Rakan-rakan yang melata di muka bumi, mengembara, dari Mesir hingga ke Amerika, demi masa depan Islam, ini dalam tabah saya cuba berkongsi.
Kisah orang-orang mengembara sudah terlalu biasa kita dengar.
Kita dengar orang mengembara melihat dunia, kita dengar orang mengembara menambah ilmu, kita dengar orang mengembara mencari rezeki.
Terselit di celah-celah liku pengembaraan mereka kisah-kisah keajaiban. Dalam keadaan susah menemui jalan keluar. Dalam keadaan terhimpit terbuka pintu yang luas.
Itu semua kisah-kisah. Kita dengar, dan mungkin kita samada kagum seketika, atau mungkin juga kita menikmatinya, buat halwa telinga.
Tiba masanya, bila kita sendiri yang berkembara, berkelana di bumi orang, kita bakal tahu sendiri besar dalamnya makna kisah-kisah dalam kembara yang dulu sekadar angin lalu di telinga kita. Susah dalam kisah bakal menjadi susah sebenar, yang sangat menguji. Tabah dalam kisah bakal menjadi tabah sebenar, yang sangat membebani.
Mahu atau tidak, itu semua harus kita lalui.
Paling BESAR yang bakal diuji dalam kembara kita ialah prinsip kita. Orang-orang Islam yang sebenar punya prinsip. Dan prinsip ini bakal digoyang-goyang, dihempas-hempas, digoncang-goncang, hingga mungkin, bagi pengembara yang lemah, akan tercabut akar-akar prinsipnya. Sedangkan kemenangan itu hanya bila kita THABAT (tetap teguh). Kata Syed Qutb, 'Thabat Huwa Nasr'. Thabat itulah kemenangan.
Cumanya, penentu THABAT ini hanyalah Allah. Allah yang menguji, dan Allah juga yang bakal memberi anugerah THABAT. Doa dan sabar, itu ubatnya.
Dalam tabah ini saya berpesan, kepada diri saya, dan rakan-rakan lain yang sedang dalam kembara : Biar senang biar susah, prinsip kita jangan goyah.
Jalan masih panjang.
~Ipoh, 2 Muharram 1429H~
No comments:
Post a Comment