December 31, 2007

Bual masa depan di dulang.


Udara selepas Zohor hangat seperti biasa. Bayu laut dari Pantai Remis semahu-mahunya bertiup.

Seperti biasa, hari Ahad, makan tengahari biasa disantap selepas Zohor. Nasi putih bertatah lauk beberapa jenis, terhidang dalam dulang, memang sangat mengasyikkan. Makan jadi berselera, entah kerana nasi dan lauk, atau kerana peluang bersembang mesra dengan adik-adik dan rakan-rakan acapkali hadir waktu-waktu sebegitu.

Tiga orang makan bersama saya hari itu. Muda-muda semuanya. Ya, memang saya juga muda pastinya, tetapi mereka ini, lebih muda maksud saya. Sudahlah muda-muda, baik pula hati dan jiwa, aduh, sungguh saya terpikat!

Sesuap demi sesuap makanan kami santap, dan pastinya yang enak, pelbagai perkara kami kongsi bersama, mengiringi tiap-tiap suapan. Hingga akhirnya tiba ke suapan yang terakhir, salah seorang dari kami membuka cerita. Kisah dia dan masa depannya. Kisah dia dan cita-citanya.

“Ana minat benar dengan bidang nasyid. Yang berkait-kait dengannya, juga ana minat. Mudahnya, ana sangat minat dengan media. Ayah ana juga ada kata, bagus juga kalau kita dapat meluas dan menyebarkan Islam dengan kekuatan media. Ana ada terbayang-bayang, cita-cita ana menjurus ke situ. Bagus tidak?” katanya.

“Tanya abang ke?”

“Habis tu?”

“Oh, baguslah.” Jawab saya.

“Itu cita-cita ana, abang ceritalah sikit cita-cita abang. Kami makan sama-sama ni pun, nak dengar abang cerita pasal tu.”

Saya tersenyum sendirian. Tersenyum sendiri dalam minda, mungkin juga sedikit terpapar pada riak wajah saya.

“Kenapa senyum?”

“Soalan tu soalan subjektif 90 markah.”

Berpandang-pandangan mereka sesama sendiri. Ada juga sedikit kerut.

“Beginilah, apa kata dengarkan pandangan abang, kemudian teka sendiri jawapannya.”

“Baik, kami cuba.”

“Kalau tentang cita-cita, satu perkara paling penting mesti ingat. Cita-cita mesti besar, dan tinggi. Kalau katakan cita-cita itu cita-cita seorang muslim, Allah dah pun ajar dalam Al-Qur’an, apa sepatutnya cita-cita kita. Tahu kan? Mardhatillah. Allah redha dengan kita, di syurga nanti.”

“Oh, ye tak ye, habis tu, sia-sialah cita-cita ana tu? Kiranya kecil sangatlah, setakat dunia je.”

“Sabar, orang tengah cakap jangan potong. Itu yang paling penting kena ingat. Tapi, daripada pelajaran-pelajaran Sirah Rasul yang kita dapat, kita mesti perasan, Rasulullah sendiri pun ada cita-cita dia di dunia ni. Kan dia pernah doa pasal kemenangan Islam, dan kesejahteraan umat, untuk zaman akan datang? Itu cita-cita dia di dunia. Ini pun cita-cita yang besar lagi tinggi. Dan ini pun penting untuk kita faham.
Kalaula betul kita ni beriman dengan laungan “Rasul Qudwah kami”, maknanya, cita-cita rasul juga perlu kita tiru.”

“Maknanya, sepatutnya, cita-cita kita macam nabi? Islam ini jadi acuan dunia, dan umat Islam hidup kuat dan bersatu, begitu?”

“Ya, bagus. Nasib baik cepat faham, tak payah cerita banyak-banyak. Ringkasnya, begitulah.”

Dewan makan sudah pun lengang. Langsung tidak kami sedari, memang hangat perbualan kami, sehangat angin yang belum jemu bertiup dari luar. Makcik kantin sedang leka mengemas kaunter makanan.

“Habis tu, cita-cita orang nak jadi doktor, pensyarah, jurutera, macam-macam lagi, tak penting?”

“Hah, kenapa pula tak penting? Penting, tapi itu semua bukan cita-cita utama. Itu semua ialah matlamat-matlamat jangka pendek, yang sepatutnya kita jadikan strategi kita, untuk dapat cita-cita utama tadi. Satu lagi, itu semua juga kita jadikan tempat kita mencari duit. Duit ini, kita guna, untuk kita bergerak, dan beli keperluan hidup, untuk terus ke arah cita-cita utama tadi. Itu sahaja sebenarnya.”

“Baik, kalau macam tu, apa matlamat jangka pendek abang?”

“Yang ini kita perlu rajin sikit. Rajin sikit fikir dan kaji. Macam cerita anta tadi, anta kata, nak bergerak dalam dunia media, untuk bangunkan Islam. Baik, boleh je, tapi bincangkanlah, samada itu yang paling prioriti untuk bantu umat Islam sekarang, atau ada perkara lain yang lebih prioriti.”

“Alamak..mula peninglah. Berat sangat nak fikir macam tu. Maksudnya?”

“Mudahnya beginilah. Dulu, zaman nabi dan sahabatnya, pernah kita dengar sahabat-sahabat menulis kitab-kitab yang hebat? Atau meneroka penemuan-penemuan baru dalam sains dan ilmu-ilmu lain?”

“Rasanya tak pernah dengar.”

“Memang pun tak ada. Semuanya habiskan kebanyakan masa dan umur mereka untuk jihad atau mengajar Islam, dan mengislamkan tempat-tempat yang belum Islam. Kalau di zaman makkah pula lagilah, kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami tauhid dan aqidah sahaja.
Tapi pada zaman Umaiyah dan Abbasiyah pula, ingat betapa banyak kitab-kitab hebat dikarang ulama’ Islam? Ingat betapa banyak penemuan-penemuan berharga dalam bermacam-macam bidang ilmu? Kita kena ingat, waktu itu, Islam merupakan pemegang kuasa di dunia. Hampir semua tanah-tanah utama di dunia pernah mendengar dan tahu pasal Islam.”

“Oh, betul juga. Maknanya?”

“Maknanya, kita dapat tengok bagaimana bezanya dua-dua zaman tu menghabiskan kebanyakan umur dan masa mereka. Dari jihad dan taa’lim prioriti utama, berubah kepada mengekalkan dan memperkaya tamadun Islam. Apa yang mereka lakukan, berdasarkan keperluan setiap zaman.”

“Huh, memang betul. Ok, jelas. Maknanya, kalau untuk kerja kita, kenalah juga tengok keperluan zaman dan keadaan kita?”

“Tepat. Bagus.”

“Apa keperluan zaman dan keadaan kita?”

“Aha, itu kerja rumah. Dah tahu nanti, cerita pula kepada abang. Banyak dah cerita ni. Bagi adillah.”

Tersengih ketiga-tiganya. Saya tidak dapat mengagak, apa yang mereka fahami sebenarnya , tapi melihatkan wajah mereka, pasti, waktu rehat saya selepas Zohor berbaloi dihabiskan bersama mereka.

Dulang diangkat ke sinki. Tangan yang hampir kering segera dibasuh. Angin Pantai Remis terus membuai pelajar-pelajar lain dalam qailulah mereka.

Alhamdulillah.

2 comments:

Related Posts with Thumbnails