“Barangsiapa yang bermula di atas jalan ini dengan serius, maka dia akan berjalan hingga ke hujung dengan serius”
Mencari bukanlah satu perkara yang mudah. Dan kerana itu lahir pelbagai peribahasa berkaitan, umpamanya ibarat mencari benang di dalam tepung.
Syukur sekali, yang perlu saya dan Mubasyir cari bukanlah benang, dan kami juga tidak mencari di dalam tepung.
Yang pasti, seminggu berikutnya itu layak sekali kami gelar Minggu Carigali.
Satu perkara yang tidak langsung kami jangka sebelumnya, hanya kerana sebuah alat ciptaan manusia biasa, berukuran sebesar 3 tepak sirih ditindihkan, mampu menghasilkan sebarang dokumen atau karya atau apa sahajalah yang kita mahu, oh ya, namanya pencetak laser warna itu, mampu mengerah kami mengerah segala apa yang kami miliki, khususnya tenaga zahir dan batin kami.
Separuh minggu berlalu. Di sekolah juga serasa sudah seperti sedang menghadapi entah majlis apa yang begitu gilang gemilang. Mungkin jika ada papan kenyataan projek,pasti tertera di atasnya, ‘Satu Lagi Projek Jabatan Pengurusan Sekolah’. Juga serasa seperti di padang Mahsyar juga ada kalanya, bila melihat setiap orang dengan agenda masing-masing. Sibuk kata mereka, apa sahajalah yang mereka sibukkan itu.
Dan kami juga sibuk. Ya, sibuk mencari yang tidak jumpa, juga sibuk memuhasabah diri. Ada kalanya, di celah keriuhan suasana petang, selepas solat Asar berjemaah yang sungguh merehatkan setelah jam-jam sebelumnya dihabiskan menghadap peti telefon awam menghubungi insan-insan bertuah memiliki pencetak itu, saya sering terfikir.
Betapa beginilah perasaan orang kebanyakan di luar sana. Dan saya mungkin merasainya lebih. Tidak sudah sibuknya mengejar dunia. Dan saya bertuah memahami diri saya sebagai bukan sahaja seorang usahawan berjaya, tapi juga dai’ bertenaga.
Memang benar, sukar sekali untuk menumpukan usaha kita kepada salah satu dari dua itu. Kedua-duanya diperlukan, dan sangat penting, di sini dan juga ‘di sana’
Pernah seorang murabbi saya berkata, “ Ikhwah akan datang tidak boleh tidak harus berdikari dan bijak mencari pendapatan. Kami dahulu terlalu menumpukan usaha dakwah tanpa memberi keutamaan yang selayaknya kepada pendapatan kami. Awalnya, kami benar-benar bergembira dengan keadaan itu, tapi lama-kelamaan, sesak juga kami dibuatnya. Ikhwah harus mula belajar mengusahakan pendapatan. Dari sekarang.”
Kata-kata itu memang sangat menjentik hati saya. Minggu ini, Allah beri peluang saya merasainya sendiri, lebih awal dari yang saya jangka. Sungguh benar ia perlu dilatih dari awal.
Dan muhasabah itu akan berakhir juga dengan laungan si pencetak laser warna, memanggil-manggil nama kami. Aduhai, tunggulah pencetak laser warna.
Kami datang, kami datang, kami datang!
-tamat bahagian 2-
No comments:
Post a Comment