November 17, 2008

'Amusing Ourselves To Death'

Damansara-Klang-Shah Alam-Seremban-Shah Alam-Damansara.

Dalam satu hari,ini perjalanan saya,semalam.
Tidaklah jauh mana,pusing-pusing,paling jauh pun dalam dua negeri juga.
Tapi jadual sebegini mungkin terpaksa saya lalikan sekarang. Saya sudah dalam tempoh yang perlukan saya bermusafir sebegitu rupa.

Zahirnya,tiada apa yang signifikan dengan musafir saya. Selain dengan tujuan untuk tunaikan beberapa urusan penting, belajar, dan ziarah, tiada apa yang signifikan.
Tapi saya mungkin sudah terbiasa. Terbiasa untuk mencari sesuatu yang signifikan dari peristiwa-peristiwa harian yang kebiasaannya hanya rutin, dan tidak luar biasa.

Dalam musafir hari-harian saya, kenderaan utama saya bukan milik saya. Milik Syarikat KTM Berhad. Dan dalam kenderaan ini, dan di setiap perhentiannya, saya temui satu pemerhatian yang menarik sekali pada pandangan saya. Mungkin biasa dan sudah terlalu biasa, hingga kita mungkin memerhatikannya tanpa sedar bahawa pada batinnya, ia satu krisis kejiwaan yang besar bagi umat manusia akhir-akhir zaman ini.

Kebiasaannya, yang akan kita temui dan lihat di sekitar kita, ketika dalam komuter, atau di stesen-stesennya, ialah masyarakat umum. Muda,tua, bekerja,belajar, atau mungkin sekadar berjalan-jalan buang masa. Berada di stesen menunggu komuter, komuter pun tiba, dan duduk atau berdiri pula dalam komuter sampai tiba di stesen destinasi. Paling sedikit, 30 minit akan digunakan untuk semua itu. Dan paling lama, setahu saya, hingga 3 jam mungkin dihabiskan.

Juga kebiasaannya,pada sela-sela waktu seperti inilah mereka mencuri-curi masa dan peluang untuk menyuap hiburan-hiburan yang secukupnya kepada jiwa dan mental mereka, yang mungkin pada rasa mereka sudah letih dan kering setelah suntuk sehari digunakan. 

Kerana itu, travellers yang menggunakan komuter, sering sahaja bertemankan pelbagai jenis teman hiburan berupa peranti-peranti canggih dan pelbagai alat mudah-alih. Handphone, mp3 player, Playstation Portable, sebahagiannya. Lagu-lagu rancak,sentimental,mendayu-dayu dimainkan. Jari-jemari ligat membalas sms dari yang tercinta, atau pantas menekan punat pangkah dan bulat dan ke atas dan ke bawah, meraih markah tertinggi dalam games mereka. Ada sedikit yang membawa novel-novel cinta dan pop. 
Moga-moga, hati yang suram kembali ceria, jiwa yang kelam kembali bertenaga, mental yang terperam kembali ligat geraknya. Hilang semua letih dan tekanan,oh indahnya. 

Habis saya perhatikan segala macam yang mereka miliki dan apa yang mereka lakukan dengannya, saya alihkan perhatian saya pada wajah-wajah mereka. Seronok juga kalau boleh melihat wajah-wajah mereka ceria dan bercahaya bila gembira. 

Kalau dalam syair arab, penyairnya selalu bilang pada wajahlah terkumpul segala kecantikan, keceriaan, dan keseronokan. Ya, ilmu psikologi turut mengakui itu. Ekspresi muka tak mampu menipu. 
Ikut hukum logik juga, ia harus begitu bukan?
Contoh :
Premis I - Seorang pemuda mendengar lagu-lagu kesukaannya dari mp3 playernya untuk berhibur.
Premis II - Orang yang mendengar lagu-lagu kesukaannya untuk berhibur, akan berwajah ceria kerana terhibur.
Konklusi - Pemuda itu akan berwajah ceria kerana terhibur.

Sebaliknya saya jadi pening. Apa yang saya lihat melanggar hukum logik tersebut.




Wajah-wajah yang saya lihat ialah wajah-wajah yang sama sebelum mereka menghiburkan diri mereka. 



___________________________________________________________________
catatan hujung semata-mata. Elok kalau anda pula yang perhatikan mereka selepas ini. Boleh tulis pula dalam blog-blog anda apa yang anda fikirkan.

Oh, kalau berminat fahami lagi apa yang saya tulis, cuba-cuba lah cari rakaman syarahan Dawud Wharnsby Ali dengan tajuk yang sama seperti entri saya ini. 
Ya, tajuk entri ini adalah cuplikan dari itu. Tak salah kan?


1 comment:

Related Posts with Thumbnails