February 25, 2009

Saya bukan Konservatif (2).

Saya tak pasti apa yang anda teka dan jawab dalam entri saya sebelum ini.
Mungkin budaya masyarakat Amerika, atau mungkin budaya masyarakat Jepun, atau mungkin juga budaya masyarakat Jawa Tengah. Yalah, bila soalannya tiada skema jawapan, kadang-kadang imaginasi memang jadi liar.

Anda berhak menjawab dan berimaginasi tentang apa sahaja budaya yang mungkin sekali berkait dengan gambaran saya.

Cuma bagi saya, gambaran tersebut bukanlah imaginasi liar lagi kreatif seorang penulis blog. Semua itu adalah realistik. Saya menulis, saya realistis. Hanya apa yang saya lihat dan alami.

Sebelum ini jarang sekali saya duduk di rumah. Merantau sana-sini, belajar, berjalan, berkawan. Cuma baru-baru ini sahaja, saya Allah beri peluang (peluang? mungkin.) untuk punya masa duduk di rumah, dan merayau-rayau (bermotif tentunya) di sekitarnya.
Kebetulan, kawasan tempat tinggal saya dikelilingi, saya kira, seribu satu macam pusat-pusat,gedung-gedung,kompleks-kompleks,mall-mall, dan ya,panggung-panggung.
Kalau ikutkan hadith nabi, memang syaitan berselerak di tempat-tempat sebegini.

Tapi saya perlu realistis. Kalau saya mahu meresapi minda remaja-remaja di tempat tinggal saya, perlu rasanya saya tahu di mana dan bagaimana sebahagian besar masa mereka diluangkan. Tentu, di mana lagi kalau bukan tempat-tempat tadi.

Sekali hari itu saya mundar-mandir di kawasan The Curve, Mutiara Damansara. 7 tahun dahulu, saat saya mula meninggalkan rumah dan bermastautin di asrama, tempat ini hanya hutan, nyamuk, dan semak. Ya, hutan, nyamuk, dan semak.
Kini rasanya anda sendiri tahu kemasyhurannya. Orang dari Singapura sanggup menaiki bas selama 4 jam hanya untuk duduk menikmati cappucino panas dan kacang kuda dengan kawannya, di sini.

Sejam sahaja saya di situ. Cukup untuk saya buka mata lebih luas. Bukan kerana ramainya manusia dewasa memakai baju saiz kanak-kanak di situ. Tidak sekali-kali.

Apa yang saya mahu anda teka dalam entri saya sebelum ini, bukanlah budaya di mana-mana pun. Semuanya ada di situ. The Curve, Mutiara Damansara.
Rasa saya hari ini itu semua tidak lagi asing tentunya. Sebut sahaja mana-mana tempat lain,suasananya tidak jauh beda. One Utama, Times Square. Saya pernah lihat semuanya.

Maka, budaya itu bukanlah lagi budaya asing. Ya,jika tiada rasa canggung atau kekok berada dalam suasana seumpama itu, bukan asing namanya. Ulasan Mazidul Akmal dalam rancangan 999 baru-baru ini tentang suasana pesta 'shuffle' di Times Square, bahawa ia budaya asing yang perlu dipantau, rasa saya sudah tidak sesuai.
Ia sudah tidak asing. Ia sudahpun sebati.

Saya bukan konservatif.
Saya mendokong kemajuan, dan pembaharuan.
Termasuklah budaya sekali pun.

Cuma saya bersoal sendiri hari itu:
Wujudkah bangsa kalau tiada budaya?

Melayu dulu wujud kerana ia adalah sekumpulan manusia dengan ciri-ciri budaya tersendiri.
Muslim pula wujud kerana ia adalah sekumpulan manusia, juga, dengan budayanya tersendiri.
Dan Melayu Muslim juga wujud kerana sebatian budaya muslim dan melayu, yang unik dan tersendiri.

Jika hari ini bangsa Melayu Muslim berbudayakan bangsa Amerika Liberal, adakah kita punya bangsa dan agama lagi untuk dipertahankan?

Kata kawan saya : "Wah, kalau macam ni, Pasar Jawa Klang pun terasa! Bangsa Jawa yang Migrasi , haha!"

_______________________
Lupa. Saya tulis dalam bahasa inggeris pada entri sebelum ini, juga untuk merasai sendiri budaya blogging (blogging juga ada budaya!) asing. Wah, susah rupanya meniru budaya asing. Pelik kenapa orang suka juga,walaupun susah. Kena keluar duit beli macam-macam aksesori, pewarna, barang-barang berjenama, pun tak kisah.

Entahlah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails