January 17, 2008

Haiya..manyak susah!

Tangan saya sudah jadi gatal-gatal. Kurang selesa.
Lenguh-lenguh badan pun ada. Sekali-sekala menggosok mata yang merah. Ada juga rasa kering-kering tekak, tambah pula kebas-kebas kaki. Betul hidup ini susah.

Cumanya, saya hanya duduk di hadapan komputer. Di dalam rumah berbumbung cukup berlantai elok. Makanan ada sahaja di dapur. Air bersih mengalir sahaja 24 jam dalam segenap paip plastik dan besi, bersama-sama dengan arus elektrik, juga terbekal 24 jam, jika tiada sebarang gangguan.

* * * * * * *

Tangan dia sudah jadi gatal-gatal. Lenguh-lenguh badan, tak perlu cerita. Merah mata dan kering tekak permainan biasa. Kebas-kebas kaki sudah tentu, malah kebas-kebas seluruh badan sebenarnya. Dia hidup susah, benar.

Bezanya, dia duduk di hadapan runtuhan rumahnya. Di dalam binaan entah layak digelar rumah atau tidak. Makanan, 48 jam sudah selepas kali terakhir dia menemuinya. Memang ingin sangat dia mencari air, namun nyatanya, darah dan air karat sahaja yang mendominasi. Dan dia sedang duduk sunyi dalam gelap. Baru sahaja semalam dia cuba membetulkan pendawaian elektrik rumahnya, dan baru sahaja tadi ia rosak semula. Entah serpihan bom mana yang terkena.

* * * * * * *

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni, penulis buku 'La Tahzan', ada juga menulis buku berjudul '30 memo untuk para da'i'. Saya tiba-tiba jadi teringat dengan salah satu memonya:
Hendaklah Para Dai Sentiasa Mengoleksi Sifat Para Mujahid. Dan sifat yang paling ketara, berbiasa-biasa hidupnya dengan KESUSAHAN, seiring hadith nabi :"Bersusah-susahlah kamu,sesungguhnya nikmat itu tidak kekal"


Ada dari kalangan kita yang punya peluang mengamalkan pesannya ini. Paling mudah rasanya di asrama-asrama, atau bila kita hidup sendirian berdikari. Kalau ingin dikongsi jerih payah hidup di asrama memang tidak terkongsi. Susah belajar, susah hidup, susah bergerak, susah berhubung, susah menyusun...susah-susah lain, simpan-simpan sendiri sahajalah.
Pesan saya : Jangan mengeluh. Bila susah, bersyukur. Allah beri kita tanda, Dia ingin melatih kita lebih buat satu masa nanti, dan pada masa itu latihan ini cukup bermakna. Tanda Allah sayangkan kita.

Ada pula yang kurang berpeluang beramal dengan memo tadi. Maklumlah, duduk di rumah yang serba cukup dari hujung pagar depan ke hujung pagar belakang, dari bumbung paling atas sampai ke lantai paling bawah. Makan minum bukan masalah. Kenderaan juga bukan masalah. Duit pula ada belaka. Paling-paling sesak pun, bila-bila masa ada pinjaman PaMa (Papa & Mama). Astro, DVD player, pc terkini disertai internet berkelajuan tinggi, dan pemanas air. Tidur malam asyik sekali berbungkus gebar dalam bilik berhawa dingin.
Tiada peluangkah sebenarnya?

Ini isu iman kita. Isu hati kita. Kita selalu sahaja punya pilihan, dan kesemua pilihan kita, ada konsekuensinya.

Cubalah. Memang jiwa kita ini cenderung dengan yang selesa-selesa belaka. Tapi ia juga boleh dilatih untuk hidup susah dalam suasana yang selesa. Caranya bagaimana? Fikirkan sahaja, pasti kita sendiri ada jawapannya.

"..................?"

Haiya, manyak susah!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails