bacaan semua.
Bergantung kepada orang, saat kali pertama membuat pilihan penting dalam hidup masing-masing mungkin berbeza. Ada orang yang sudah merasai pengalaman membuat pilihan dan keputusan seawal saat dia menentukan siapakah Hero di hatinya, apakah Ultraman Dyna atau Power Rangers Hijau. Dan ada pula sesetengah orang yang lain hanya berpeluang merasai pengalaman memilih saat dia menentukan tapak kubur yang mana satu harus ditempah.
Lain orang lain cerita.
Bagi saya sendiri, saat-saat memilih yang saya lalui agak banyak. Bermula selepas UPSR, hinggalah setakat umur saya yang masih pendek ini, saat selepas SPM. Dan saya akui, pemilihan dan keputusan yang paling sukar untuk saya lakukan setakat ini ialah selepas SPM, iaitu memilih bidang pembelajaran yang akan saya ceburi buat beberapa masa akan datang.
Siapa pun tak mampu menafikan beberapa perkara tentang memilih dan membuat keputusan :
1. Ianya salah satu aktiviti tersukar dalam hidup selain istiqamah dan sabar.
2. Ianya perlukan masa yang cukup. Dan masa selalunya kurang cukup. Hidup ini kan pendek.
3. Ianya mungkin membawa kepada dua kesudahan : Rasa bertuah atau rasa kesal tak sudah.
4. Ianya perlu mengambilkira bermacam-macam faktor, bergantung kepada inividu. Kadang-kadang sampai 1001 macam faktor perlu difikirkan. Memang, sudah luar kemampuan berfikir adakalanya.
Ini beberapa hakikat tentang membuat pilihan dan keputusan yang saya nampak.
Selain itu, bagi saya, membuat pilihan dan keputusan, yang tepat, perlu mengandungi tiga prosedur :
1. Persediaan awal (mindset untuk menanti saat membuat keputusan)
2. Proses membuat keputusan
3. Kesimpulan
Jika 3 perkara ini tidak cukup salah satunya dalam tindakan membuat pilihan dan keputusan, besar kemungkinan, orang tersebut samada masih belum cukup matang berfikir, atau sememangnya tidak pernah berfikir pun.
Kali ini, saya berminat untuk berkongsi beberapa perkara yang saya faham tentang proses dan kesimpulan. Harap-harap yang membaca (termasuk saya sendiri yang akan membaca semula post ini satu hari nanti) boleh faham dan cerna.
Tentang proses, bagi saya, yang paling penting sesudah niat yang betul ialah berdasarkan kata-kata ini :
"ما خاب من استشار ولا ندم من استخار"
Tidak rugi orang yang berbincang, dan tidak akan menyesal orang yang meminta pendapat.
Kurang lebih begitulah maksudnya.
Orang yang serius mahukan keputusan yang terbaik akan berani membuka ruang perbincangan dan perdebatan seluas-luasnya, dalam lingkungan orang-orang yang berautoriti dan terpercaya ilmu dan pengalamannya. Boleh jadi ibubapa, guru-guru, saudara-mara, rakan-rakan, malah boleh jadi buku-buku yang kita baca. Seribu satu persepsi ini kita perlukan untuk membina satu persepsi yang kukuh buat diri kita sendiri.
Dengar, rekod, simpan, untuk dianalisa sendiri.
Ini juga yang saya lakukan sepanjang tempoh yang saya miliki untuk membuat keputusan.
Dan saya sejujurnya masih berharap ramai lagi yang boleh saya temui untuk tujuan ini.
Bila ruang berbincang ini sudah dibuka, akal sudah mula berfikir dan bergerak, hati sudah mula gundah gulana, emosi sudah mula bercampur-baur, maka anda sememangnya berada dalam proses yang betul. Pada saat ini pula, proses yang terbaik ialah Solat dan Doa Istikharah.
Sehinggalah tempoh yang kita miliki hampir-hampir habis, kita perlu ingat :
Ruang luas yang dibuka tadi harus diberi satu simpulan yang erat.
Sebabnya, dalam keterbatasan umur hidup kita ini membolehkan kita berpegang dengan satu keputusan yang kukuh sahaja. Sebab itu juga ia dinamakan keputusan. Kita memutuskan semua tali-tali panjang perbincangan tadi dan membuat satu simpulan yang kuat pada hujungnya.
Andai kata dalam tempoh yang kita ada, tiada simpulan yang boleh kita buat, maka kita ternyata sudah mula membuka peluang kegagalan dan kelemahan dalam hidup.
Tiada satupun eksperimen-eksperimen yang dilakukan para saintis yang dianggap berjaya jika tidak mempunyai kesimpulan atau conclusion.
Tiada satupun debat-debat di kalangan ulama' yang dianggap bermanfaat jika tidak terbit darinya istinbat atau penetapan ke atas satu-satu hukum.
Tiada satupun filem-filem yang berjaya memenangi oscar jika di hujungnya tidak berjaya membuatkan penonton terkunci mulut kagum.
Jika kita sudah berani membuka seluas-luasnya ruang yang ada, kita juga perlu berani menutup dan mengehadkan ruang tersebut semula. Itulah realiti.
Dan sesudah itu, seperti kata-kata seorang guru saya :
10% ialah bakat dan minat. 90% ialah nekad.
"فإذا عزمت فتوكل على الله"
Maka apabila kamu telah berazam (sedaya upaya) maka bertawakkallah kepada Allah.
Semoga Allah merahmati semua keputusan kita, dan membantu kita itqan dengannya, dan terus istiqamah hingga ke akhir hayat kita.
Wallahul Musta'an.
Bagi saya ada satu lagi..
ReplyDeleteMakanya setelah buat keptusan jgn ditoleh ke belakang lagi dan terus mara ke hadapan dgn tawakkal yang tinggi..
ada kata-kata hikmah yang terkenal
"setiap perkara yang berlaku ada HIKMAH di sebaliknya"